Ini kerana selepas berpindah dari Brent, London, mereka sekeluarga menetap di Gombak kerana berdekatan dengan sanak saudara sebelah bapa, Mohd. Saidin Osman, 68.

“Ketika saya berusia enam bulan, bapa mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun lamanya merantau ke negara orang.

“Bapa saya ke sana sewaktu masa bujangnya semata-mata untuk mencari pengalaman hidup sebelum berkahwin dengan ibu (Siti Aishah Abdullah).

“Selepas ibu melahirkan abang sulung, Adam Abdullah dan diikuti saya, barulah bapa ambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

“Bapa mahu kami adik beradik mengetahui asal usul keluarga, adat resam budaya masyarakat Melayu dan paling penting mempraktikkan ajaran agama Islam,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini memulakan bicara kisah hidupnya.

Berkongsi cerita sebagai anak kacukan yang membesar dalam kalangan masyarakat Melayu, kata Sasha, dia bertuah kerana ibu awal-awal lagi sudah mempersiapkan dirinya tentang segala kelengkapan yang bakal dihadapi apabila sudah besar nanti.

Kata Sasha, ibunya juga sentiasa mengingatkan dirinya tentang ‘perbezaan’ budaya dan percakapan. Justeru, ibu sedaya upaya membantu dirinya untuk menjadi seperti orang kebanyakan yang lain.

Apatah lagi pada waktu itu, tiada ramai keluarga berdarah kacukan Inggeris yang tinggal di kawasan Gombak, Sasha berkata, ibu banyak memberi tunjuk ajar agar dia tidak berasa terasing.

Biarpun pada mulanya berasa kurang senang apabila diperhatikan setiap kali keluar rumah, menurut Sasha, perasaan itu akhirnya hilang ketika dia memasuki alam persekolahan.

“Saya ingat lagi, masa kecil-kecil dulu ada orang memanggil saya ‘orang putih Gombak’ kerana perbezaan warna kulit saya dengan kanak-kanak lain.

“Apatah lagi ‘orang putih’ yang disebut-sebut itu ini boleh bercakap Melayu, itu yang buat orang bertambah pelik.

“Panggilan yang sama itu kekal sepanjang kami sekeluarga tinggal di Greenwood sebelum berpindah ke Taman Selasih dan Taman Harmonis di Gombak,” katanya yang mendapat pendidikan awal di Tadika Tinker Bell di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bertuah apabila orang tuanya menitikberat soal pendidikan yang terbaik sebagai jaminan pada masa depan, justeru Sasha perlu mengikuti kelas tuisyen untuk memperbaiki kelemahan pada mata pelajaran tertentu.

Ini kerana setelah memasuki alam persekolahan dan bergaul dengan rakan sebaya, Sasha mengakui kecenderungannya pada waktu itu lebih kepada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.

Bekas pelajar Sekolah Rendah dan Menengah (Perempuan) Bukit Bintang, Kuala Lumpur ini merupakan seorang yang aktif dan tidak pernah ketinggalan untuk menyertai apa juga aktiviti kokurikulum.

Keadaan itu turut membimbangkan kedua orang tua Sasha yang tidak mahu melihat anaknya terus hanyut dengan aktiviti sekolah sedangkan fokus utama sewajarnya pada pelajaran.

Jadi artis

BERWAJAH komersial menjadikan Sasha menjadi buruan agensi pengiklanan. Justeru sejak berusia tujuh tahun lagi, Sasha sudah menjadi model mewakili beberapa produk terkenal.

Iklan McDonalds yang disiarkan di televisyen pada 1986 merupakan kali pertama pembabitannya dalam dunia pengiklanan diikuti Maggi Cook It Right, Nestle, Clorets, Fair & Lovely dan Bufori.

“Pendedahan itu secara tidak langsung meyakinkan saya ketika mula-mula melangkah masuk dalam industri hiburan pula.

“Menerusi kenalan, Dino yang merupakan seorang daripada penari kumpulan KRU, saya menjalani sesi uji bakat ketika berusia 18 tahun.

“Dino beritahu KRU Records pada waktu itu mahu menubuhkan sebuah kumpulan wanita. Saya pergi dengan Azza, (yang juga anggota kumpulan Elite).

“Alhamdulillah, kami berjaya melepasi uji bakat itu sebelum mendapat anggota baharu iaitu Watie dan Abby,” katanya yang teruja apabila diperkenalkan sebagai kumpulan Elite buat pertama kalinya sewaktu mengadakan persembahan bersama KRU ketika konsert pada 1995.

