Bagaimanapun baru-baru ini dia berkongsi kejutan paling besar tahun ini dan akui, kehamilan anak keempat itu adalah rezeki terindah buat mereka sekeluarga.

Tidak mahu terlalu runsing soal jantina anak yang dijangka lahir pada Mei tahun depan, Nourul bagaimanapun tidak menafikan yang dia dan suami mengimpikan seorang anak perempuan.

“Kandungan sudah sembilan minggu. Memang suami mahu saya mengandung lagi. Dari tahun lepas, dia berharap dan memang harapan kami untuk mendapatkan anak perempuan. Tetapi apa pun yang penting adalah kesihatan bayi itu kelak,” katanya.

Biarpun memberitahu kini fokus kerjaya nyanyian, antara sebab dia tidak ada masalah untuk kembali mengandung pada usia 40 tahun adalah kerana janji suaminya, Eric Daniel Depp, 52.

“Selepas bersalin nanti suami berjanji untuk membantu saya mendapatkan kembali berat badan ideal. Sebab memang selepas habis berpantang saya akan kembali aktif menyanyi.

“Selain itu, saya tidak ada masalah untuk mempunyai anak kecil pada usia begini kerana menerusi pengalaman dua anak saya sebelum ini, suami memang sangat membantu. Dia tidak membiarkan saya menguruskan anak-anak seorang diri,” kongsinya.

Bakal terbang ke Perancis

Tidak mengalami alahan yang teruk, jelas Nourul atau Noorul Huda Abdul Wahab, kehamilannya kali ini turut mengimbau kembali kenangan ketika dia mengandungkan Ayu (daripada perkahwinan terdahulu).

“Tidak mengalami apa-apa alahan cuma rasa letih sahaja tetapi tidaklah membimbangkan. Keadaan ini sama ketika mengandungkan Ayu dahulu,” jelasnya.

Malah kata Nourul, anak sulungnya itu juga sangat gembira dengan berita kehamilannya dan berharap kali ini dia akan mendapat seorang adik perempuan.

“Ayu sangat seronok, sebagai kakak sulung dia beritahu seboleh-bolehnya dia mahu bakal adiknya ini macam dia. Dua lagi anak saya pula memang tidak boleh menyimpan rahsia, hampir semua orang yang mereka jumpa akan diberitahu kisah kehamilan saya. Itu juga antara sebab saya terpaksa kongsi berita ini lebih awal,” katanya ketawa.

Bakal terbang ke Perancis kira-kira sebulan lagi, kali ini Nourul bukan sahaja akan menikmati percutian musim luruh bersama-sama keluarganya, tetapi turut mencari individu yang akan bertanggungjawab memasarkan album berbahasa Perancisnya berjudul Humaine di negara itu.

“Saya akan pulang ke Perancis untuk percutian dengan keluarga. Sayangnya Ayu tidak boleh turut serta kerana terikat dengan jadual pengajiannya.

“Mengkut jadual saya akan berada di sana selama sebulan setengah dan sambil-sambil bercuti itu saya akan turut menguruskan pemasaran album Perancis saya yang masih tertangguh.

“Bagaimanapun album ini sudah boleh dinikmati melalui platform digital,” katanya.