Izreen yang dapat dilihat kelibatnya dalam drama bersiri Ahli Mesyuarat Tingkap, satu kegemarannya yang saya dapat lihat gemar berkongsi foto di Instagram terutamanya sewaktu bekerja di lokasi penggambaran. Mungkin dengan cara itu, Izreen melakukan promosi untuk projek terbaharu untuk memberitahu peminatnya.

Malangnya sikap Izreen itu sering disalah anggap, terutamanya kalau dia memuat naik foto bersama dengan pelakon lelaki yang berganding dalam drama. Maklumlah sebagai ibu tunggal kepada Adrian Umar, tak ada siapa yang nak marah kalau Izreen bergambar dengan lelaki lain.

Melihat daripada foto-foto itu, memang kita dapat melihat kemesraan antara Izreen dengan Nazrief Nazri atau Redza Rosli, tapi hakikat sebenar kata wanita itu, dia tidak ada apa-apa hubungan cinta dengan pelakon lelaki yang dikaitkan dengannya.

“Saya pun tak tahulah kenapa jadi macam tu, pada hal bukannya ada apa pun. Bukannya saya candle light dinner dengan mereka pun. Mungkin kadang-kadang peminat ni terlalu taksub apabila mereka tengok satu-satu cerita, sampai terbawa ke luar dan campurkan soal peribadi.

“Saya boleh masuk dengan siapa saja, kalau orang yang kenal saya yang perangai ‘gila-gila’ ni mereka tahu saya boleh kawan dengan sesiapa sahaja. Mungkin sifat mudah mesra buat orang cepat rapat dengan saya. Saya tahu apa yang saya buat dan rakan-rakan pun tahu, malah orang yang digosipkan dengan saya pun tahu kebenaran.

“Tak ada kesan pun pada saya, biarlah orang nak cakap apapun, bila penat, diamlah. Saya abaikan semua itu, kalau terlalu memikirkan benda itu susah, sebab mulut orang mana boleh tutup. Baik abaikan gosip itu selagi ia tidak mengganggu saya, keluarga dan kerjaya, lantaklah. Yang penting saya tahu apa yang saya buat,” katanya tegas.

Menyedari dirinya kerap digosip dengan lelaki, Izreen yang bercerai dengan bekas suami, Muhammad Riza Baharuddin pada Jun 2014, lebih senang mengambil sikap ‘biarlah orang nak fikir apa’ kerana yang penting dia tahu kebenaran cerita itu.

“Saya sekarang sangat selesa dan bahagia lebih fokus pada kerjaya, anak, keluarga dan diri sendiri. Bila lagi kita nak menyayangi diri sendiri.

“Buat sementara waktu ini, saya tidak mahu memberi komitmen dengan sesiapa sahaja. Saya selesa macam ni sebab nak pergi mana, balik pukul berapa, nak keluar dengan siapa senang sebab tidak ada komitmen. Saya bukannya tidak pernah kahwin, dah pernah dan ada anak pula. Jadi bukan hal besar pun kerana saya sudah lalui semua itu,” ujarnya yang bakal muncul dalam projek drama episod awal Jun ini.- Gambar JEFRI IRAN

Saja nak cuba nasib

ADA yang berpendapat program Gempak Superstar yang bersiaran setiap Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro HD itu seolah-olah memperbodohkan artis yang rata-rata adalah pelakon. Jika dibuat uji bakat untuk menyertai program realiti nyanyian, sah-sah tak layak.

Biarpun itu kali pertama penonton melihat Izreen menyanyi tetapi nyanyian bukanlah aktiviti baharu baginya kerana sebelum ini, dia telah menyumbang suara untuk lagu tema drama Kak Marr dan Tak Over Tak Sah untuk Ahli Mesyuarat Tingkap.

“Lagu yang saya nyanyi bukanlah yang serius. Macam lagu tema drama Kak Marr, liriknya ada unsur komedi, jadi lagunya lebih kepada keceriaan. Macam tu juga untuk lagu tema Ahli Mesyuarat Tingkap, Tak Over Tak Sah, bukanlah lagu yang tangkap leleh atau serius. Ini adalah lagu yang santai bercerita tentang drama tu. Kalau lagu itu memerlukan nada yang tinggi, sudah tentu saya pun tolak.

