Dipersembahkan selama tiga hari di pentas berprestij, Istana Budaya, teater yang dibawakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini mempunyai nilai-nilai seni yang penuh pengajaran dan iktibar.

Masih terbayang-bayang kerancakan serta kemeriahan tarian, aksi serta persembahan lakonan yang cukup berkesan sehingga penonton terbawa-bawa mengikuti sejarah hidup legenda pahlawan yang bertitik tolak di Sumatera Barat, Indonesia.

Sekalung pujian perlu diberikan kepada pengarah persembahan naskhah agung ini, Lokman Ghani yang berjaya mengumpul tenaga padu daripada keseluruhan produksi sehingga persembahan yang boleh disifatkan tidak membosankan.

Malah, biarpun adakala persembahan ini sedikit meleret, namun teater muzikal randai yang durasinya lebih dua jam itu ternyata memberi kepuasan kepada penonton yang teruja menyaksikan tarian serta aksi peperangan yang dipersembahkan dengan cukup gah.

Pentas Cindua Mato dimulakan dengan tarian penuh seni yang menceritakan maksud randai sebenarnya yang membawa erti tarian berbentuk bulatan disertakan dengan persembahan lakonan di tengahnya.

Mata penonton terus tertancap dengan lakonan handal barisan artis terlibat yang mempersembahkan watak masing-masing dengan jayanya, malah setiap karakter mempunyai kekuatan tersendiri sehingga penonton dapat merasai perit, suka duka yang ditanggung mereka.

Remy Ishak yang membawakan watak Cindua Mato mempersembahkan watak itu tanpa perlu bersusah-payah seolah-olah legenda agung negara seberang itu sudah sebati dengan dirinya yang begitu meminati seni serta budaya.

Penonton benar-benar dapat merasai keperitan hidupnya yang hanya dianggap sebagai ‘kambing hitam’ sehingga memaksa Cindua Mato mengorbankan cinta sejatinya demi mempertahankan tanah air.

Kisah agung ini sebenarnya mempunyai persamaan yang agak ketara dengan legenda Melayu, Hang Tuah terutama kisah cinta antara Cindua Mato dan Puteri Bongsu yang mempunyai ciri-ciri serupa Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang.

Namun, fikiran tersebut pantas dicantas apabila kisah tragis ini perlu dikupas tanpa dibayangi mana-mana pengaruh terutama naskhah legenda Hang Tuah kerana Cindua Mato punya jalan cerita yang tersendiri.

Meneruskan kehebatan lakonan, Azhan Rani yang menjayakan watak Dang Tuanku juga membawa penonton merasai keperitan hidupnya yang dikhianati cinta sehingga memaksa dia ‘mengorbankan’ adiknya iaitu Cindua Mato sendiri.

Malah, pelakon-pelakon handal seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zuhairi Ibrahim dan Vanidah Imran menjayakan watak mereka tanpa perlu dipertikai kehebatan masing-masing di atas pentas.

Namun, saya sebenarnya begitu tertarik dengan persembahan Juhara Ayob yang membawakan watak Puti Linduang Bulan dengan begitu berkesan sehingga dapat merasakan kesedihannya sebagai ibu yang benar-benar khuatir terhadap keadaan anaknya, Puti Bongsu (Puteri Aishah).

Biarpun kehadirannya cuma mungkin lima hingga 10 minit di atas pentas, namun penyampaian emosinya begitu menusuk perasaan. Tidak dilupakan, kehadiran Ebby Yus sebagai Duba yang merupakan penaik seri persembahan muzikal randai ini dengan lawak-lawak spontan serta gelagat kelakarnya sehingga penonton tertawa tidak kering gusi melihatkan aksinya di atas pentas.

Mungkin, sekelumit kecacatan dilihat pada watak Rajo Mudo yang dijayakan oleh Ahsraf Muslim kerana karakter itu dilihat ‘terlalu tua’ untuk pelakon seperti Ashraf namun, pujian harus diberikan kerana pelakon itu bersungguh-sungguh mempamerkan bakatnya.

Biarpun persembahan ini bermula lambat, namun penantian itu berbaloi kerana ternyata, teater muzikal randai ini mempunyai semangat seni yang jarang sekali dipersembahkan secara umum.

Malah, prop pentas, susunan muzik, pencahayaan serta pakaian keseluruhan produksi yang begitu indah dan mempesona benar-benar membuktikan teater ini punya kelas tersendiri.