Mula menyuarakan keinginannya itu pada awal September lalu, ternyata tahun ini bakal menjadi tahun terakhir buat Nidji untuk membuat persembahan sebelum kumpulan itu ‘ditidurkan’ buat seketika.

Tidak tahu berapa lama Nidji akan hilang dari arena dunia muzik tetapi yang pasti pilihan Giring untuk bergelar wakil rakyat dan menyertai Partai Solidaritas Indonesia (PSI) memerlukannya melupakan dunia seni yang sudah diceburinya sejak 15 tahun lalu.

Bertemu dengan Giring dan ahli Nidji yang lain ketika mereka berada di Malaysia minggu lalu untuk menjayakan Konsert Gegaran, tiada yang lebih menyedihkan buat mereka selain mengumumkan bahawa konsert tersebut menjadi pentas terakhir mereka di Malaysia buat masa ini.

“Ini adalah konsert terakhir daripada kami buat peminat kami di Malaysia, manakala di Indonesia pula 31 Disember ini bakal menjadi tarikh penting apabila tiada lagi persembahan Nidji selepas itu.

“Bukan mudah sebenarnya untuk mengambil keputusan ini malah saya juga mengambil masa yang lama untuk memberitahu ahli kumpulan Nidji yang lain mengenai keputusan saya untuk menyertai bidang politik.

“Tetapi saya harap mereka faham bahawa ini adalah tanggungjawab yang perlu saya galas sebagai seorang rakyat Indonesia dalam membela nasib rakyat yang lain,” kata Giring.

Tidak dibubarkan

Menafikan tiada lagi Nidji selepas ini, kata Giring, yang perlu peminat tahu kumpulan itu tidak akan dibubarkan sebaliknya hanya direhatkan sementara dia memberi tumpuan dalam bidang politik.

“Mungkin berehat selama beberapa tahun sementara saya aktif dalam bidang politik. Memang kami mendapat reaksi berbeza daripada peminat di Indonesia sendiri mengenai keputusan kami. Ada yang tidak dapat terima tetapi ada juga yang memberi sokongan buat saya meneruskan cita-cita dalam bidang politik,” tambahnya.

Bercakap mengenai tujuan dia menyertai arena politik, Giring memberitahu, sokongan serta dorongan daripada Presiden Indonesia membuatkan dia yakin untuk terjun dalam bidang yang diakui sendiri oleh penyanyi itu sebagai sesuatu yang lebih kejam berbanding dunia artis.

“Setiap kali saya dibuli di media sosial apabila bercakap soal politik saya akan lihat kembali bagaimana Presiden Indonesia, Joko Widodo menanganinya. Yang penting adalah niat saya untuk bekerja demi rakyat.

“Pilihan saya juga adalah untuk memantapkan sistem pendidikan di Indonesia yang sekali gus membantu untuk membangunkan negara saya,” ujarnya.

Tentunya selepas ini jika ada peluang untuk Giring kembali ke Malaysia, dia bukan lagi seorang ahli muzik. Mengakui fakta itu, kata Giring, apapun gelarannya sama ada sebagai penyanyi Nidji mahupun seorang ahli politik, dia tetap orang yang sama.

“Sebenarnya kalau selepas ini saya ke Malaysia lagi saya hanya mahu bercuti, saya tidak pernah bercuti di sini (ketawa).

“Buat penyanyi atau anak seni di Malaysia yang ada niat mahu terjun ke politik nasihat saya jadilah diri sendiri,” katanya.

Isterinya, Cynthia Riza juga sudah bersetuju untuk melepaskan dia terjun ke dunia politik namun kata Giring, pada mulanya sukar juga untuk meyakinkan isterinya yang kini sedang hamil anak keempat mereka.

“Awal-awal lagi saya sudah menerima ugutan bunuh daripada pengguna laman sosial, jadi isteri saya beranggapan saya gila untuk meneruskan niat sebagai ahli politik. Namun kini semua sudah okey,” katanya yang bakal menimang anak lelaki.

Sabtu lalu juga menyaksikan bukan sahaja Nidji tetapi dua lagi kumpulan muzik terkenal tanah air turut beraksi di pentas yang sama. Dimulakan dengan persembahan Hujan, Nidji dan akhir sekali kumpulan rock legenda Search ternyata rata-rata peminat yang hadir pada malam itu dapat menyaksikan sendiri kehebatan setiap kumpulan.

Walaupun Nidji kekal menjadi tumpuan pada malam itu kerana ini adalah konsert terakhir mereka namun tidak dapat dinafikan Search juga berjaya membawa peminat mereka dibuai dengan lagu-lagu yang cukup sinonim dengan nama Search sendiri.

Antara lagu yang tentunya cukup diminati bukan sahaja peminat dari negara kita tetapi peminat yang datang jauh dari Indonesia sendiri adalah lagu Isabella.

Sementara itu, pekarangan lokasi konsert di Shah Alam juga dipenuhi peminat ketiga-tiga kumpulan ini.

Menyaksikan perbezaan generasi peminat yang hadir memberi makna konsert ini berjaya membuktikan gabungan muzik berbeza ini berjaya mencipta fenomena tersendiri.