Dengan kombinasi penyanyi lama dan baharu di pentas untuk minggu pertama membuktikan pertandingan ini masih menjadi medan terbaik buat anak seni untuk menarik minat khalayak menghargai karya-karya mereka.

Pada minggu pertama, seramai 10 orang penyanyi sudah melunaskan tanggungjawab mereka untuk membuat persembahan. Ini memberi makna terdapat 20 buah lagu lagi yang akan membuat persembahan sebelum hanya 12 daripada 30 lagu ini dipilih untuk ke pentas akhir AJL32.

Walaupun sekadar pentas separuh akhir, ternyata setiap penyanyi yang membuat persembahan tidak mengambil mudah kemampuan mereka dalam menyampaikan lagu memandangkan persembahan ini adalah penentu kepada kelayakan mereka ke AJL32.

Melalui penjurian oleh AG Coco, Eddrie Hashim, Halen Yap, LY, Azmeer, Pak Ngah dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri, lagu ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan berjudul Sejati yang dinyanyikan oleh Azmi Caliph Busker terpilih menjadi lagu terbaik pada malam itu.

Antara yang paling menyerlah pada malam saingan minggu pertama adalah persembahan Ayda Jebat. Memberi fokus terbaiknya pada malam itu, ini peluang untuk Ayda membuktikan lagu Mata nyanyiannya mempunyai potensi untuk disenaraikan dalam 12 lagu yang layak ke pentas AJL32.

“Selepas dua kali mencuba untuk ke pentas AJL saya harap usaha melalui lagu Mata ini berbaloi. Bagaimanapun jika tidak layak saya tetap berpuas hati memandangkan saya sudah buat sebaik mungkin.

“Mengenai persembahan, memang saya bekerja keras untuk hasilkan yang terbaik. Bukan sekadar tarian yang diambil kira tetapi penampilan serta cara penyampaian lagu juga menjadi elemen utama yang diberi tumpuan,” katanya.

Yakin akan kemampuan lagunya, kata Ayda, jika ada yang mahu melabelkan dia hanya menang pada persembahan juga sudah memadai memandangkan dia telah memberikan yang terbaik.

“Ini adalah antara lagu terbaik saya, memang lagu ini berbeza. Jika menang persembahan saya yakin itu sudah merangkumi semua memandangkan ini adalah kerja keras bukan saya sahaja tetapi seluruh pasukan kami,” katanya.

Lima kali menjadi finalis AJL, kali ini ada yang menduga dia bakal ke pentas yang sama dengan lagu Aku Yang Sebenarnya. Selaku senior di pentas AJL, Hazama yakin, layak atau tidak bukan pengukur kepada kemampuannya dalam bidang nyanyian.

“Saya tidak akan meninggalkan pentas AJL walaupun sudah lima kali berentap tanpa kejayaan.

“Bagi saya ini adalah satu-satunya pentas buat penyanyi seperti saya bertanding. Tiada sebab untuk saya menarik diri.

“Mungkin ada yang jangka lagu saya boleh memang tetapi saya harus akui ada nada lagu saya yang menjadi kegemaran pendengar, tetapi secara jujurnya saya bukan seorang penyanyi yang sempurna,” katanya.

Melihat pentas separuh akhir Muzik-Muzik 32 (MM32), Hazama tidak menolak, ini adalah perkembangan yang baik buat industri. Dengan lebih ramai muka baharu memberikan lebih variasi dalam pertandingan besar seperti ini.

“Ini adalah sesuatu yang bagus sebab kita boleh lihat lebih ramai penyanyi baharu diberikan peluang. Sama seperti yang berlaku ketika saya mula-mula menyertai industri.

“Cuma bila sudah lama, kita pula bantu penyanyi muda ini dengan berkongsi pengalaman,” tambahnya.

Kali pertama melangkah ke pentas separuh akhir melalui lagu Bayang pendatang baharu Khai Bahar akui, sedikit gementar. Malah jelasnya, memandangkan persembahan kali ini akan dinilai oleh pihak juri membuatkan dia lebih takut dengan kemampuan dirinya.

“Saya layak ke pentas separuh akhir melalui undian peminat sebab itu saya mahu buat yang terbaik buat mereka.

“Bagaimanapun ketika persembahan berlangsung memang sukar untuk saya sembunyi rasa gementar saya memandangkan saya sedar semuanya bergantung kepada kemampuan saya untuk meyakinkan juri sebelum layak ke pentas AJL,” jelasnya.

Meletakkan harapan agar mampu melakar sejarah buat karier nyanyiannya, ternyata pentas akhir AJL menjadi idaman setiap penyanyi di Malaysia termasuk dirinya.

“Kalau ada rezeki saya memang mahu ke pentas akhir AJL, saya rasa itu juga harapan setiap penyanyi yang bertanding.

“Saya yakin sudah memberikan persembahan yang terbaik tadi,” katanya.

Menjadi pesaing termuda, bagi Haqiem Rusli diberi peluang untuk bersaing dengan penyanyi lebih berpengalaman adalah peluang terbaik buat dirinya untuk meraih ilmu.

“Saya sangat menghormati mereka yang jauh lebih berpengalaman daripada saya dalam bidang nyanyian ini.

“Sebab itu dapat beraksi di pentas ini juga adalah sesuatu yang besar dan bermakna buat saya,” katanya.

Jika minggu ini Haqiem mempertaruh lagu Segalanya, pada minggu ketiga pula, Haqiem akan sekali lagi beraksi di pentas yang sama untuk menyampaikan lagu Tergantung Sepi.

Tidak mahu terlalu yakin untuk mampu ke pentas AJL, ketika ini dia berharap agar peluang menyebelahi dirinya.

“Saya lebih yakin dengan lagu Tergantung Sepi. Bagaimanapun soal yakin atau tidak ke pentas AJL saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Cuma saya harap penonton dan peminat terus memberi sokongan buat saya,” katanya.

Selain Ayda, Hazama, Khai dan Haqiem, enam lagi persembahan adalah daripada Altimet untuk lagu Amboi, Salma (Akhirnya Cinta), Azmi dan Caliph Busker (Sejati), Tajul dan Wany Hasrita (Di Sana Cinta Di Sini Rindu), Projector Band (Aisyah) dan Syamsul Yusof dan Mawi (Bukan Propaganda).

Persaingan untuk merebut 12 tempat ke pentas akhir AJL32 akan diteruskan pada minggu hadapan dengan 10 buah lagu lagi iaitu Rempuh (Tomok dan Black), Jangan Menangis (Aizat Amdan), Warkah Untuk Mu (Ara Johari), Zalikha (Floor 88), Jangan Pernah Berdusta (Drama Band dan Haiza), Aku Sanggup (Sufi Rashid), Terus Mencintai (Siti Nordiana), Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Permata Cinta (Aiman Tino) dan Harus Aku (Sufian Suhaimi).