Pokok pangkalnya, serba serbi menyenangkan. Saleha sendiri tidak menyangka terlalu banyak keindahan dan rahsia dalam alam rumah tangga yang perlu diterokai banyak menyemarakkan ikatan sedia ada.

“Secara teknikalnya, saya bukan jenis yang membaca buku semata-mata untuk mengetahui cara menjadi isteri solehah. Saya lebih selesa jika semua itu berlaku secara semula jadi, ia lebih bermakna.

“Bukan nak cakap yang saya ini dah cukup bagus untuk jadi isteri yang baik. Tapi tak salah kalau setiap tindak tanduk dilakukan berdasarkan keperluan dan rasa tanggungjawab pada pasangan kita.

“Yang penting, kita sama-sama mencuri hati pasangan hidup kita. Kena bagi hubungan itu kekal berbunga bukan saja di peringkat awal perkahwinan tapi sampai bila-bila,” kata Saleha berkongsi kehidupan hari ini.

Masih dalam proses melengkapkan diri sebagai isteri, Saleha percaya toleransi dan sikap memahami Lutfi yang merupakan pegawai kerajaan itu menjadikan urusan hariannya menjadi mudah.

Sementelah bidang kerjaya masing-masing berbeza, seboleh-bolehnya Saleha tidak mahu mencetuskan sebarang isu yang menyentuh soal kepercayaan antara dirinya dengan pasangan.

Oleh demikian, Saleha perlu menjaga tingkah laku bersesuaian dengan statusnya sebagai isteri supaya tidak ada isu yang boleh mengundang rasa kurang senang dengan pasangannya itu kelak.

Mungkin pada waktu ini tiada apa-apa yang boleh menggugat kepercayaan antara satu sama lain. Tapi tak salah kalau Saleha terus mengekalkan amalan saling mempercayai antara satu sama lain demi kepentingan masa depan.

“Pada peringkat awal pertemuan, Lutfi mungkin tak selesa dengan bidang kerja saya. Jumpa ramai orang, bergambar dengan peminat, jadual kerja tak sama dan macam-macam lagi.

“Tapi tak salah kalau saya memberi keselesaan kepada dia. Begitu juga sebaliknya sewaktu saya perlu mengikut dia ke majlis jemputannya pula. Jadi kena pandai-pandai membawa diri mengikut kesesuaian majlis.

“Apapun sekarang ini adalah momen bahagia saya. Bersyukur sangat,” ujarnya selepas majlis Detik Seindah Bersama Siti Saleha bersama kelab peminat, Team Siti Saleha dan Digi Telecommunications baru-baru ini.

Curi hati si dia!

BIARPUN kehidupannya dilihat sudah lengkap dan tidak perlu bekerja untuk mendapatkan wang namun Saleha enggan cara sebegitu. Istilah duduk rumah sambil goyang kaki di rumah itu langsung tiada dalam kamus hidupnya memandangkan Saleha sendiri berdikari sejak berusia 18 tahun lagi.

Oleh itu, Saleha langsung tidak terfikir untuk menamatkan kerjaya seninya yang sudah pun serasi dalam hidupnya itu sedangkan dia sendiri yang bersusah payah untuk sampai ke peringkat seperti hari ini.

“Yang penting sebagai isteri yang ada kerjaya, kita perlu bijak membahagikan masa. Jangan jadikan alasan kerja sebagai punca mengabaikan tanggungjawab dengan keluarga. Sibuk mana pun, perlu ada masa untuk suami.

“Jaga pakai dan makan dia, itu tanggungjawab isteri. Kalau semua okay, tak akan ada masalah. Saya kena memahami kerja suami yang memerlukan dia keluar negara atas urusan kerja selepas beberapa minggu kami berkahwin.

“Dia juga memahami kalau saya jadual penggambaran saya berakhir pukul 3 pagi. Semua itu bukan masalah besar, jika masing-masing memahami,” kata Saleha yang semakin mahir menyediakan juadah masak lemak daging salai kegemaran suami.

Masih dalam mood berbulan madu, Saleha yang kini menetap di rumah keluarga mentuanya di ibu kota juga mengakui tidak pernah merancang dalam soal cahaya mata yang bakal menceriakan hari-hari mendatang bersama Lutfi.

Masing-masing percaya soal rezeki ditetapkan-Nya, lambat atau cepat Saleha yakin pasti ada kemanisan hikmah yang bakal dinikmati mereka berdua kelak.

"Dalam bab anak, saya dan suami tak terlalu menumpukan hal ini secara serius. Tenang-tenang saja, ada banyak masa lagi untuk memikirkannya. Lagipun belum lagi pergi berbulan madu selepas selesai majlis resepsi tempoh hari. Jadi kalau ada dalam tempoh terdekat, kami sangat berbesar hati,” kata Saleha yang bakal ‘terbang’ ke Kepulauan Mauritius hujung tahun ini.

Keprihatinan ku

SEBAGAI selebriti, Saleha juga tidak pernah lupa tentang tanggungjawabnya untuk membantu golongan memerlukan. Terpanggil untuk menyumbangkan baktinya buat Pusat Kajian Kanser Malaysia yang terletak di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor, keputusan itu dibuat itu bersebab.

Latar belakang anggota keluarga terdahulu yang pernah menghidap penyakit berkenaan menyebabkan Saleha tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan institusi perubatan itu dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai.

Atas dasar yang sama, Saleha menyumbangkan kesemua duit pemberian tetamu yang hadir pada majlis resepsinya yang pertama berlangsung di ibu kota kepada institusi berkenaan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi.

Sebelum ini, Saleha dan pasangannya mengadakan tiga majlis resepsi perkahwinan mereka yang diadakan secara berperingkat di sekitar Kuala Lumpur.

Pun begitu, Saleha enggan mendedahkan jumlah pemberiannya itu kerana tidak selesa berbuat demikian. Niatnya hanya satu, dia berharap agar sumbangannya itu dapat dimanfaatkan pihak yang benar-benar memerlukan.

“Ini soal ibadah saya, jadi tak ada apa yang perlu diuar-uarkan kepada orang luar. Cukuplah cuma saya yang tahu berapa jumlah sumbangan itu. Tak perlu diperbesar-besarkan.

“Apa yang penting, kerjasama yang dilakukan ini tidak akan berhenti di sini saja. Saya akan terus menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyakit ini kepada umum.

“Sebab penyakit ini datangnya secara senyap-senyap. Kita tak tahu akan kehadirannya melainkan kita sendiri yang membuat pemeriksaan,” kata adik kepada penyanyi Sam Bunkface ini.