Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pengajaran buat Reza Hasbi

Kuala Lumpur 24 Mac 2016 FOTOGRAFI bersama Iedil Putra dan Reza 2

MARAH dan geram bercampur baur saat mengenangkan kembali kisah yang berlaku beberapa minggu lalu. Kejadian hampir dirakam oleh seorang remaja tidak dikenali ketika berada di dalam tandas awam sebuah pusat beli-belah benar-benar menaikkan amarah Reza Hasbi.

Mengimbas kembali perkara yang berlaku, Reza ketika itu bersama-sama rakan penari yang lain dalam rangka promosi filem Showdown The Movie tidak menyangka akan menjadi mangsa remaja berkenaan.

“Cuba bayangkan ketika mahu membuang air kecil tiba-tiba sahaja saya nampak telefon bimbit dari bilik tandas sebelah. Memang waktu itu saya betul-betul marah dan segera keluar mencari siapakah yang berani membuat onar begitu.

“Apabila tengok di bilik tersebut sudah kosong tapi ada dua lagi bilik lain berkunci. Saya tunggu dan memanggil mereka keluar. Kira-kira lima minit jugalah saya menunggu sehinggalah seorang remaja keluar dari salah satu bilik.

“Apabila ditanya dia tak mengaku pada awalnya. Saya rampas telefon dan periksa album di dalamnya tetapi gambar saya tak ada. Berkemungkinan besar sudah dipadam. Ada beberapa rakan yang lain datang dan memeriksa telefon remaja tersebut.

“Tapi yang peliknya gambar tandas masih dalam telefon tersebut. Mengukuhkan lagi bukti apabila gambar tandas tersebut dirakam pada hari kejadian,” cerita Reza.

Walaupun didesak beberapa kali, remaja berkenaan tidak mengaku sehinggalah amarah pelakon yang dikenali dengan program Pilih Kasih ini memuncak sehingga menampar muka remaja tersebut.

Sebaik sahaja ditampar, dia terus mengaku menjadi dalang yang merakamkan gambar tersebut dan itu merupakan kali ketiga dia berbuat demikian.

Ketika itu Reza terfikir mahu membawa remaja tersebut ke balai polis sebagai pengajaran tetapi remaja berkenaan merayu agar tidak menghantarnya kepada pihak berkuasa.

“Katanya dia lebih rela dipukul daripada dibawa ke balai dan dia juga memberitahu pasti ibu bapanya di kampung akan malu dengan perbuatannya yang melanggar moral dan tata susila.

“Sudah pasti saya juga kasihan. Tapi apabila mengenangkan kembali perbuatannya, hati saya jadi marah. Kalau tersebar gambar atau video saya tengah membuang air kecil bagaimana? Ini bukan hal kecil yang boleh diambil ringan,” kata Reza lagi.

Pun begitu, dia mengambil keputusan untuk tidak membawa remaja tersebut ke pihak berkuasa tetapi masih menyimpan telefon berkenaan untuk mencari seandainya gambar tersebut masih ada atau disorok di dalam fail telefon.

Menganggap perkara tersebut sebagai pengajaran besar kepadanya, Reza kini lebih berhati-hati setiap kali ke tandas awam. Katanya insiden tersebut benar-benar memberikan kesan kepadanya sehingga ke hari ini.

Harapan

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan pelakon ini, Reza bukanlah orang baharu dalam industri sebaliknya sudah mula dikenali kira-kira lima tahun yang lalu sebaik sahaja menamatkan program realiti Pilih Kasih.

Namun begitu kelibatnya tenggelam timbul membuatkan ramai yang beranggapan Reza kurang berminat dengan industri hiburan dan mahu menumpukan kepada bidang lain.

“Tidak timbul istilah tersebut pun sedangkan saya sendiri tak tahu kenapa nama saya jadi begitu. Kalau nak diikutkan ada sahaja drama saya di kaca televisyen tetapi tidaklah kerap.

“Kalau ada masa terluang biasanya dihabiskan di rumah sahaja. Mungkin sebab saya tak pandai bergaul dengan orang lain dan jarang menghadiri majlis hiburan membuatkan nama saya kurang dikenali,” katanya berterus terang.

Bakal muncul dengan filem Showdown The Movie bermula 7 April ini, pastinya lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu teruja menantikan maklum balas peminat terhadap filem sulungnya.

Selain Reza, pelakon lain yang turut terlibat termasuk Iedil Putra, Izara Aishah, Jehan Shukri, Aiman Asmawar, Azim Aris, Amirul Hadi, Ben Laden, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida dan Esma Daniel.

Bagi Reza, dia tidak menghadapi masalah berlakon dalam filem yang mengetengahkan unsur tarian ini memandangkan dia sendiri sudah mempunyai asas menari pelbagai tarian moden sebelum ini.

“Walaupun sudah mempunyai asas tarian tapi saya masih lagi perlu belajar banyak jenis tarian di dalam filem ini. Saya perlu menghafal tujuh jenis tarian dan pastinya agak sukar dilakukan dalam jangka masa yang singkat.

“Tapi segala-galanya berjalan lancar seperti yang diharapkan. Tak ada banyak masalah yang timbul sepanjang proses rakaman berlangsung dan pastinya ini antara kenangan manis buat saya,” katanya.

Mendapat tunjuk ajar daripada koreografer Pat Ibrahim sebagai tenaga pengajar, pastinya dia turut dibantu oleh beberapa penari BBoy (gelaran untuk sekumpulan penari) seperti Gila Battle Crew dalam membentuk tarian yang baik.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan