TULUS

Bersua bicara dengan penyanyi berusia 31 tahun ini, ruang lingkup perbualan kami lebih menjurus kepada perjalanan kerjaya seninya yang jelas mematangkan penyanyi lagu Manusia Kuat ini.

Tidak mahu membuka mulut andai disoal tentang kehidupan peribadi, Tulus seboleh-bolehnya hanya mahu peminat mengenali dirinya menerusi karya-karya muzik yang mempunyai maksud pada setiap lirik dan melodi.

Menempuhi cabaran dan liku dalam dunia seni banyak mengajarnya erti bersyukur dan dia menzahirkan rasa itu menerusi karya-karyanya supaya lebih dekat dengan setiap pendengar.

“Kebanyakan inspirasi saya semasa menulis lagu hadir daripada cerita sendiri dan juga kisah rakan-rakan terdekat. Saya lebih senang bercerita tentang perjalanan hidup menerusi lagu.

“Saya bekerja untuk bersyukur. Berkarya untuk bersyukur. Setiap lagu mempunyai cerita yang dekat dengan saya. Karya-karya saya banyak mengajar bukan sahaja orang luar tetapi saya sendiri.

“Sebagai komposer dan penyanyi, kita berkarya untuk menyuarakan isi hati. Peminat dapat merasa kesedihan atau kegembiraan kita menerusi lagu, Saya berterima kasih kepada semua,” katanya.

Memulakan langkah seni pada 2011 menerusi album sulungnya, Tulus, perjalanan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Pamit ini punya seribu satu cerita pahit dan manis.

Tidak pernah mengimpikan dapat menyanyi di hadapan puluhan ribu orang malah mengadakan konsert di beberapa negara luar termasuk Jepun, Tulus sentiasa berusaha untuk terus menjadi inspirasi kepada peminatnya.

“Saya bermula agak lewat, pada usia 24 tahun. Saya perlu menyelesaikan pengajian terlebih dahulu sebelum melangkah dalam industri seni. Itu perkara ‘wajib’ yang menjadi syarat daripada keluarga.

“Malah saya tidak boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Saya lebih senang untuk fokus kepada satu-satu perkara. Oleh itu, saya habiskan pengajian terlebih dahulu dan baru menyanyi.

“Selepas itu bermula perjalanan saya. Memang sukar kerana saya bukan bermula di pentas yang besar. Bantuan Internet membolehkan ramai peminat luar Indonesia mendengar muzik saya,” katanya.

Tampil dengan album baharu, Monokrom, harapan yang dicipta oleh Tulus setinggi gunung.

Baginya, album itu merupakan terjemahan kasih dan sayangnya kepada peminat yang selama ini menyokongnya.

“Kalau diminta memilih lagu yang paling saya suka, itu agak sukar. Sebanyak 10 lagu yang terkandung dalam Monokrom semuanya sudah ditapis dan hanya yang terbaik dimuatkan ke dalam album itu.

“Album baharu memang dalam perbincangan tetapi masih belum cukup lagu. Saya tak pernah tulis lagu dengan komposer lain. Mungkin selepas ini saya belajar untuk berkolaborasi.

“Saya ada ideologi sendiri. Tidak ada waktu tertentu untuk mencipta lagu. Setiap lagu ada cerita daripada penglihatan saya sendiri. Jarang saya menulis lagu berdasarkan imaginasi semata-mata,” katanya.

Konsert sulung

Membuka gelanggang bicara tentang konsert sulungnya di Istana Budaya, Kuala Lumpur jelas penyanyi ini, dia tidak sabar-sabar untuk menghiburkan peminat. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia sebagai penyanyi, Tulus punya harapan besar.

“Persiapan mental dan fizikal menjadi agenda utama sebelum saya beraksi. Memang perasaan sangat gembira untuk membuat konsert di sini. Sebelum ini saya banyak berinteraksi dengan peminat Malaysia menerusi media sosial sahaja.

“Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang konsert kerana semuanya masih rahsia. Belum boleh bagi tahu cuma yang saya janjikan adalah konsert yang penuh tenaga dan dekat dengan anda semua. Saya selalu berkunjung ke Malaysia tetapi sebagai pelancong. Ini kali pertama sebagai penyanyi dan berpeluang untuk mengadakan konsert, memang teruja,” kata juri rancangan realiti, The Voice Indonesia ini.

Ditanya siapakah artis Malaysia yang diminati untuk berduet, Tulus hanya tertawa kecil. Dia perlu masa untuk memikirkan gerangan penyanyi hebat Malaysia supaya tidak mengecewakan mana-mana pihak.

“Soalan itu susah sangat dan saya belum boleh jawab. Banyak sangat pilihan, beri saya waktu. Kalau salah jawab nanti, ibu saya marah. Ramai pemuzik Malaysia yang hebat-hebat,” katanya.

Soal konsert, Tulus tidak kisah mengadakan persembahan dalam skala besar atau kecil. Baginya, bukan kuantiti penonton yang hadir menjadi tanda ukur, sebaliknya penerimaan peminat yang mendengar karya lebih diutamakan.

“Besar atau kecil, itu bukan ukuran. Yang penting, peminat puas hati dengan persembahan saya. Selepas ini, saya akan terus masuk studio untuk album baharu,” katanya mengakhiri bicara.