Malah, penampilannya dalam siri terbaharu, Abang Bomba I Love You (ABILY) di saluran yang sama dengan mendukung watak Mawar juga menyerlahkan kewibawaan anak kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu sebagai salah seorang pelakon baharu yang perlu diberi perhatian.

Bertandang ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini, ternyata aura yang dimiliki Nadya seolah-olah dapat dihidu kakitangan di sini sementelah seorang demi seorang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya merakam kenangan.

Namun menyoroti kejayaannya menempa nama sebagai pendatang baharu, nama Nadya sebenarnya tidak begitu dikenali, tenggelam di sebalik populariti watak Bella dan Mawar yang lebih melekat di memori peminatnya. Buktinya, sepanjang berada di bangunan Utusan melewati blok-blok pejabat di sini, tiada seorang pun yang menyapanya dengan nama Nadya.

Berbicara mengenai hal itu, Nadya sedikit pun tidak berkecil hati apabila khalayak lebih mengenali nama wataknya berbanding nama sebenar. Ini kerana, senario itu sekali gus membuktikan keberkesanan watak yang digalasnya menerusi kedua-dua siri berkenaan.

“Saya rasa ramai lagi pelakon senior yang telah melalui situasi yang sama. Misalnya watak Joyah dalam drama Opah yang pernah berada pada tangan dramatis Norlia Ghani begitu menjadi sehingga sekian lama orang memanggilnya dengan nama tersebut. Begitu juga Botak dalam siri Juvana yang dilakonkan oleh Johan As’ari.

“Jadi, saya ambil positif akan keadaan ini. Sekurang-kurangnya saya tahu prestasi kerja saya sebagai seorang pelakon. Lagi pun saya masih baru dalam bidang ini, lama-kelamaan insya-Allah peminat akan kenal nama saya,” beritahunya optimistik.

Dosa sendiri

Berbicara lanjut tentang imej dan penampilannya, terdapat juga cakap-cakap negatif yang mengiringi kejayaannya dalam bidang lakonan.

Demi menjayakan watak Bella, dia dituntut melakukan perbuatan atau kelakuan agresif termasuklah mencekik, menampar dan sebagainya, sekali gus bersentuhan dengan lelaki.

Malah, di laman sosialnya sebelum ini, Nadya ada memuat naik foto bersama tunangnya, Fizul Nawi yang merangkul bahunya. Secara tidak langsung, ia menjadi topik perbualan umum yang mempertikai imej Islamiknya.

Menjawab kontroversi berkenaan, ujar Nadya, dia tidak mahu wanita bertudung hipokrit, berpura-pura menjadi Muslimah sempurna di hadapan khalayak, padahal hakikatnya tata cara hidupnya bukan sebegitu.

“Saya hanya menjadi diri saya yang sebenar. Masyarakat di luar sana bebas untuk membuat persepsi sendiri, tiada siapa boleh menghalang. Di dunia realiti, begitulah cara hidup saya. Walaupun bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim, tetapi saya tahu batas pergaulan yang perlu dihadkan.

“Dosa saya, biarlah saya tanggung sendiri. Maaf kalau ada yang tidak senang dengan pendirian saya ini,” katanya memberi penjelasan.

Pun begitu, setiap hari, Nadya perlahan-lahan cuba mendidik dirinya untuk memperbaiki kelemahan diri sebagai seorang muslimah.

“Siapa yang tidak mahu jadi wanita solehah yang dijanjikan nikmat syurga? Saya percaya semua orang beriman mahukan ganjaran itu. Jadi, sama-samalah kita berdoa agar saya terus diberikan hidayah,” tambahnya.

Rela dibenci peminat

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kehadiran Nadya memecah tradisi dan melakar sejarah tersendiri apabila dia disifatkan sebagai pelakon bertudung yang begitu menyerlah membawakan watak antagonis.

Kekejaman Bella dan kekejian Mawar yang ditonjolkan sukar untuk menepis fakta bahawa Nadya berjaya mengumpul jumlah ‘haters’ yang tinggi berdasarkan maklum balas peminat drama Melayu yang diperoleh di laman sosial.

Menerusi komen-komen pengikutnya, ada yang berpendapat imej antagonis bertudung memberi panorama baharu dalam penerbitan karya-karya di negara ini memandangkan belum ada lagi pelakon ‘jahat’ berketrampilan sepertinya.

“Pertama kali saya berlakon adalah sebagai heroin dalam telefilem Aku Bukan Haji yang disiarkan di saluran TV Alhijrah bergandingan dengan aktor Ashraf Muslim.

“Ketika itu saya membawa watak gadis baik, sesuai dengan imej bertudung. Namun selepas melihat semula lakonan sendiri ketiak ia disiarkan, saya membuat keputusan untuk berhenti berlakon seketika gara-gara malu menonton mutu lakonan yang kaku dalam telefilem berkenaan,” katanya kepada Mega.

Selepas itu, dia kembali semula mengasah bakat lakonannya menerusi beberapa lagi buah drama termasuklah siri popular Isteri Separuh Masa sehinggalah akhirnya diberi kepercayaan oleh pengarah Michael Ang membintangi Dia Semanis Honey.

“Tawaran itu amat mengejutkan kerana sebagai orang baharu, ia sesuatu yang besar. Apatah lagi perlu mendukung watak jahat, karakter yang bertentangan dengan imejnya.

“Selepas mempertimbangnya, rugi jika saya tidak mencuba dan menyahut cabaran. Saya bersyukur kerana diberi raut wajah serta suara garau yang banyak membantu menyerlahkan lagi aura antagonis,” katanya selain mengenakan gincu merah pekat sebagai pelengkap.

Nadya bersyukur diterima, sekurang-kurangnya dia berjaya menyampaikan mesej bahawa tidak semua wanita bertudung itu baik sifat dalamannya.

Slogan hidup gadis berbintang Libra ini ialah ‘tetapkan niat, mulakan usaha dan jangan pernah berputus asa sehingga mendapat keputusan terbaik.

Sebelum bergelar pelakon, Nadya Syahera aktif sebagai peragawati busana Muslimah, selain pernah menjadi pengacara majalah televisyen berkonsepkan fesyen dan hiburan.

Baru sahaja mengikat tali pertunangan, Nadya dan Fizul dijangka mendirikan rumah tangga dalam sekurang-kurangnya setahun lagi.

Sedang meniti populariti, Nadya tidak menyesal untuk berkahwin awal kerana percaya menerusi perkahwinan, seseorang itu akan dibuka pintu rezeki seluas-luasnya.