Tidak hairanlah selepas berpisah dengan model, Sarah Snyder, 21, anak pasangan pelakon Hollywood, Will Smith dan Jada Pinkett Smith ini tiba-tiba tampil di khalayak dan membuat pengumuman penting. Aku sudah bertemu cinta baharu.

Gadis pilihan Smith adalah seorang pendatang baharu dalam industri lakonan Hollywood, Odessa Adlon, 18. Menariknya, dia juga merupakan anak kepada bintang filem prolifik 80-an, Pamela Adlon.

Latar belakang keluarga yang sama-sama terlibat dalam industri hiburan menjadi punca Smith dan Adlon cepat mesra dan dilihat intim walaupun usia hubungan mereka sangat baharu.


“Dalam tempoh yang cepat, Smith dan Adlon dilihat sangat mesra. Kedua-duanya dilihat sudah tidak segan lagi untuk mempamerkan kemesraan di tempat awam. Mungkin disebabkan masing-masing adalah anak artis, dah terbiasa dengan terdedah dengan media.

“Sebab itu mereka tidak kekok walaupun kadangkala kemesraan yang dipamerkan itu agak berlebih-lebihan dan dilihat sengaja dicipta untuk menjadi bahan bualan orang sekeliling,” kata seorang peminat setia kepada bintang filem The Karate Kid itu.

Cinta antara Smith dan Snyder bernoktah pada Mac lalu atas sebab-sebab tertentu selepas bercinta selama dua tahun. Sebulan selepas itu, Smith bertemu dengan Adlon dan membawa gadis itu ke sebuah majlis hiburan yang turut dihadiri ramai wakil media di Hollywood.

Enggan menyembunyikan kisah cintanya, Smith mengakui dia berfikiran terbuka dalam soal cintanya kali ini. Ini kerana tidak mahu disalahertikan oleh mana-mana pihak apabila dilihat kerap bersama dengan Adlon.

“Saya hanya mahu jadi diri sendiri. Saya tidak akan berbohong dengan perasaan ini. Cinta lama? Tidak perlu diperkatakan lagi, semua itu sudah menjadi sejarah,” kata Smith lagi.