Sampai merah padam muka penerbit ini apabila membuka cerita tentang perangai pelakon tersebut yang terbuku di hatinya sekian lama. Kiranya cerita ini sudah lama diperam.

Bukan apa, dia tidak mahu perkara lama diungkit-ungkit, tetapi ketika Poklip membangkitkan nama pelakon tersebut untuk menjadi hero dalam naskhah terbaharunya baru-baru ini, dia terus naik hantu. Macam hendak meroyan pun ada. Pantang betul dia bila nama Saharul disebut.

Masakan tidak, Saharul dikatakan semakin menunjukkan belang. Apabila ditegur pengarah tentang lakonannya yang tidak menepati jiwa, pelakon tersebut terus buat muka. Eh! kalau dah kayu sangat lakonan tu, takkan pengarah nak buat bodoh je kan?

Lagi menjelikkan hati kru-kru produksi ketika itu, sudahlah tidak mengendahkan teguran itu, si pelakon kacak ini berterusan bermain dengan telefon bimbit. Macam tiada apa-apa yang berlaku di sekelilingnya.

Tambah penerbit itu lagi, pelakon ini juga suka membuat pelbagai alasan kalau dia malas untuk menjalani penggambaran. Hari ini kereta rosak, selepas itu ada orang meninggal, tup-tup esoknya kereta rosak lagi. Logik ke? Ambil tawaran sana sini, penuh jadual tapi bab komitmen, hancur. Bak kata penerbit ini, perangai bongkak itu sila bungkus, campak dalam tong sampah.

Yalah, tengah popular bolehlah buat perangai diva tak bertempat itu, nanti kalau dah suam-suam kuku, tahulah nasibmu. Ke hulu ke hilir nanti ‘mengemis’ tawaran berlakon daripada penerbit. Penerbit ini siap berpesan, keras kayu boleh dilembutkan, kalau keras hati, keras kepala, susah nak cakap ya!

Apapun, semoga apa yang diceritakan ini tidaklah sebegitu kronik. Sebab, Poklip dengar cerita kawan-kawan media, tak pernah pula berhadapan dengan masalah sepanjang berurusan dengan Saharul. Dia okey dan baik-baik sahaja, tak beri masalah langsung kepada kami. Malah, dia cukup ramah melayan peminat dan orang yang bekerja dengannya. Agaknya, adalah sebab musabab tu kenapa dia jadi ‘berlaga’ angin sangat dengan penerbit tersebut. Soal bayaran kot?

SOLOK LADA: Ramai rakan media kecil hati dengan pengurusan majlis tayangan filem dari negara seberang. Sudahlah ramai sangat orang yang rasanya bukan dari kalangan media, terpaksa pula mengadap perangai diva pelakon-pelakon filem tersebut.