Neelofar 

Malah lebih tepat pelakon ini sendiri tidak tahu bila sebenarnya dia akan bernikah, sama ada tahun ini atau beberapa tahun lagi.

“Memang saya ada luahkan impian saya untuk berkahwin, malah saya sudah bersedia ke arah itu. Namun sama ada tahun ini atau dua tiga tahun lagi saya tidak tahu.

“Apa yang boleh saya doa kini bila sudah sampai masanya, diharapkan agar semuanya dipermudahkan dan tiada halangan besar,” katanya jujur.

Tidak pernah penat untuk terus dikaitkan dengan Fattah Amin, kata Neelofa sebagai seorang pelakon menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan kerja yang diamanahkan dengan baik.

Namun dalam masa yang sama perkara ini tidak seharusnya dijadikan punca atau sebab untuk mempersalahkan dirinya apabila ada pihak yang melihat hubungannya dengan Fattah seakan memberi harapan palsu kepada peminat mereka.

“Selepas ini juga saya dan Fattah akan terlibat dalam drama yang sama. Jadi tidak adil sebenarnya kalau ada pihak yang mahu salahkan kami sedangkan ini adalah tanggungjawab yang perlu kami lunaskan sebagai pelakon.

“Jujurnya kami tidak bertanggungjawab ke atas harapan dan anggapan orang di luar sana,” katanya.

Apa pun Fattah sendiri berani memberitahu lagu Wanita Terakhir ditujukan untuk Neelofa. Ternyata ada getar cinta yang terbit dalam jiwa lelaki ini. Bagaimana pula penerimaan Neelofa sendiri ke atas kejujuran Fattah itu?

“Saya melihat dia sebagai seorang lelaki yang sangat jujur dengan perasaannya. Bila dia pilih untuk berbuat demikian tiada siapa yang boleh hentikannya. Jadi saya tidak lihat perlunya orang di luar sana menghukum dia dalam hal ini,” kata Neelofa tenang.

Gambar Mohd Riduan Rizal Ahmad

Pada 31 Mac depan, keluarga Neelofa bakal menerima seorang lagi ahli keluarga baharu apabila pelakon Sharnaaz Ahmad bakal menikahi kakaknya iaitu Noor Nabila. Berbicara mengenai persiapan, ternyata sebagai adik Neelofa tidak begitu mengambil tahu memandangkan kakaknya lebih senang melakukan semuanya sendiri.

“Sejak awal lagi dia dan Sharnaaz sudah bersetuju untuk melakukan kesemua persiapan sendiri. Jadi saya tidak ada 
beri apa-apa bantuan termasuk idea.

“Namun jika ada pihak yang mahu menaja dan memerlukan saya untuk membuat promosi, saya akan buat untuk dia,” tambahnya.

Ditanya bagaimana pula keadaan dirinya jika mahu berkahwin kelak, kata wanita ini, dalam waktu sekarang dengan jadual yang agak padat tentunya dia akan melantik seorang perancang perkahwinan yang akan menguruskan segalanya.

“Kalau saya mudah sahaja, lantik seorang perancang perkahwinan dan dia akan menguruskan semuanya. Tidak mahu peningkan kepala memandangkan saya sendiri juga banyak kerja lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa bakal terbang ke Paris selama dua bulan berturut-turut. Antara sebab pelakon ini akan berada di kota romantik itu disebabkan pelantikannya sebagai duta sebuah produk kosmetik antarabangsa.

“Saya akan terbang ke Paris pada Mac dan April. Untuk April, ia berkaitan dengan pelantikan sebagai duta produk kosmetik.

“Apa jenama kosmetik tersebut, tunggulah...saya masih belum boleh kongsi,” katanya.