Arwah bapa Kudsia sangat meminati muzik dan gemar menyanyi sewaktu zaman mudanya. Masih segar dalam ingatan Kudsia dia pernah menemani arwah bapanya ketika pertandingan Bintang RTM 1976.

Pada waktu itu arwah bapanya bersaing dengan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang diangkat sebagai juara dalam pertandingan yang sama.

“Saya berkongsi minat yang sama dengan arwah bapa yang gemar mendengar muzik. Waktu itu radio adalah medium utama buat sesiapa yang gemar mendengar muzik.

“Sebab itu di rumah kami, radio dipasang sepanjang masa. Keadaan itu mencetuskan keinginan saya menjadi sebahagian daripada ‘orang radio’ apabila sudah besar nanti.

“Alasannya ‘orang radio’ adalah antara individu paling awal dapat mendengar lagu,” kata Kudsia mengimbas punca yang menyebabkan dia mahu terlibat dalam penyiaran radio tempatan.

Kudsia memulakan karier pertama sebagai juruhebah radio pada usia 19 tahun di Rediffusion Radio Network (RCN) di bawah pengurusan Ambank selama dua tahun setengah.

Dia kemudian berkhidmat di radio muzik pada 1994 sebelum ditawarkan menjadi juruhebah dan Pengurus Rancangan Hits FM pada 1996.

Bagaimanapun tidak mudah untuk mengejar cita-citanya sebagai penyampai radio itu. Semuanya berkat restu daripada ibu, Suraiya Abdullah yang tidak pernah berhenti memberi galakan kepada dirinya.

Sebagai langkah awal untuk merealisasikan impiannya itu, Kudsia melengkapkan diri dengan pengetahuan am menerusi pembacaan surat khabar dan buku ilmiah.

Apa saja aktiviti yang dijalankan ketika zaman persekolahannya membabitkan pengucapan awam dan sesi perdebatan, Kudsia tidak pernah berlengah-lengah untuk mengambil bahagian.

Pamerkan bakat

Seawal usia sembilan tahun Kudsia menyertai pertandingan bercerita ketika di Sekolah Rendah Gombak Dua, Gombak, Selangor. Kepetahan Kudsia bercakap juga semakin terserlah sewaktu di zaman remajanya.

Sekolah Menengah (Perempuan) Jalan Ampang, Kuala Lumpur (kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Ampang) menyaksikan perkembangan bakat Kudsia dalam usaha untuk merealisasikan impian menjadi penyampai radio.

Selain keperluan untuk tujuan itu dipenuhi, Kudsia juga turut menajamkan kemahiran penulisan dengan mengikuti kursus ketika berusia 14 tahun.

Bertuah kerana dapat menuntut dengan penulis akhbar berbahasa Inggeris, Datin Rose Ismail, Fatimah Abu Bakar dan Aishah Ali, Kudsia menajamkan kemahiran penulisan karangan agar lebih baik.

Entah macam mana, terbit keinginan dalam diri Kudsia untuk menjadi wartawan sewaktu tempoh pembelajaran dengan ketiga-tiga wanita berkenaan.

Kudsia nekad menceburi bidang kewartawanan kerana merasakan pengajian itu akan membawanya untuk mendalami cabang-cabang lain dalam komunikasi massa.

“Atas dasar itulah saya mengambil kursus kewartawanan di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, Selangor (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara).

“Saya percaya yang ilmu yang diperoleh itu tidak akan sebati dalam jiwa melainkan disusuli latihan amali. Sebab itu masa belajar di ITM, saya menjadi penyampai radio sambilan di RCN.

“Selepas tamat belajar sekitar 1993, saya berjinak-jinak sebagai pengacara rancangan bual bicara Selamat Pagi Malaysia di RTM (Radio Televisyen Malaysia).

“Setiap ilmu yang ada saya akan pegang. Begitu juga dengan peluang,” katanya yang pernah bertindak sebagai pengacara dalam sebuah konsert usahasama antara RTM dengan syarikat penyiaran NHK di Jepun pada 1994.

Peguam

Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Kudsia pernah menyimpan hasrat untuk menjadi peguam ketika berusia 19 tahun. 

Bidang itu menjadi pilihan keduanya sekiranya impian Kudsia untuk menjadi wartawan tidak kesampaian satu masa nanti.

