Biarpun tidak kronik namun bagi mengelakkan ‘serangan’ yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas itu, Azhan mengehadkan pergerakannya.

Namun biarpun tidak boleh terlalu aktif, Azhan, 39, seperti kanak-kanak lain, dia juga nakal pada zaman persekolahan.

Pada waktu itu, Azhan mengakui yang dia hanya memikirkan keseronokan bermain semata-mata.

Dia langsung tidak pernah terfikir tentang kesan yang dilakukan terhadap setiap kenakalan yang dilakukan bersama-sama kawan-kawannya.

Ketika itu dia dan keluarga menetap di kuarters pekerja Jabatan Bekalan Air Kuala Kubu Bharu, Selangor (kini dikenali dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)).

“Saya masih ingat lagi, saya tidak pernah terlepas daripada aktiviti di luar rumah bersama-sama kawan di kuarters.

"Kami memang rapat dan suka cuba aktiviti baharu. Setakat mandi sungai dan bermain sorok-sorok dalam kawasan semak itu perkara biasa.

"Kami pernah buat kerja ‘gila’ iaitu ponteng sekolah. Apabila diketahui guru besar, kami semua mendapat ‘habuan’ masing-masing.

"Kami kena rotan dan ketika itu, kami diberi pilihan untuk memilih jenis rotan sebagai hukuman.

“Saya pilih rotan yang paling kecil dan halus. Memang bisa apabila rotan itu singgah di punggung saya tapi kerana mahu tunjuk lagak anak jantan, saya senyum saja apabila dirotan,” kata Azhan mengimbas nostalgia zaman kanak-kanaknya ketika bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan 1, Kuala Kubu Bharu.

Kata Azhan lagi, dek kerana terlalu aktif dengan segala macam aktiviti, dia dia tidak pernah kelihatan kemas setiap kali ke sekolah.

Uniform yang dipakai sentiasa kotor dan comot gara-gara bermain baling bola tenis, galah panjang dan mengejar rakan-rakan pada waktu rehat.

Bagaimanapun episod kenakalan Azhan berakhir apabila dia terlibat dengan satu insiden yang mencemaskan ketika pulang ke kampung sebelah bapanya di Sabak Bernam, Selangor.

Entah macam mana Azhan boleh terjatuh ke dalam sebuah telaga dan menyebabkan dia hampir lemas ketika sedang bermain-main di sekitar kawasan tersebut.

Nasib baik pada waktu itu, bapa, Abdul Rani Sabri, 70, berada berhampiran tempat kejadian dan bergegas mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Teluk Intan, Perak.

“Pada waktu itu, tiada hospital kerajaan di Sabak Bernam. Jadi abah perlu memandu saya ke Hospital Teluk Intan dan perjalanan itu mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke sana.

Nasihat

“Sampai di hospital itu, doktor yang merawat saya mengesahkan paru-paru saya sudah dimasuki air. Itu punca utama yang menyebabkan saya boleh terkena asma,” cerita Azhan berhubung kejadian yang berlaku ketika dia berusia sembilan tahun itu.

Atas nsihat doktor dan ibu, Salmah Budin, 68, dia tidak lagi dibenarkan untuk terlibat dengan aktiviti lasak kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesihatannya.

Dan selepas kejadian itu juga, Azhan banyak menumpukan perhatian kepada aktiviti dalam bilik darjah terutama yang dianjurkan pihak sekolah.

“Sejak saya ada asma, saya menyertai pertandingan bercerita dan musabaqah. Tapi kebanyakan pertandingan yang saya sertai itu, saya tak pernah jadi juara.

“Rata-rata dapat tempat kedua atau ketiga. Pun begitu, saya tak pernah putus asa sebab masa itu saya memang suka sangat bercerita,” ujarnya yang kini sudah bebas daripada penyakit asma.

Malah Azhan kini bebas melakukan aktiviti lasak seperti menunggang basikal dan mendaki gunung bagi memenuhi impiannya sewaktu kecil.

Juara

MENGAKUI tidak pernah menyangka untuk menjadikan bidang lakonan sebagai mata pencarian, kata Azhan, dia pada mulanya mahu terlibat dalam dunia kejuruteraan.

