Menyingkap memori silam, lelaki yang dilahirkan di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu ini sering dimarahi oleh arwah neneknya kerana mengetuk tempayan hingga pecah semata-mata untuk menghasilkan bunyi muzik.

“Masa kecil saya memang agak nakal, kalau tak kena marah memang tak sah. Tapi satu perkara yang saya perasan dari dulu lagi saya memang teruja dengan bunyi yang ada melodi.

“Bila saya ketuk tempayan arwah nenek bunyi dia bergema tapi rasa seronok sebab ada bunyi. Jadi saya ketuk kuat-kuat tak sangka pula boleh pecah. Itu yang buat dia naik angin,” ujarnya sambil tergelak mengenang kisah lucu tersebut.

Ceritanya lagi, di kampungnya ketika itu dia sering menyaksikan kaum cina memukul gendang dengan kuat setiap kali adanya kematian. Jika kanak-kanak lain takut dengan bunyi bising tersebut namun berlainan pula bagi dirinya yang akan mengikut rombongan tersebut berjalan hingga ke tanah perkuburan.

“Itu kenangan yang paling tak boleh lupa. Sedar tak sedar rupanya dah jalan jauh ikut mereka. Apa lagi terus lari balik rumah sebab hari dah gelap. Sampai sahaja di rumah terus kena rotan dengan emak. Masa tu walaupun banyak kali kena rotan tapi tetap tak pernah serik.

“Masa umur sepuluh tahun pula, saya baru tahu wujudnya gitar bila tengok abang beli gitar. Tapi setakat tengok-tengok sahaja nak usik tak berani sebab dia garang. Cuma saya selalu ikut dia dan kawan-kawannya bermain gitar di sekitar kampung.

“Disebabkan suka sangat dengan gitar, akhirnya saya buat gitar sendiri dengan papan dan tali rafia. Tak kisah pun masa tu rupa bentuk macam mana yang penting boleh berbunyi. Setiap kali balik dari sekolah terus panjat pokok dan main gitar,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini lagi.

Ternyata Iklim diterima baik dalam industri hiburan. Album pertama berjudul Satu Kesan Abadi diterima ramai dan lagu-lagu hits seperti Hakikat Sebuah Cinta, Sandiwara Cinta Semusim dan Seribu Penghargaan menjadi siulan anak muda.

Lagu Suci Dalam Debu begitu gah ketika itu sehinggakan populariti kumpulannya naik mendadak secara tiba-tiba. Melalui single Suci Dalam Debu juga Iklim dinobatkan beberapa anugerah menerusi Industri Muzik Malaysia & Indonesia pada sekitar tahun 1990, 1991 & 1992.

“Perjalanan terlalu singkat. Mulanya saya dan rakan-rakan sekadar ingin mencuba nasib, tiba-tiba lagu diterima ramai. Rasa terharu dan kami akhirnya putuskan untuk bergiat aktif dalam industri selepas album tersebut mendapat sambutan.

“Kalau nak diikutkan waktu album mula-mula terkenal, orang cuma kenal suara kami sahaja. Muka kami, memang orang tak perasan lagi. Masa tu kami masih berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan dalam bas banyak kali deejay selalu putarkan lagu kami.

“Dalam bas saya dengar orang bercakap tentang lagu Iklim. Paling kelakar penumpang di sebelah saya cakap dia berharap sangat dapat berjumpa dengan ahli kumpulan Iklim dan dia membayangkan semua ahli kumpulan Iklim mesti kacak,” ceritanya sambil tergelak.

Bercerita pengalaman ketika zaman kegemilangan kumpulan Iklim, dia masih mengingati saat-saat susah mereka bersama. Ketika mula berpindah ke Kuala Lumpur, mereka hanya makan nasi kosong sahaja dan menumpang di rumah rakan untuk beberapa ketika.

Malah sepanjang karier sebagai artis, mereka pernah beberapa kali ditipu oleh pihak penganjur. Antaranya ketika diundang membuat persembahan di Teluk Intan, Perak dan juga di Genting Highlands, Pahang.

“Pengalaman di Teluk Intan, sampai sahaja di sana penganjur hilang dan kelengkapan muzik yang sepatutnya disediakan pun tak ada. Gelabah juga waktu tu sebab kasihan orang kampung dah beli tiket. Mahu ataupun tak terpaksa minta jasa baik orang kampung kumpulkan kelengkapan muzik yang ada.

“Mujurlah persembahan dapat diteruskan. Cuma yang tak seronoknya bunyi tak sehebat mana sebab kelengkapan yang ada pun sesuai untuk kenduri kahwin sahaja. Tapi sekurang-kurangnya puas sebab tak menghampakan mereka,” ujarnya yang turut pernah mendapat cek tendang daripada penganjur.

