Filem aksi yang dinanti-nantikan ramai ini bukan sekadar memaparkan cerita klise tetapi ada keistimewaan yang cuba ditampilkan oleh pihak produksi kepada peminat filem Melayu.

Bukan mengisahkan tentang gejala bohsia, buang anak, aksi bergaduh gangster atau merempit tetapi isu yang ingin dikupas pengarah muda berusia 27 tahun itu lebih mendalam mengenai konflik hidup di kota raya.

Darah Panas sarat dengan pergolakan hidup anak kota, isu yang diketengahkan berlaku tanpa disedari menjadi kekuatan kepada filem kelima yang diterbitkan oleh syarikat White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. ini.

Filem ini tidak sekadar ditunjang dengan karakter tiga aktor hebat, Sharnaaz Ahmad, Soffi Jikan dan Adam Corrie, malah filem berkenaan lebih menggelegak dengan beberapa aksi dan babak mendebarkan.

Paling mengejutkan sebuah kereta mewah BMW 3Series dan sebuah motosikal berkuasa tinggi hancur lebur dikerjakan ketika penggambaran semata-mata mahu memberikan impak besar kepada filem ini.

Selain Sharnaaz sebagai Adi, Soffi Jikan (Aloi) dan Adam (Cicak), filem bergenre aksi romantik yang menelan belanja hampir RM2 juta itu turut menampilkan Nur Fathia Abdul Latiff sebagai Syahana, selain Jalaluddin, Aznah Hamid dan Ruminah Sidek.

Bagi penerbit filem ini, Harvinder Uppal pastinya dia berpuas hati dengan keseluruhan filem berkenaan meskipun agak sedikit lambat dikeluarkan daripada sasaran awal.

“Sebenarnya kita mahu mengeluarkan filem ini lebih awal tetapi bila melihatkan pasaran filem Melayu yang kurang memberangsangkan menyebabkan kita mengambil keputusan untuk tunggu dahulu.

“Susah sebenarnya mahu meneka pasaran filem tempatan. Genre apa yang sedang diminati bukan lagi jaminan untuk mendapatkan pulangan. Sebab itu kita tunggu masa yang sesuai barulah ditayangkan kepada umum,” jelas Harvinder.

Pun begitu, dia tidak mahu menunggu lebih lama dan bersedia mempertaruhkan nasib untuk melihat Darah Panas diterima oleh peminat atau tidak sedikit masa lagi.

Sambil memberi jaminan filem ini tidak akan mengecewakan penonton, Harvinder yakin garapan kemas oleh Arjin Uppal mampu memberikan dimensi baharu kepada sesiapa sahaja.

Ditambah dengan keyakinan jalan cerita mantap dan aksi menarik, pastinya dia mengharapkan Darah Panas mampu diterima ramai dan menjadi filem yang laris untuk tahun ini.

Selain itu, melalui syarikat tersebut juga mereka bakal menayangkan filem berkenaan di Brunei dan Singapura sementara untuk pasaran Indonesia masih menunggu keputusan akhir.

“Memang strategi kita untuk menayangkan filem ini serentak di ketiga-tiga buah negara jiran. Ini yang kita lakukan sejak dahulu sambil mengharapkan formula ini berjaya.

“Jika semuanya berjalan lancar bermakna Darah Panas akan ditayangkan lebih 150 panggung di empat buah negara secara serentak,” tambah Harvinder.

Keyakinan

BAGI pengarah Darah Panas, Arjin Uppal berkata, mungkin ada yang berpendapat isu diketengahkan sudah biasa dipaparkan dalam filem atau drama tempatan tetapi ia berbeza dengan filem ini.

“Masih banyak yang tidak kita ketahui mengenai pergolakan dan budaya hidup anak kota. Saya memaparkan apa yang terpendam, kejadian yang berlaku tanpa kita sedari. Isu seks bebas, pelacuran dan dadah cukup membimbangkan dan ia adalah gejala sosial yang tiada penghujungnya.

“Setiap masa dan ketika ada saja yang menjadi mangsanya, itulah yang kita tidak sedari selama hari ini. Besar harapan saya supaya filem Darah Panas boleh dijadikan pengajaran buat golongan remaja,” katanya.

Arjin, graduan bidang juruterbang di Sydney, Australia berkata, ini adalah filem arahan keduanya selepas filem Kerat 14. Sebelum ini, Arjin pernah membantu bapanya, S Baldev yang juga penerbit dan pengarah filem Akhirat, Kecoh Betul dan Rasuk sebagai penolong pengarah.

“Saya mengumpul banyak idea selepas menonton ratusan filem ketika mempunyai masa lapang. Ketika itu, saya masih menuntut dalam bidang kejuruteraan di Sydney. Idea inilah dikeluarkan satu persatu untuk menghasilkan filem di bawah terbitan syarikat perfileman bapa saya.

“Bagaimanapun, idea menghasilkan filem Darah Panas bukan datangnya daripada idea saya seorang. Saya dibantu bapa dan abang untuk menghasilkan filem ini. Saya akan pastikan setiap genre yang diterbitkan berbeza kerana saya mahukan kelainan dan sesuatu yang baru untuk berkarya,” katanya.

Darah Panas

Mengisahkan Syahana, seorang gadis yang berpegang pada agama, namun bercita-cita menjadi seorang model muslimah kerana terpengaruh dengan video di laman sosial. Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuan Fandi bagi mencapai cita-citanya. Syahana menyatakan hasrat kepada keluarganya, namun ditentang ayah dan abangnya. Syahana tetap mahu meneruskan cita-citanya, lalu mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur. Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran. Syahana tidak sangka nasibnya jadi begitu. Cicak, ketua rumah pelacuran turut terbabit dalam sindiket dadah. Cicak membeli Syahana daripada Fandi. Adi bekerja di bawah Kumpulan Cicak, namun dia seorang yang menghormati wanita Islam.