Namun, Zahid Ahmad telah membuktikan bahawa bakat, kedudukan dan ketukan dram juga amat penting dalam sesuatu persembahan muzik, sekali gus turut membuka mata pengeluar jenama dram terkemuka dunia.

Pemain dram berusia 52 tahun ini misalnya, boleh berbangga apabila jenama Zildjian mengiktiraf bakat dan pengalamannya dengan menjadikannya duta produk itu sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Menurut Zahid, pelantikan dan pengiktirafan pengeluar dram yang diasaskan di Istanbul, Turki sejak tahun 1623 ketika zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyah itu amat bermakna dalam kerjayanya itu.

Malah, beliau yang menjadi satu-satunya pemain dram dari Malaysia yang dilantik sebagai jurucakap Zildjian berharap ia akan menjadi pencetus inspirasi kepada pemain-pemain dram tempatan yang lain.

“Selama ini orang pandang pemain dram hanya dengan ‘sebelah mata’ sahaja. Sedangkan dram juga salah satu instrumen penting dalam menghidupkan sesebuah muzik dan persembahan pentas.

“Saya yakin walau apa juga instrumen muzik yang dimainkan kita akan berjaya kalau ada bakat dan komitmen. Ketika itu, bukan kita yang pilih muzik tetapi muzik itu yang akan pilih kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Zahid yang mula bermain dram ketika berusia 10 tahun menganggap instrumen yang diminatinya itu amat istimewa dan mencabar kerana ia menggunakan pergerakkan kedua-dua belah kaki serta tangan pemainnya.

Daya intelek

Lebih istimewa katanya apabila instrumen seperti dram memerlukan pemainnya menggabungkan seni, kreativiti, tenaga, skil dan daya intelek dalam sesuatu persembahan.

Sebab itu, tidak hairanlah bapa kepada tiga orang anak dan berasal dari Johor Bahru, Johor, ini mencuri tumpuan pihak Zildjian yang beribu pejabat di Massachusetts, Amerika Syarikat.

“Main muzik hati kena ikhlas kerana muzik juga bidang seni yang amat sensitif dengan keadaan di sekelilingnya. Ketukan dram bukan sahaja mengikut rentak lagu tetapi ia datang dari hati.

“Tidak timbul soal glamor atau tidak tetapi apa yang penting ketukan dram juga membantu menggerakkan nadi sesebuah lagu. Kalau bakat orang itu besar dia akan menonjol juga,” ujarnya.

Sehubungan itu, adik kepada pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad ini berharap masyarakat membuang persepsi yang mengatakan pemain dram adalah dalam kalangan kategori pemuzik kelas kedua.

Beliau yang telah banyak kali diundang sebagai pemain dram pada siri konsert bergerak ramai artis terkenal tanah air seperti Datuk Sheila Majid dan Zainal Abidin tidak pernah berhenti berjuang setakat itu sahaja.

Sebaliknya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh anak keenam daripada 10 adik-beradik ini termasuk menghasilkan sebuah buku bertajuk Bermain Dram Bersama Zahid Ahmad kira-kira tiga tahun yang lalu.

“Buku dengan lebih 170 muka surat ini bukan sahaja sebagai bukti minat dan komitmen saya dalam dunia dram tetapi ia juga bertujuan membimbing anak-anak muda yang minat dengan instrumen ini.

“Dengan harga RM50 senaskhah, buku ini amat berbaloi dimiliki kerana setakat ini belum pernah ada sebuah buku tentang tunjuk ajar bermain dram dalam bahasa Melayu diterbitkan di negara ini,” katanya.

Zahid berharap, buku itu juga akan mencetuskan inspirasi kepada para pemain dram di negara ini menambahkan lagi ilmu, motivasi dan juga skil mereka menerusi instrumen tersebut.

Pada masa sama, beliau yakin kerjaya sebagai pemain dram mempunyai masa depan yang cerah jika para pemainnya mampu menguasai pelbagai genre muzik seperti jaz dan fusion.

Peluang bekerja sebagai pemuzik undangan, di studio-studio rakaman dan juga tenaga pengajar di institusi-institusi pengajian tinggi terbentang luas asalkan bakat yang ada digilap dengan sepenuhnya.

“Bermain muzik bukan seperti zaman dulu apabila bidang ini dipandang rendah tidak seperti kerjaya lain, sedangkan hakikatnya dunia muzik juga kini salah satu bidang profesional.

“Saya mahu membuktikan bahawa pemain dram juga mampu menghasilkan album mereka sendiri seperti munculnya album saya yang berjudul Tuk Tak Mana Melayunya, baru-baru ini,” jelasnya penuh semangat.

Itu merupakan album terbaharunya di mana ketika berusia 10 tahun beliau juga pernah bermain dram dan merakamkan album bersama kumpulan Split Times berjudul Degil pada tahun 1978.

Selain bermain di atas pentas persembahan, Zahid juga merupakan bekas pensyarah di banyak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan International College of Music (ICOM).

Beliau yang merupakan pemain dram sepenuh masa sejak lebih 40 tahun lalu selayaknya mendapat kepercayaan dan pengiktirafan daripada jenama seperti Zildjian kerana sumbangannya selama ini.