Merasakan guaman adalah bidang yang menepati minatnya yang gemar bercakap, Kudsia juga mengikuti pengajian Diploma Bahasa Perancis di Universiti Border Perancis bagi melengkapkan keperluan tujuan itu.

“Sebenarnya untuk orang yang suka bercakap seperti saya ini, tak semestinya bagus untuk menyandang jawatan peguam. Tapi saya risau juga mana tahu cita-cita nak jadi wartawan tidak kesampaian.

“Sebab itu selepas setahun setengah belajar di Perancis saya ambil keputusan untuk ambil kursus kewartawanan di ITM. Saya nak merealisasikan cinta pertama saya dari bangku sekolah iaitu bidang radio.

“Cukup-cukuplah berangan dengan berpura-pura depan cermin menggunakan sikat sebagai mikrofon dan berangan sebagai penyampai radio. Saya nekad menjadi penyampai radio yang sebenar.

“Atas semangat yang sama itu, saya mencuba nasib di pelbagai sesi ujibakat. Semua stesen radio saya pergi termasuklah di RTM,” katanya yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kedudukan Kudsia dalam bidang penyiaran radio semakin stabil selepas menyertai All-Asian Satellite Television and Radio Operator (Astro) pada 1996.

Pada waktu itu, Kudsia memegang jawatan sebagai Eksekutif sebelum Pengurus Rancangan Hitz FM. Dia pernah bertindak sebagai Pengurus Besar Rangkaian Era FM dan Sinar FM. Jawatan terakhir di situ adalah Naib Presiden Media Baru di AMP Radio.

Selepas 17 tahun berkhidmat dengan Astro, Kudsia berhijrah ke Star Publications (M) Bhd. (Star Publications) sebagai Ketua Pegawai Operasi di Kumpulan Radio Star.

Menamatkan khidmatnya selepas tiga tahun di situ, akhirnya Kudsia mengambil keputusan untuk mengendalikan syarikatnya sendiri, Kudsia + Co yang ditubuhkan November tahun lepas.

“Terlalu banyak kenangan manis pahit selama 26 tahun berada dalam bidang radio. Semua itu berguna buat panduan hidup dan kerjaya mendatang saya.

“Semuanya terjadi atas nekad dan fokus saya untuk mengejar apa yang saya ingini sejak kecil. Doa dan restu ibu bapa juga penting sepanjang tempoh itu.

“Paling penting, kita kena memastikan yang rancangan kita itu benar-benar berjalan lancar,” ujarnya yang berhasrat mempunyai syarikat radionya sendiri satu hari nanti.

Menerusi Kudsia + Co, Kudsia menawarkan perkhidmatan berkaitan latihan dan pembangunan wanita dan ibu tunggal di seluruh Malaysia.

Selain itu, syarikat yang sama turut menawarkan kursus pengucapan awam dan perkongsian ilmu untuk mengukuhkan profesion kerjaya penyampai radio.

Prinsip

Dari hanya seorang penyampai radio biasa, Kudsia mengorak langkah mencuba satu persatu bidang termasuk drama, filem dan teater. Dia juga pernah menjadi penyampai berita dan pengacara serta terlibat dengan beberapa program televisyen di belakang tabir.

“Saya memang seorang yang aktif dan tak boleh duduk diam. Saya senang kalau ada projek dan dapat bertukar-tukar idea dengan orang baharu kerana cara itu dapat mengembangkan pemikiran kita.

“Prinsip hidup saya juga tidak pernah berkata tidak untuk menceburi bidang baharu. Tidak salah kalau mencuba bukan. Sekurang-kurangnya saya menimba ilmu baharu.

“Jadi apabila ada tawaran yang bukan dalam bidang radio, saya bersedia untuk mempertimbangkannya. Asalkan bidang itu tidak memudarkan rasa cinta saya terhadap radio.

“Walaupun kini saya tidak lagi bekerja dengan mana-mana syarikat radio, saya tetap mahu menyumbangkan sesuatu untuk kebaikan sejagat,” ujarnya.

Menurut Kudsia, peranan radio dalam masyarakat sangat penting dan sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat.

Meski pun industri ini bersaing dengan kehadiran klip video muzik dan penyiaran media lain, radio tetap mempunyai pengikut yang tersendiri.Foto AMIN FARIJ HASAN dan KOLEKSI PERIBADI KUDSIA KAHAR