Pun begitu, jangan sesekali membuat andaian yang jika nama yang diberikan itu tidak mempunyai maksud tertentu dalam agama. Sebaliknya perlulah sentiasa bersangka baik kerana setiap kelahiran anak itu pasti ada peristiwa dan keunikan tersendiri.

“Memang nama saya, Silfeny tiada erti yang spesifik dalam agama kita. Namun itu tidak bermakna kedua orang tua saya tidak maklum tentang kebaikan memberi nama berasaskan agama.

“Bezanya di sini sewaktu nama saya diberikan, ibu (Ammy Effendi) saya berasal dari Indonesia meminati pelakon negara kelahirannya, Silfana.

“Dia kemudiannya menggantikan hujung nama aktres itu dengan memadan dan menyesuaikan namanya sendiri. Itulah cerita asal nama saya.

“Sekaligus menjadikan saya keistimewaan berbanding adik beradik yang lain,” kata peserta Gadis Panca bernama penuh Silfeny Mohd. Osman berhubung kedudukan nama uniknya itu.

Mengakui keunikan namanya itu menyebabkan dia sentiasa dalam ingatan kenalan sekelilingnya, kelebihan itu juga menyebabkan Silfeny juga kadangkala dilihat pelik.

Hinggakan pernah satu ketika Silfeny perlu menerangkan secara berulang kali maksud namanya itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai berhubung pegangan agamanya.

“Nama saya kedengarannya macam ada unsur kebaratan tapi pemilik nama itu benar-benar Melayu. Janganlah mudah menghukum pada pemilik nama yang pelik-pelik ini.

“Yang penting, keunikan nama seseorang itu berpotensi menjadi pelaris,” kata bekas pramugari syarikat penerbangan tempatan ini lagi.