Sangetta, Tanuja,


Tentu sekali kita sedang bercakap mengenai bakatnya sebagai seorang anak seni yang mana, siapa sangka, lakonannya sebagai cikgu Cheryl Ann Fernando dalam filem Adiwiraku ternyata membawa tuah buat dirinya.

Meraih populariti mencanak selepas dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 menerusi filem itu, Sangeeta Krishnasamy, 32, mungkin tidak perlu bersusah-payah untuk memastikan namanya dikenali di kalangan masyarakat.

Buktinya sudah cukup padat menerusi lakonan hebatnya bersama naskhah filem itu yang sangat dekat di hati masyarakat, malah memberi kesan yang cukup mendalam buat semua peminat filem tempatan yang jatuh cinta dengan naskhah Adiwiraku.

Empunya diri juga tidak menafikan betapa bertuahnya diri kerana diberi kepercayaan untuk memegang peranan Cikgu Cheryl, yang tentunya bukan biasa-biasa.

“Kalau nak tahu, sejak terbabit dalam filem itu, saya rasa semangat untuk bekerjasama dengan kanak-kanak sangat menebal. Kebetulan, sejak dari kecil, saya memang sangat cepat mesra dengan anak-anak kecil, jadi secara tak langsung ia bagai ada satu ikatan secara rohani antara saya dengan golongan ini.

“Terus-terang saya katakan, Cikgu Cheryl secara realitinya adalah idola saya. Kagum dengan kekuatan dan ketabahan dirinya yang mahu mendidik anak bangsa dengan kudratnya sendiri.

“Daripada seseorang yang berada dalam industri korporat, dia lepaskan segala-galanya tanpa ada gaji selama enam bulan untuk menjadi guru di sekolah. Apa yang penonton lihat di layar sudah dikompakkan dalam durasi dua jam tayangan.

“Sedangkan apa yang telah dilakukan oleh Cikgu Cheryl adalah lebih dari itu. Pendek kata apa yang dilakukan olehnya, sikap dan karektornya dapat disimpulkan betapa perkara baik, walau sekecil hama sekalipun, ia mampu membawa perubahan besar buat diri seseorang,”katanya.

Kata Sangeeta, dari situ dia tahu, tiada apa yang wajar disesali saat dia memilih untuk melibatkan diri sebagai seorang pelakon, bukan kerana mendambakan sebarang anugerah apatah lagi popualriti. Tetapi, dia tahu ada kelebihan yang dapat dilakukan olehnya dalam misi merubah dunia.

“Saya rasa sebagai artis, kita boleh bina sebuah jambatan antara dunia hiburan ini dan menyambungkannya dengan usaha atau misi merubah dunia ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh, usaha saya dengan perkembangan anak-anak kecil dalam bentuk lakonan.

“Kenapa saya katakan impak Adiwiraku itu sangat besar? Sampai sekarang saya menerima respons yang sangat positif daripada orang ramai, antaranya membuatkan saya rasa tersentuh hati.

“Ada yang mengaku meninggalkan kerjaya profesional mereka dan menggalas tanggungjawab sebagai guru sukarelawan dan mengajar di kampung-kampung selepas merasa terinspirasi dengan filem itu.

“Ini yang membuatkan saya terfikir artis bukan sekadar artis, tetapi kita juga mampu memberi impak perubahan positif buat masyarakat dan ya, berpeluang membantu orang adalah apa yang membuatan saya terus merasa ‘hidup’,” katanya.

Saya rasa 
sebagai artis, kita boleh bina sebuah jambatan antara dunia hiburan ini dan menyambungkannya dengan usaha atau misi merubah dunia ke arah yang lebih baik.

Rai dengan keluarga

Dalam pada itu, mengajak Sangeeta berbicara mengenai sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini, kata wanita ini, telah ‘diarahkan’ oleh ibu dan bapanya untuk tidak terlalu fokus pada kerjaya dan wajib menyambut perayaan bersama pada kali ini.

Jika tahun lalu menyaksikan dia terlalu sibuk bekerja sehingga tidak dapat meluangkan banyak masa untuk meraikan Pesta Cahaya bersama keluarga, kali ini sebaliknya.

“Kali ini saya yang perlu menjadi ‘hos’ di rumah dan perlu sediakan segala kelengkapan untuk menyambut Deepavali. Saya akur sahajalah permintaan ibu dan ayah kerana tahu merekalah orang yang perlu saya gembirakan.

“Saya akan ambil cuti seminggu dan masa inilah saya akan curi masa untuk buat maruku, biskut dan sebagainya,”katanya sambil tersenyum manis.

Dia juga suka memasak lantaran banyak mewarisi resipi keluarga turun-temurun daripada neneknya yang masih hidup.

“Biasanya ada antara ahli keluarga yang memang minta saya yang masak juadah. Walau saya seorang yang mengamalkan pemakanan secara ‘vegetarian’, saya mesti akan masakkan juadah lain buat mereka semua.

