Menurut Md. Fadzil atau mesra dengan panggilan Haji Zil, pelakon yang popular menerusi filem Adik Manja, Menanti Hari Esok dan Esok Untuk Siapa itu bersetuju untuk beraksi selepas diberitahu tentang jalan cerita telefilem yang akan diterbitkan kelak.

Kata Haji Zil, Noor Kumalasari akan muncul dalam projek telefilem bersama pihak Astro yang sudah lama diperbincang antara kedua-dua belah pihak.

“Sebenarnya projek nak buat telefilem khas kisah percintaan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum sudah lama dibincang, cuma waktu saja tidak mengizinkan. Bila saya cerita pasal skrip itu kepada kak Noor, dia tengok dan setuju.

“Saya tidak perlu pujuk kak Noor untuk bersetuju berlakon dalam telefilem ini. Kak Noor gembira kerana telefilem ini berkisar hubungan ibu bapanya. Dia juga tidak kisah untuk berkongsi pengalaman dengan penulis skrip, Hafizul Yob. Malah skrip juga sudah dirombak beberapa kali,” kata Haji Zil.

Telefilem berjudul Pintu No. 9, itu akan menjalani penggambaran di Mekah kerana seperti yang sedia maklum pusara Allahyarham S. Roomai terletak di sana selepas pelakon itu meninggal dunia di Hospital Makkah, Arab Saudi sewaktu menunaikan ibadah umrah pada 16 Mac 1996.

Tambah Haji Zil, Noor Kumalasari akan berlakon sebagai Umi Kalthum dan pelakon itu juga mencadangkan agar Datuk Jalaluddin Hassan membawa watak S. Roomai Noor.

“Secara asasnya, cerita ini dibuat hasil daripada penceritaan kak Noor. Setakat ini dia berpuas hati dengan skrip yang dihasilkan. Saya baru selesai berurusan dengan kedutaan Arab Saudi, Isnin lalu. Memandangkan kami akan pergi ramai dan untuk penggambaran, pihak kedutaan nasihatkan agar pergi selepas Aidilfitri sebab sekarang ini ramai orang sedang buat umrah.

“Untuk memudahkan segala urusan, jadi ikut saja. Saya tidak mahu buat penggambaran curi-curi, kalau boleh saya nak buat kerja dalam suasana aman,” jelasnya.

Selain pelakon untuk Pintu No.9, rombongan yang dijangka berangkat ke Mekah pada 11 atau 18 Jun ini ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Tasha Shilla, Fathia Latiff, Redza Rosli, Sherry Ibrahim, Fattah Amin, Aishah Illias dan Mak Jah.

“Kami akan berada di sana kira-kira 20 hari. Sepanjang berada di sana, kami bukan saja menjalani penggambaran telefilem Pintu No.9, Zeel Production juga akan buat drama 13 episod dan sebab itulah saya bawa ramai pelakon. Setiap seorang daripada mereka akan berlakon satu episod.

“Setiap artis akan menjalani penggambaran dua atau tiga hari sahaja, selebihnya saya bagi mereka kebebasan untuk menunaikan ibadah umrah. Selain artis, rombongan ini juga disertai 30 orang kru yang dibahagikan kepada dua pasukan, satu untuk telefilem dan satu lagi drama episod. Untuk telefilem dan drama episod, tanggungjawab berat itu diberikan kepada Murali Abdullah. Pemilihan Murali juga atas cadangan kak Noor,” kata Haji Zil yang membelanjakan kira-kira RM300,000.