Mahu menang hadiah percutian ke luar negara seperti London dan Perth, juga berpeluang menang hadiah wang tunai beribu-ribu ringgit?

Ayuh! Semua gadis-gadis cantik menarik dan berbakat di luar sana, anda berpeluang memenanginya melalui Pencarian Gadis Panca 2017.

Istimewa untuk orang di Johor Baharu, pertandingan anjuran akhbar Mingguan Malaysia ini dibawa ke Plaza Angsana, Johor Baharu di sini hari ini.

Ia bersempena dengan Karnival Hari Guru 2017 yang dibawakan oleh Kumpulan Utusan.

Menurut Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin, pertandingan ini terbuka kepada semua gadis berusia 18 sehingga 25 tahun untuk mencuba nasib.

“Pencarian ini diadakan bermula pada pukul tiga hingga enam petang hari ini dan esok di lokasi festival di Plaza Angsana.

“Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, Pencarian Gadis Panca 2017 juga membuka peluang buat mereka yang berminat dalam bidang lakonan dan terpilih untuk terbabit dalam drama atau telefilem terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd.

“Selain itu mereka juga berpeluang untuk terbang ke luar negara seperti London, Australia dan Krabi yang ditaja oleh Aspire Travel Sdn. Bhd. selain hadiah wang tunai untuk setiap pemenang,” katanya.

Mereka yang berminat dijemput hadir. - UTUSAN ONLINE