“Masakan bertemakan daun pisang akan menjadi pilihan saya kali ini. Tapi jangan tanya pasal resipi tertentu kerana biasanya saya ni suka buat eskperimen dalam masakan. Ada sahaja yang saya nak tambah sampai lupa resipi sebenar,” katanya.

Selain itu, demi menyemarakkan semangat kekeluargaan, Sangeeta mahu merasa bertanggungjawab mengekalkan tradisi dan budaya kunjung-mengunjung dan berkumpul di kalangan saudara-mara.

“Ada kalangan anak muda mungkin tidak rasa pentingnya berkumpul bersama keluarga, namun kalau boleh saya tak mahu itu berlaku dalam keluarga syaa.

“Mujurlah nenek masih ada dan dialah yang selalunya menjadi orang kuat memanggil kesemuaahli keluarga untuk datang berkumpul apalagi dalam suasana perayaan seperti ini.

“Mungkin saya juga akan buat kenduri kesyukuran dalam meraikan kemenangan saya baru-baru ini,”katanya.

 

 

Selepas kemenangan

Mengaku ada tawaran besar mendatang selepas dia meraih kemenangan di FFM, wanita ini menganggap ia adalah salah satu rezeki tidak ternilai dengan wang ringgit, kurniaan buat dirinya.

Bagai rezeki datang bergolek, Sangeeta bagaimanapun enggan membuka mulut dahulu mengenai perkara itu kerana ia masih lagi menjadi rahsia.

Bagaimanapun, ada satu ‘suasana’ baharu dirasakannya selepas kemenangan anugerah itu dengan yang paling ketara adalah bagaimana ada yang berpandangan dia kini tidak lagi mahu melibatkan diri dalam dunia perfileman Tamil tempatan.

Menafikan hal berkenaan, Sangeeta akui, banyak mata kini terarah padanya selepas FFM, namun itu tidak bermakna dia langsung enggan meneruskan profil kerjayanya bersama industri perfileman dan drama Tamil.

“Ramai anggap saya ni macam graduan dari industri Tamil yang dah berjaya menembusi dunia perfileman Melayu dalam skala besar. Ada yang dakwa kerana itu, saya macam dah tak berminat untuk menjayakan sebarang projek drama atau filem berbahasa Tamil. Saya tahu, semua itu sekadar usikan manja sahaja.

"Percayalah, saya masih macam dulu, tiada apa yang berubah walau diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Bagi diri ini, kalau ada tawaran dan skrip yang bagus, saya tentu tidak akan menolak. Tak kisah naskhah anak Cina, Melayu atau India, asalkan ia bagus. Lagipun saya juga anak Malaysia,” katanya panjang lebar.

Sekadar berkongsi pendapat peribadi, Sangeeta memberitahu dia melihat ada antara artis Tamil lain yang berpeluang masuk ke industri Melayu. Tidak ada pilih kasih langsung, tetapi malangnya mereka sendiri seakan meletakkan jurang antara industri itu sendiri walau paksinya tetap seni.

“Kadangkala saya lihat jurang itu sangat besar. Bayangkan, ada artis Tamil yang tak kenal artis Melayu, ia seakan tidak menampakkan kerjasama yang baik di situ sampai saya sendiri tertanya, kenapa jadi begitu?

“Bagaimanapun, keadaan itu mungkin sudah berubah sedikit demi sedikit sekarang ini. Apa yang perlu kita buat adalah saling menyokong antara satu sama lain berbanding cuma duduk dan berkata mudah mahu hasilkan naskhah bernafas kebangsaan,”katanya.

Menyokong usaha untuk menghasilkan lebih-lebih banyak naskhah berbentuk semangat Satu Malaysia, kata Sangeeta, semua itu kadangkala memerlukan usaha yang berani.

Dalam pada itu, kata wanita ini lagi, dia juga sukar untuk memahami andai ada yang bertanya bagaimana perasaannya memenangi sebuah anugerah yang sukar diraih oleh seseorang yang bukan berbangsa Melayu.

“Bukan sebab bangsa yang menjadi ukuran, sesiapa sahaja boleh menang kalau berani mencuba. Ada yang bertanya macam mana nak masuk industri Melayu, jawapan saya mudah, kena sediakan diri.

“Macam memasang angan-angan untuk menjadi seorang anggota polis, begitu juga dengan bidang ini, persiapkan diri anda untuk jadi seorang pelakon kerana keajaiban tidak berlaku dalam tempoh satu malam. Ramai orang fikir senang sahaja jadi artis ni, sedangkan realitinya ia tidak mudah. Fizikal dan mental memang kena kuat,”katanya yang mengaku memilih bidang seni kerana mahu lakukan perubahan dan bukan untuk duit atau glamor semata.