Malah pelakon berusia 31 tahun ini juga semakin membiasakan diri dengan cara hidup yang baru selepas menempuhi proses pemulihan diri.

Mengakui pernah tertekan sehingga jatuh sakit dek terlalu memikirkan nasib namun Nisha kemudiannya bangkit berdepan dengan realiti.

Biarpun masih terkesan dengan peristiwa itu tetapi Nisha tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rutin hidupnya seperti biasa.

“Dalam soal putus tunang ini, kaum Hawa yang lebih banyak menanggung malu kerana berdepan dengan pandangan serong masyarakat berbanding kaum Adam.

“Saya sendiri merasai situasi itu malah kadangkala boleh paranoid secara tiba-tiba. Keadaan itu juga membuatkan saya mengambil keputusan untuk menyepikan diri seketika.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk merahsiakan mengenai kisah putus tunang ini sebelum mahu berterus-terang,” katanya berhubung dakwaan sengaja berteka-teki tentang status diri sebelum ini.

Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Nik Shahri’ah Nik Dir memberitahu, dia masih berhubungan dengan bekas tunangnya itu meskipun sudah tidak mempunyai ikatan.

Nisha berkata, dia juga tidak pernah bermasam muka dengan bekas tunangnya selepas berpisah memandangkan mereka sudah berkawan baik sejak dulu lagi.

Justeru Nisha menegaskan, dia tidak akan memburuk-burukkan lelaki itu apatah lagi untuk membuka cerita punca yang menyebabkan perpisahan mereka.

“Sebagai wanita yang pernah melangkah ke alam pertunangan, sudah pastilah saya mengharapkan pengakhiran yang gembira.

“Tapi tak sangka pula putus di tengah jalan. Nak buat macam mana, memang tak dapat dielakkan. Bukannya kami tak berusaha untuk mempertahankan hubungan kami.

“Waima selepas putus tunang hujung tahun lalu, kami sedaya upaya berbaik semula. Kami ambil masa tiga bulan juga untuk memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Tapi nampaknya usaha yang dilakukan itu sia-sia.

"Kami terpaksa terima hakikat yang kami tiada jodoh lagi,” jelasnya yang turut susut berat badan selepas putus tunang.

Pun begitu Nisha memberitahu, dia banyak bermuhasabah diri selepas ditimpa dugaan sebegitu kerana tidak mahu kejadian memeritkan hati itu berulang lagi.

Bagi Nisha, itu cara terbaik untuk memulihkan kembali semangat yang hilang demi kelangsungan hidup.