Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada diri sendiri, kedua-dua mereka mahukan peminat memberikan mereka peluang tanpa perlu mempertikai pemilihan mereka yang sememangnya merupakan keputusan muktamad pihak produksi.

Biarpun sedar mereka bukanlah pilihan pertama untuk menjayakan watak ikonik naskhah Ombak Rindu, Hariz dan Izzah, kedua-dua pelakon ini tegar membentengi setiap ledakan kritikan dan memberi fokus penuh untuk teater ini.

Jika dinilai satu persatu drama yang pernah dilakonkan kedua-dua pelakon ini, mungkin ramai yang masih sangsi dengan keupayaan serta bakat mereka untuk menjayakan watak yang cukup berat itu.

Bersua bicara dengan mereka, jelas terpancar di raut wajah Uqasha Senrose dan Keith Foo kebimbangan terutama ketika disogok soalan bertalu-talu.

Malah, Uqasha sendiri berbisik di telinga saya, mengapa soalan-soalan panas yang ditanya dirasakan bagaikan serangan tanpa henti kepadanya? Mengapa tidak kepada pelakon lain?

Jelas saya, dia merupakan nakhoda kepada kapal yang membawa muatan emosi serta seribu satu kenangan peminat-peminat naskhah yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri suatu ketika dahulu, tentulah ada bezanya.

Maka tidak hairanlah, kemampuannya diragui dan dipertikai namun apa yang boleh dilakukan olehnya adalah berikan yang terbaik tanpa perlu memikirkan kecaman pihak luar biarpun sebenarnya, pedih untuk diterima.

Pertama kali beraksi di atas pentas teater apatah lagi Istana Budaya, Uqasha tidak mahu terus dibayangi dengan kecaman demi kecaman peminat tegar naskhah tersebut yang merasakan dia tidak layak untuk menjayakan watak Izzah.

Oleh kerana itu, Uqasha juga tekad menolak tawaran-tawaran lain dan memberi sepenuh perhatian bagi menjalani latihan untuk membawakan watak Izzah dan juga Suri yang mempunyai dua karakter berbeza.

Tidak mahu dibandingkan dengan Maya Karin yang dengan jayanya membawakan watak Izzah dalam filem Ombak Rindu, pelakon berusia 24 tahun ini menegaskan, naskhah yang bakal dipersembahkan di pentas teater berbeza dengan versi di layar perak.

“Filem hanya memaparkan jilid pertama karya agung Fauziah Ashari ini, tetapi di pentas teater Ombak Rindu akan membawa penonton menyelusuri pahit manis hidup sebagai seorang Izzah dalam ketiga-tiga jilid.

“Saya tidak mahu disamakan atau dibandingkan dengan Maya Karin. Dia pelakon yang hebat dan sememangnya saya bukan layak untuk diletakkan dalam kelas yang sama dengan pelakon hebat itu,” katanya.

Menerima tawaran dengan hati terbuka, pelakon Tundukkan Playboy Itu sama sekali tidak menyangka pihak produksi khususnya penerbit, Siti Rohayah Attan akan meletakkan kepercayaan ke atas dirinya yang lebih dikenali sebagai pelakon komersial untuk memegang watak berat sebegitu.

Melakonkan watak Suri yang merupakan biasan kepada watak lembut, Izzah menjadi cabaran utama yang perlu ditongkah Uqasha kerana karakter lasak dan berlagak tiada dalam diari hidup seorang yang bernama Uqasha.

Hilang lapan kilo demi Hariz

Juga tampil buat julung kalinya di pentas teater, Keith Foo juga seperti Uqasha, tidak mahu dibanding dengan Aaron Aziz yang membawakan watak Hariz dalam Ombak Rindu versi filem.

Namun bagi pelakon Ariana Rose ini, setiap kritikan tidak menunggu konsentrasi dalam menjalani latihan kerana dia lebih mempercayai diri sendiri berbanding terlalu memikirkan kepada kecaman pihak luar.

Malah, Keith sendiri mengambil masa yang lama untuk ‘membedah’ skrip teater tersebut dan dia tidak hanya membaca dialog bagi watak Hariz semata-mata sebaliknya cuba memahami karakter-karakter lain bagi memudahkan dirinya memahami karakter Hariz.

“Aaron dan saya merupakan dua orang yang berbeza, jadi bakat serta lakonan kami juga semestinya berlainan. Tetapi, tidak menjadi masalah sebenarnya untuk mereka membanding-bandingkan saya, namun mereka perlu sedar fakta itu.

“Pemilihan Uqasha pun merupakan keputusan yang tepat. Kami pernah berlakon sama dan dia merupakan pelakon yang komited terhadap kerja. Jadi, kami berdua dapat memberi 100 peratus fokus kepada teater ini,” katanya.

Menganggap setiap kritikan mahupun kecaman sebagai pembakar semangatnya, dia tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata nista itu dari sudut negatif kerana itu sebenarnya tanda prihatin peminat terhadapnya.

Demi menjayakan watak Hariz, si kacak ini nekad menurunkan berat badannya daripada 82 kilogram kepada 74 kilogram hanya dalam masa tiga minggu.

“Saya makan sup sayur semata-mata. Hendak nampak segak di atas pentas, ini pengorbanan saya lakukan. Lagipun pipi sudah nampak terlalu tembam, tidak sesuai dengan karakter Hariz yang kemas dan kacak.

“Mula-mula susah, kita sudah biasa makan nasi berulamkan sambal belacan semua, tetapi saya perlu lakukan ini semua. Hendak lakonkan watak pun lebih selesa, tidaklah terlalu risau nampak gemuk di atas pentas,” katanya.

Tidak mahu terlalu yakin, Keith merasakan dia perlu lebih menjalani latihan dan turut menolak tawaran-tawaran lain demi memberi sepenuh perhatian kepada persembahan teater ini.- Gambar FARID JANUDIN