Namun, siapa sangka penyanyi popular sekitar 1990-an yang turut bersaing dalam program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu, sejak sekian lama menanggung derita menahan kesakitan akibat masalah tulang belakang.

“Masalah sakit tulang belakang yang saya alami bermula selepas saya jatuh terduduk ketika bermain hoki di sekolah. Namun, disebabkan saya jenis tahan lasak, saya biarkan sahaja. Lama-kelamaan masalah itu semakin teruk dan kesannya masih terasa sehingga sekarang. Saya kini perlu mendapatkan rawatan secara berkala dengan pakar kiropraktik.

“Untuk mengelakkan kesakitan melampau, saya juga terpaksa mengehadkan aktiviti termasuk tidak melakukan senaman berat dan mengurangkan kekerapan memakai kasut tinggi. Jika tidak, rasa sakit akan datang terutama di bahagian kanan belakang saya,” katanya kepada S2.

Selain mengehadkan pergerakan, Mya Ruslee juga tidak boleh duduk dan berdiri dalam tempoh yang lama kerana kesannya boleh menyebabkan tekanan di bahagian belakang tubuhnya, terutama di bahagian pinggang dan punggung.

“Duduk di kerusi yang empuk dan selesa turut membuatkan saya berasa sakit kerana permukaan sebegitu akan memberi tekanan kepada badan saya.

“Justeru, saya perlu lebih banyak berehat dalam keadaan baring, di samping mendapatkan rawatan akupuntur dan membuat ‘adjustment’ daripada pakar bagi mengurangkan kesakitan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi meneruskan persaingan di pentas GV5, Mya Ruslee telah melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan kelancaran ketika melakukan persembahan.

“Memandangkan saya sudah dimaklumkan dari awal tentang keputusan terpilih menjadi peserta yang bertanding, beberapa persediaan telah dibuat termasuk dari segi penampilan, tatarias, busana dan kelab peminat.

“Sebagai penyanyi, persediaan dari segi vokal memainkan peranan penting. Justeru, saya mengambil pendekatan mengawal pemakanan, banyakkan berehat dan tidur mencukupi.

“Selain itu, persediaan mental dan fizikal termasuk melakukan rawatan dengan pakar kiropraktik turut dilakukan,” katanya.

Menghadapi persaingan hebat daripada peserta GV5 yang lain, Mya Ruslee bagaimanapun tetap meletakkan harapan yang tinggi untuk melangkah ke peringkat akhir.

“Harapan saya..., kalau boleh nak melangkah ke peringkat akhir. Sebelum ini, saya sudah tiga kali mencuba untuk menyertai Gegar Vaganza, namun baru kali ini saya berjaya terpilih sebagai peserta.

“Perasaan saya sukar digambarkan kerana saya memang sangat gembira memandangkan kali terakhir saya membuat persembahan di pentas dalam acara besar adalah pada 1998. Ketika itu, saya berjaya memasuki peringkat separuh akhir Muzik-Muzik.

“Alhamdulillah, selepas 20 tahun, saya kini kembali semula untuk membuat persembahan di pentas dalam program popular GV5.

“Saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin. Dalam masa yang sama, saya ingin buktikan kepada semua 
bahawa saya boleh menyanyikan lagu dari perlbagai genre,” katanya.