Itu yang membuatkan dia memilih Sekolah Vokasional Sungai Buloh, Selangor untuk mempelajari bidang automotif ketika berusia 16 tahun.

Berdasarkan keputusan yang baik dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup ketika mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Azhan merasakan bidang berkenaan bakal menjadi sumber pendapatannya apabila dewasa.

“Saya rasa situasi mencari-cari bidang yang kena dengan jiwa kita itu pasti dialami oleh setiap remaja. Saya pun sama.

“Saya merasakan bidang automotif itu sesuai tapi apabila saya mengambil pengkhususan sastera sewaktu di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu, saya mulai perasan sesuatu.

“Sebenarnya saya lebih tertarik dengan keindahan dalam kesusasteraan dan hikayat Sejarah Melayu yang nyata lebih dekat dengan jiwa saya.

“Perasaan itu semakin membuak-buak ketika saya menyertai Pertandingan Drama Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada 1994.

“Saya mewakili sekolah dalam pertandingan anjuran Dewan Bahasa Pustaka itu. Dari situ saya berkenalan dengan Mazlan Tahir, individu hebat dalam persembahan dunia teater,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, Azhan telah mengharumkan nama sekolah apabila pementasan drama berjudul Terjerat diangkat sebagai juara peringkat daerah dan zon sebelum layak ke peringkat kebangsaan.

Azhan juga mencipta kenangan peribadi apabila turut diangkat sebagai Pelakon Terbaik Pertandingan Drama Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan itu.

Keadaan tersebut juga telah mengubah persepsi bapanya yang selama ini tidak menggalakkan Azhan menceburi bidang seni yang dilihat tidak berpotensi untuk dijadikan karier tetap untuk masa depan.

“Abah tidak membantah minat saya secara terang-terangan. Tetapi saya tahu, dia tidak suka saya berlakon drama. Jadi saya kena berusaha untuk membanggakan abah.

“Hendak dijadikan cerita, saya menang. Bertitik-tolak dari situ, abah mula merestui minat saya dan perkara itu sudah cukup membuatkan saya terharu,” ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Selain SMK Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Vokasional Sungai Buloh, Azhan juga pernah menuntut di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu.

Serius

MINAT yang serius dalam bidang lakonan diteruskan apabila dia menyambung pengajian di Akademi Seni Melaka (kini Institut Teknik Seni Malaysia) pada 1997.

Mengambil jurusan Diploma Seni Persembahan (Drama dan Teater) selama dua tahun, Azhan berkata, di situ dia berkenalan dengan arwah pelakon dan pengarah, Yalal Chin.

Arwah Yalal yang memberi galakan kepadanya untuk menyertai pertandingan Pekan Teater Malaysia 1997. Sekali lagi, Azhan mengulangi kejayaan peribadinya apabila diangkat sebagai Pelakon Terbaik Melaka pada pertandingan yang sama.

“Kejayaan itu menyemarakkan minat saya dalam bidang teater. Pada waktu itu saya berazam mahu menguasai bidang berkenaan.

“Selepas tamat belajar di Akademi Seni Melaka, saya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 1999,” kata Azhan yang turut mendalami bidang itu bersama-sama aktivis seni, Hamzah Tahir yang merupakan pensyarahnya di universiti berkenaan.

Selamat tamat belajar, Azhan menjadi pegawai kebudayaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Dia juga pernah menjadi penolong pengarah kepada penggiat teater, Rosminah Tahir dalam teater Bangsawan Tengku Anum, Monolog dan Lantai T. Pinkie.

“Siapa sangka watak jahat bernama Gonjolan dalam Lantai T. Pinkie menjadi permulaan kepada saya menceburi bidang lakonan di televisyen.

“Saya kemudiannya mendapat tawaran berlakon dalam drama Sesuci Cinta Sofiya pada 2006,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Pesan Dari Tuhan arahan Erma Fatima.

Selain drama tersebut, Azhan juga berlakon dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Pelarian, Neraka Abah dan Fatihah Untuk Abah.

Lakonan dalam drama Menunggu Hujan Teduh arahan Azma Aizal Yusoof melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Tribute P.Ramlee 2014 yang berlangsung baru-baru ini.