“Lagipun sekarang ini saya lihat macam dah jadi satu trend, pelakon menyanyi untuk drama atau filem lakonannya. Bagi saya setakat ini, kesempatan menyanyi ini satu bonus kerana tidak ramai pelakon yang berpeluang merakam lagu. Kalau penyanyi beza sikit sebab kita boleh lihat ramai golongan ini menjadi pelakon,” jelas Azreen tentang peluang yang diperolehnya.

Bercerita mengenai pengalamannya menyertai Gempak Superstar, kata Izreen, pada awalnya dia terkejut sebab ditawar menyertai program tersebut.

“Waktu ditawar, saya terkejut sebab tak pernah terfikir ada program menawarkan pelakon tiba-tiba jadi penyanyi. Dua tiga hari juga saya ambil masa sebelum memberi keputusan, tapi bila fikir kawan-kawan lain pun turut serta, saya jadi seronok untuk terokai sesuatu yang baharu bersama mereka.

“Selain bersama rakan-rakan, saya terima tawaran itu sebab ia adalah program baharu dan ini kali pertama saya sertai program realiti nyanyian yang sememangnya saya tak tahu apa-apa. Menyertai program ini juga saya cuba cabar diri sendiri yang selalu nyanyi kat karaoke, sekali sekala nak juga buat persembahan. Saya ambil program ini pun sebab nak tengok kemampuan diri, boleh pergi atau tidak, selain melakukan perkara baharu dengan kawan-kawan,” katanya.

Pengalaman menyanyi di hadapan penonton memang berbeza dan Izreen akui hatinya sentiasa berdebar, tatkala menunggu giliran untuk buat persembahan.

“Perasaan tu tidak boleh nak cakap apa, memang ada persediaan dibuat. Gementarnya lain macam, berlakon di set pun saya berdebar, berlakon teater pun takut, apatah lagi menyanyi nak bagi semua orang tengok secara langsung, perasaan takut memang ada dan dalam masa yang sama saya suka buat sesuatu yang baharu sebagai anak seni.

“Peratus gementar dan takut memang tinggi. Takut terlupa lirik atau termasuk dulu daripada muzik, macam-macam dalam fikiran sebelum melangkah ke pentas, tapi saya cuba positifkan diri sendiri sebab sokongan daripada kawan-kawan,” katanya tersenyum.

Katanya, setiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin dia akan berada di Johor Bahru dan bila kembali ke Kuala Lumpur, sibuk dengan latihan.

“Bila dah ambil keputusan untuk masuk program ini secara tidak langsung saya berhenti untuk sementara waktu kerja-kerja lakonan. Saya tidak suka buat dua kerja dalam satu masa sebab kita bukan robot. Sebab program ini pun dibuat di Johor Baharu, jadi Jumaat, Sabtu dan Ahad mesti berada di sana.

“Hari Jumaat, pilih nota lagu, Sabtu buat raptai dan Ahad, siaran langsung dan sidang akhbar selepas program. Hari Isnin baru boleh balik ke Kuala Lumpur. Hari Selasa dan Rabu ada kelas vokal serta drama, jadual memang padat. Jadi saya lebih senang tumpukan pada program ini,” katanya.

Tak adalah bila masuk program ini termimpi akan ada single atau buat persembahan. Saya ni kosong dalam bab menyanyi ni. Orang kata suka-suka, nak jadikan sebagai kerjaya nombor satu tidak kerana fokus utama saya adalah dalam bidang lakonan.

“Cinta saya adalah dunia lakonan, menyanyi hanyalah suka-suka tapi kalau orang nak bagi buat single, apa salahnya. Tapi kalau orang kata nak fokus buat single album lepas ni tak adalah. Lagipun program ini bukan menyanyi saja, berlakon pun ada juga,” katanya.