Lebih senang hidup menyendiri membesarkan anak kesayangan, Nur Haikal, 9, Nan Dengkil juga mengakui, kegagalan rumah tangga terdahulu membuatkan dia fobia berkahwin lagi.

Bagaimanapun pendirian Nan Dengkil itu berubah apabila berkenalan dengan Siti Fadilah Adam, 37, hujung Februari lalu.

Pembantu pengurusan murid di Sekolah Rendah Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan itu berjaya membuka pintu hatinya untuk kembali bercinta.

Lebih menambahkan rasa teruja, dalam diam-diam rupa-rupanya Siti Fadilah juga menyimpan perasaan terhadap Nan Dengkil.

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan berkahwin kerana mahu bercinta selepas ikatan suami isteri sah.

“Isteri saya janda beranak tiga manakala saya duda. Tak ada alasan mengapa kami perlu melengah-lengahkan urusan mendirikan rumah tangga.

“Sebaliknya saya perlu bersyukur apabila ada wanita yang hadir dalam hidup saya dan sudi menerima kekurangan diri ini,” kata Nan Dengkil.

Komposer lagu Biar Betul nyanyian kumpulan Akar ini berkahwin dengan Siti Fadilah di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban pada 5 April lalu.

Mengulas lanjut, Nan Dengkil berkata, perkara mengenai perkahwinan dicetuskan oleh seorang rakannya yang mahukan dia memikirkan tentang masa depan anaknya yang masih kecil yang memerlukan kasih sayang seorang ibu selain bimbang andai satu hari Nan Dengkil tiba-tiba jatuh sakit.

“Jujur dikatakan saya tidak mahu berkahwin selepas gagal dalam perkahwinan pertama dulu. Saya benar-benar kecewa sehingga membawa diri ke Gurun, Kedah.

“Saya nekad untuk membina hidup baharu berdua dengan anak saya, Haikal sehinggalah saya berkenalan dengan isteri saya melalui laman sosial.

“Selepas isteri meluahkan keinginan untuk hidup susah senang bersama, barulah saya sedar yang sebenarnya saya tidak boleh terlalu ego diri.

“Saya juga perlu memikirkan masa depan Haikal. Dia juga ada keinginan untuk hidup dengan keluarga yang sempurna,” katanya lagi.

Menurut Nan Dengkil, hatinya semakin terpaut dengan Siti Fadilah dan ingin hidup bersama selepas bertentang mata buat kali pertama pada 14 Mac lalu.

Mereka juga tidak berlengah-lengah merancang tarikh perkahwinan selepas pertemuan tersebut dan Nan Dengkil juga akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Seremban dari Gurun.

Pasangan itu merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran perkahwinan mereka pada 29 Mei depan.

Melalui perkahwinan terdahulu, Siti Fadilah mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Muhammad Fikri, 17, Fatin Aina, 14, dan Faikah Hadirah, 12.

Nan Dengkil lelaki jujur

SEMENTARA itu Siti fadilah mengakui, dia tertawan dengan Nan Dengkil dalam tempoh singkat kerana terpikat dengan kejujuran lelaki itu.

Baginya, Nan Dengkil tidak pernah berbohong dengan setiap kata-kata yang diungkapkan.

Malah Siti Fadilah mengakui pernah beberapa kali menguji Nan Dengkil untuk mengetahui sejauh mana keperibadian lelaki tersebut.

“Sebagai wanita yang pernah merasai kesakitan selepas berpisah dengan bekas suami, sudah pastilah terdetik keraguan untuk memulakan hubungan baharu.

“Sebab itu sebelum pertama kali bertemu dengan Nan Dengkil pada 14 Mac lalu, saya sudah membuat solat istikharah.

"Saya berdoa kepada Yang Maha Esa agar keputusan saya untuk menjadi isteri dia adalah tepat.

“Nyata yang saya impikan itu menjadi kenyataan. Dia juga ikhlas menerima saya dan bersetuju untuk hidup bersama,” kata guru tuisyen secara sambilan ini lagi.

Percaya Nan Dengkil adalah suami yang tepat untuk membimbing ketiga-tiga anaknya, Siti Fadilah juga mengimpikan agar kehidupan mereka bahagia hingga ke akhir hayat.- Foto AIRUZ IZYANA AYUB