Sedekad bersama Elite, Sasha merakamkan empat album iaitu Catwalk pada 1996, Tamparan (1998), Idola (1999) dan Merbahaya (2000) sebelum mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama.

Ini kerana pada waktu itu, Sasha nekad untuk menyambung pelajaran dalam bidang pentadbiran perniagaan di Kolej Damansara Utama (KDU), Kuala Lumpur seperti mana yang pernah dijanjikan bersama orang tuanya.

Selepas tamat belajar di KDU pada 2002, Sasha ‘terbang’ ke United Kingdom (UK) untuk mengejar impian menggenggam segulung ijazah dalam bidang sistem maklumat perniagaan Universiti East Anglia.

Sekali lagi, Sasha menggembirakan hati kedua orang tuanya apabila mendapat keputusan cemerlang pada majlis konvokesyennya yang berlangsung pada 2006.

“Namakan apa saja aktiviti sekolah seperti kelab sorak, kebajikan, koir dan kesenian yang dianjurkan, pasti saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai.

“Sebab saya seorang yang gemar mencuba dan sentiasa bersemangat setiap kali terlibat dengan aktiviti baharu. Komitmen saya juga tidak berbelah bahagi.

“Mungkin sebab itu, saya mudah bekerjasama dengan cikgu,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Kuen Cheng (sebelum ini dikenali Sekolah Tinggi Kuen Cheng) di Jalan Belfield, Kampung Attap, Kuala Lumpur ini lagi.

Meskipun begitu, Sasha akhirnya berjaya membuktikan kepada orang tuanya tentang kepentingan akademik apabila mendapat pangkat satu pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1993.

Bagi Sasha, itulah kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan kerana dia sama sekali tidak menyangka akan mendapat keputusan yang baik.

“Selepas keputusan SPM diumumkan, saya terus berlari ke pejabat bapa yang ketika itu berdekatan dengan sekolah untuk mengkhabarkan berita tersebut.

“Saya masih ingat lagi, wajahnya yang masam dek tertekan dengan beban kerja di pejabat itu bertukar senyuman sebaik saja saya beritahu kepadanya tentang keputusan SPM saya.

“Itulah kali pertama dalam hidup saya berasa puas kerana akhirnya dapat juga membanggakan nama keluarga,” katanya yang kemudiannya menyambung pelajaran dalam A Level di Kolej Prime, Kuala Lumpur pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, Sasha terpaksa menunda pelajarannya apabila menerima banyak tawaran berlakon selepas penampilan pertamanya dalam filem Sama Tak Serupa mendapat perhatian penerbit filem.

Selain Sama Tak Serupa, Sasha pernah berlakon dalam filem aksi komedi berjudul Superstar pada 1996.

Sasha juga pernah berlakon dalam drama Ilusi, Misteri Karina, Mayang Mengurai, Warkah Buat Atikah, Nenek Misteri dan Gemilang.

Perkahwinan

 

KETIKA berada di UK, Sasha bertemu dengan Jason Skinner atau Johan Abdullah Skinner yang merupakan kenalan lamanya sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama pada 2003. 

Mereka berdua disatukan di Masjid Central Regent Park, London. Bagaimanapun, rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan apabila kerap berlaku perselisihan faham berhubung soal agama Islam dan budaya Melayu.

Pasangan itu kemudiannya berpisah empat tahun kemudian sebelum Sasha bertemu dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono, merupakan warganegara Indonesia yang juga kenalan lamanya.

“Salyo banyak membantu saya ketika projek album solo berjudul Kerana Cinta yang juga merupakan produk sulung di bawah label saya sendiri iaitu House Of Princess Sayang Records (HOPS Records).

“Tapi malangnya album itu tidak berjaya kerana pada waktu itu industri hiburan sedang berdepan dengan masalah cetak rompak yang agak teruk.

“Album itu tidak dapat dijual dengan baik,” kata Sasha yang kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan Salyo pada 2007 sebelum berpisah pada 10 Julai 2012. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, 6

Sengaja mengusik Sasha berhubung niatnya untuk mencari pengganti baharu bagi mengisi kekosongan jiwanya, wanita ini tersenyum sebelum berkata, belum masanya lagi.

Kata Sasha, dia tidak boleh tergesa-gesa sebaliknya perlu merancang sebaik-baiknya perkahwinan yang bakal dibina itu kerana mahu ia kekal hingga ke hujung nyawa.

“Terus terang, saya sedang berkawan dengan seseorang. Masih terlalu awal untuk berkongsi apa-apa buat sementara waktu ini.

“Nanti-nantilah... Kalau ada berita gembira, pasti saya akan mengkhabarkan kepada semua,” ujarnya lagi.