Cinta si isteri buat suami yang pergi akibat kanser pada 3 Februari 2016 lalu tidak pernah berhenti. Malah setiap kali melihat surat-surat cinta lama, hatinya kembali hiba.

Demikian kasih sayang bekas pengarang majalah hiburan popular URTV, Bahyah Mahmood atau lebih mesra dipanggil BAM terhadap suaminya, Ahmad Idris yang dikenali sebagai ABI.

Justeru, tatkala satu-satunya buku tulisan ABI yang ditinggalkan untuk BAM, Memoir Wartawan Dari Geylang Serai ke Utusan Melayu diterbitkan dan dilancarkan dengan sempurna, tidak ada kegembiraan yang dapat dizahirkan oleh BAM.

“Seperti satu beban yang terlepas daripada saya apabila buku ini sempurna siapnya seperti mana yang dia mahukan. Apa sahaja yang dia tulis, begitulah yang terzahir dalam buku ini dan tidak ada langsung sebarang perubahan dibuat.

“Cuma dalam gembira dengan pelancarannya, saya berasa terkilan dan sebak sebab dia tidak ada di sini untuk melihat sendiri hasilnya. Apa pun, saya bersyukur kerana hajatnya termakbul kerana pada saat-saat akhir hidupnya, dia masih bersungguh-sungguh untuk memastikan buku ini siap dengan sempurna,” kata BAM dalam majlis pelancaran buku tersebut di ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur semalam.

Buku tersebut dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersempena majlis minum petang amal Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) & Tribute Untuk Allahyarham Ahmad Bin Idris (ABI).

Kata BAM, buku tersebut merupakan permata yang tidak ternilai harganya apabila ditulis sendiri dan disiapkan oleh Allahyarham suaminya pada penghujung hayatnya.

Setiap nukilan dan cerita yang dihasilkan oleh ABI turut mempunyai nostalgia hidup mereka berdua daripada permulaan perkenalan sehinggalah hidup bersama sebagai suami isteri selama 50 tahun.

“ABI menulis buku itu dalam tempoh setahun dan ketika dia sedang sakit. Dia orang lama, jadi segalanya ditaip sendiri menggunakan mesin taip dan kemudian meminta anak kami untuk menulis semula di dalam komputer.

“Pada saat akhir hidupnya, dia cukup gembira apabila pihak Utusan sendiri berjanji untuk menerbitkan buku tersebut yang di dalamnya penuh dengan memori yang sangat bermakna dalam perjalanan hidupnya sebagai wartawan dan nostalgia hidup kami berdua.

“Manuskrip asalnya masih 
di simpan rapi di rumah dan 
saya jadikan ia satu kenangan yang sangat indah sebagai 
tulisan terakhir suami saya,” kata BAM.

Buku bibliografi tersebut yang disempurna dan diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn Bhd, anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dijual pada harga RM35.