Dalam satu kejadian di New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kata John dia telah dipanggil dengan gelaran monyet oleh seorang jurugambar paparazi yang bertindak seperti orang tidak bermoral ketika cuba mengambil gambarnya.

John mengkritik kelakuan jurugambar tersebut namun mengaku tidak terasa hati dengan gelaran itu. Dia menganggap dirinya seorang yang bijak dan tabah.

“Lelaki berkenaan berada dekat dengan saya sehingga saya boleh mendengar dengan jelas apa yang dikatakan. Memang dia memanggil saya monyet tanpa rasa bersalah.

“Saya tahu, zaman dahulu, golongan berkulit hitam pernah menerima gelaran seperti ini. Penindasan sering menjadi salah satu elemen rasis dan penguasaan mereka terhadap golongan kulit hitam.

“Itu adalah sebahagian daripada sejarah Amerika namun malangnya ia masih lagi berlaku pada zaman sekarang,”katanya kecewa.

Tahu bahawa bukan dirinya sahaja yang pernah terkena, John memberi contoh bekas Presiden AS, Barrack Obama juga sering menerima panggilan buruk seperti itu.

“Obama dan isterinya juga pernah terkena dengan panggilan haiwan tersebut, selalu sangat. Tahu tak, saya tak terasa sakit hati pun. Sebaliknya, saya rasa kasihan terhadap manusia seperti ini yang umpama tidak waras apabila berkata-kata,”katanya.

Di sebalik apa yang berlaku, John bagaimanapun tidak memberi sebarang isyarat bahawa dia mahu mengambil tindakan undang-undang mengenai isu tersebut.