Tidak terikat, kumpulan ini terus membina empayar mereka dengan bebas tanpa ada peraturan.

“Ya, kami memang sudah penat dengan peraturan. Lebih 10 tahun kami berada di bawah naungan syarikat rakaman. Ini masa untuk kami berkarya tanpa ada batasan. Apabila berada di bawah syarikat rakaman, peraturan perlu diikuti dan kami tidak bebas berkarya. Semuanya terhad.

“Sudah pasti semua itu kerana strategi pemasaran yang dikehendaki oleh mana-mana syarikat rakaman. Sekarang lain pula, kami dah boleh bekerja dengan suka hati,” tutur vokalisnya, Adi Priyo Sambodo selepas majlis pelancaran album kompilasi 6ixth Sense, Sense Of Love.

Menurut Adi, pengalaman menerbitkan beberapa lagu hit sebelum ini seperti Muara Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz membuatkan mereka yakin untuk berada secara serius dalam perniagaan muzik.

Tambah Adi, pulangan yang diperoleh dalam penerbitan lagu juga banyak sehingga membolehkan mereka mampu menjalankan urusan dan perancangan di bawah syarikat produksi sendiri, 6ixth Sense Production.

“Kami sudah ada syarikat sendiri dan ada artis naungan seperti Sakura Band, Cherpen Band dan Zara Ali. Rancangan sudah ada untuk mereka.

“Insya-Allah sekarang kita melabur dahulu dan nanti bila dapat hasilnya semula lebih banyak daripada sebelum ini,” katanya yang juga pernah menerbitkan lagu berjudul Kisah Hati nyanyian Alyah, Risalah Hati (Ella dan Anji) dan Relakan Jiwa (Hazama).

Biarpun sudah bergerak sendiri, rasa kebimbangan tetap ada di hati ahli 6ixth Sense yang lain, Gjie (gitar utama), Wan (dram), Ayoy (bes), dan Athan (gitar kedua).

Jelas Adi, mereka memilih bergerak sendiri sebagai jalan terbaik untuk mengharungi setiap cabaran atau dugaan yang mendatang.

Berkongsi tentang album kompilasi itu, Adi mengaku, kumpulan mereka terpaksa menyepi untuk fokus kepada album tersebut.

“Memang kami sibuk menguruskan album kompilasi ini kerana perlu memikirkan konsep, kulit album serta mengeluarkan dana sendiri, kami tidak mahu semua itu menjadi alasan untuk album ini tidak bergerak.

“Sudah pasti promosi secara besar-besaran akan kami lakukan,” katanya.

Album ini turut menampilkan lagu genre dangdut iaitu 7 Kali Malam Minggu.

“Ini adalah pembuka terbaik kepada perjuangan muzik kami kerana kami bebas memilih genre apa yang diinginkan.

“Percubaan ini sudah lama diimpikan. Bagi saya, sudah tentu lagu itu akan mengembalikan semula zaman kegemilangan irama dangdut di negara ini,” ujarnya sambil memberitahu album itu memuatkan lapan buah lagu seperti Sebuah Maksud, Manisnya Cinta, Pelarian, Melepaskanmu, Sumpah Mencintai Sumpah Merindui, Selalu Denganmu dan Terlarut Waktu.

Bercerita pula sisi cinta, Adi mengatakan, buat masa ini semua anggota masing-masing sibuk dan kerjaya dan tidak memikirkan soal berkahwin.

Kumpulan ini baru sahaja menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Belia Wawasan Baharu sebagai duta Program Jelajah Raja Sehari Mega 2015.

“Kami bertuah kerana dipilih sebagai kumpulan yang dipertanggungjawab untuk promosi program yang akan bermula di Johor (17-18 April), Putrajaya (6-7 Jun), Pahang (10-11 Oktober) dan Kedah (11-12 Disember).

“Program ini menyasarkan 400 pasangan yang akan bernikah dan disandingkan dalam satu majlis yang serba mewah serta meriah dengan kos paling minimum, RM5,000 setiap pasangan,” katanya sambil memberitahu keterangan mengenai program boleh dilayari menerusi www.facebook.com/rajaseharimega.

Kumpulan 6ixth Sense juga dipilih sebagai duta, Pengerusi Pertubuhan Belia Wawasan Baharu kerana ia sesuai dengan album Sense Of Love yang baharu dilancarkan oleh kumpulan tersebut.

“Orang yang hendak berkahwin mementingkan nilai yang romantik. Apabila mendengar lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu, kami rasa sesuai dengan program yang dianjurkan.

“Selain itu, 6ixth Sense adalah ikon anak muda yang popular dengan lagu-lagu cinta yang boleh digunakan untuk meraikan perasaan itu,” katanya.

Bersempena dengan program tersebut, 6ixth Sense juga bakal mengadakan persembahan Sense Of Love di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pukul 9 malam, 29 Mac ini.