Acara yang berlangsung selama tiga jam itu merupakan kesinambungan daripada episod pertama dan kedua yang dianjurkan oleh Generasi Bersatu Malaysia (GBM) pada tahun lalu.

Menerusi The Story, GBM telah menampilkan konsep lebih menarik dan berlainan. Selain perkongsian cerita tiga nama besar itu, sesi interaksi antara penonton bersama panel serta persembahan nyanyian turut mengiringi acara tersebut.

Presiden GBM, Asyraf Khalid berkata, The Story menjadi satu-satunya acara dalam negara yang menggabungkan hiburan dan perkongsian ilmu dalam satu masa. Katanya, pihaknya bermatlamat agar penganjuran itu menjadi satu usaha yang konsisten dan berpanjangan.

“Tujuan The Story dianjurkan adalah untuk meningkatkan kesedaran khususnya ke arah melahirkan generasi belia bermatlamat dan berjaya. Oleh kerana itu, dalam setiap episod, kami bawakan individu-individu berpengalaman dan prolifik dalam pelbagai bidang untuk berkongsi cerita mereka kepada penonton.

“Perkongsian seperti ini dapat menjadi pembakar semangat kepada masyarakat untuk tidak berputus asa dan terus berusaha sehingga berjaya dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya kepada .com.

Disoal tentang pemilihan panel, Asyraf memberitahu ketiga-tiga individu yang dijemput pada malam itu adalah anak tempatan yang banyak menyumbang jasa kepada negara melalui penglibatan mereka dalam bidang masing-masing. Justeru, katanya, mereka antara figura cukup sesuai, berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan untuk dijadikan motivasi kepada masyarakat.

“Mungkin bukan semua mengenali Mohd. Nadzmi, namun bakti beliau mengharumkan nama negara semasa menerajui Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) satu masa dahulu sehinggalah menjadi pengerusi KTB ketika ini wajar dikongsi dengan semua orang terutama generasi muda.

“Manakala Norman pula ada cerita menarik tentang penglibatannya dalam industri muzik dan filem bersama KRU yang mana, ia pasti boleh dijadikan inspirasi kepada anak-anak muda yang ingin menjadi usahawan berjaya.

“Aznil pula amat dekat dengan masyarakat dan cukup disegani dalam industri hiburan tempatan. Penampilan beliau dalam The Story 3 menjadi sesuatu yang dinantikan ramai,” ujarnya.

Norman ketika ditemui berkata, penganjuran The Story sebagai platform perkongsian ilmu adalah satu langkah tepat dalam memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berjaya dalam bidang diceburi.

“Acara ini membenarkan semua yang hadir belajar menerusi pengalaman orang lain. Saya sendiri, berpeluang menimba ilmu hasil daripada perkongsian cerita daripada panel-panel yang lain,” katanya.

The Story episod satu dan dua tahun lalu telah berjaya memberi inspirasi kepada ramai anak muda dengan menampilkan beberapa nama besar seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Pengasas Brickfields Asia College, Raja Singham dan ramai lagi.

Penganjurannya akan diteruskan untuk beberapa episod akan datang dengan menampilkan lebih ramai ikon negara tempatan bagi berkongsi kisah kejayaan mereka. Untuk maklumat lanjut, layari www.generasibersatu.my.-AL FAIZAL/ AIZZUL A. MAJID