Hampir 30 tahun dalam bidang seni dan masih bersama dengan kumpulan Iklim, dia kini tetap aktif di belakang tabir dengan menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Mohalim Audio Production (MAP). Memperkenalkan artis-artis baru, syarikat tersebut, ini bukti cintanya pada industri hiburan.

“Saya tetap bertahan dengan kumpulan Iklim cuma sekarang kami tidak lah aktif seperti dahulu. Tapi itu bukanlah sebab utama untuk saya tinggalkan hiburan. Kalau boleh sampai bila-bila saya akan sumbangkan jasa dalam industri ini,” ujarnya yang pernah melahirkan sembilan buah album sepanjang bersama Iklim.

Kisah Rain Stone

Menginjak usia remaja, dia bersama beberapa orang rakan sekampung menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Rain Stone. Kumpulan mereka cukup dikenali di sekitar kampung dan turut menerima undangan membuat persembahan di merata tempat.

“Kalau nak diikutkan saya lebih suka bermain muzik daripada menumpukan pelajaran waktu itu. Mungkin sebab minat yang tak terbendung ni bermula sejak kecil lagi. Dalam fikiran selalu fikir orang yang pandai bermain muzik ni hebat.

“Mujurlah masa tu keluarga tak halang pun cuma mak pesan walau-apapun yang penting habiskan sekolah dulu. Hati meronta-ronta nak cepat habis belajar. Masa tu juga setiap petang saya pergi menyaksikan persembahan geng-geng pemuda kampung main gitar.

“Saya belajar pun dari situ sekadar tengok-tengok orang sahaja. Dulu mana ada kelas muzik macam zaman sekarang. Semua kena belajar sendiri. Mungkin sebab perkara tersebut kita suka jadi cukup mudah untuk saya pelajari,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Panji Alam, Kuala Terengganu ini lagi.

Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tidak menyangka abang sulungnya menghadiahkan nya sebuah gitar. Bermula daripada saat itulah dia berjanji dalam dirinya akan bergiat aktif dalam dunia hiburan dan memasang angan-angan bergelar artis.

Pengalaman kena tipu

Ternyata laluannya bukan semudah yang disangka. Kumpulan Rain Stone yang ditubuhkan terpaksa dibubarkan memandangkan ramai di antara rakan-rakannya menyambung pelajaran dan bekerja setelah tamat SPM.

“Tinggal saya seorang. Tapi saya tak berputus asa. Tanpa disangka ada seorang kawan mengajak saya menyertai kumpulan Kelab Remaja Hiliran. Kumpulan ni agak aktif sekitar Terengganu hinggakan kami dipelawa untuk menyertai pertandingan Battle Of The Band yang berlangsung di Ampang Park, Kuala Lumpur.

“Waktu itu saya tidaklah letakkan harapan tinggi untuk menang. Sebab yang bertanding semua nama-nama besar antaranya kumpulan May, Febians dan banyak lagi. Tapi bagi saya sekurang-kurangnya kami dapat pengalaman menyertai acara besar.

“Kali pertama bertanding, kami tak menang pun. Cuma selepas itu kerap lagi bertanding. Pada tahun 1988, habis sahaja bertanding saya dan rakan-rakan pulang ke Terengganu. Memang itulah rutin kami. Tapi kali itu, kami dapat panggilan untuk buat album,” ujarnya.

Pun begitu mereka terpaksa mencari ganti penyanyi utama disebabkan penyanyi asal jatuh sakit. Ketika itu juga dia bertemu dengan Salim dalam satu pertandingan nyanyian di Setiu, Terengganu.

“Dalam keadaan kelam kabut mencari pengganti saya terjumpa Salim. Masa tu dia tengah menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu dalam satu persembahan. Saya lihat ada sesuatu yang unik dalam diri dia. Suara dia lain daripada lain. Jadi saya tawarkan dia untuk menjadi vokalis.

“Apabila dapat sahaja vokalis, kami pun terus hantar demo tape kepada beberapa syarikat rakaman. Masa tu susah sikit nak masuk dalam dunia hiburan. Mungkin sebab kami dari kampung jadi tak berapa pandai sangat lagi. Ada jugalah kena sindir tapi kami buat tak tahu sahaja,” katanya.

Akhirnya pada tahun 1990, Syarikat Rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS Record) telah memberi kepercayaan kepada kumpulan Iklim untuk membuat rakaman album mereka yang pertama. Pada mulanya kumpulan mereka diberi nama Khatulistiwa tapi sebab nama tersebut dah digunapakai jadi ia ditukar pada nama Iklim.

Disebabkan suka sangat dengan gitar akhirnya saya buat gitar sendiri dengan papan dan tali rafia. Tak kisah pun masa tu rupa bentuk macam mana yang penting boleh berbunyi. Setiap kali balik dari sekolah terus panjat pokok dan main gitar.