Bagaimanapun sebagai seorang wanita, dia tidak menolak perancangan untuk hidup dengan seorang lelaki bernama suami, malah jika mengikut aturan yang dipilih, dia mahu menamatkan zaman bujangnya pada usianya menjejak 27 tahun nanti.

“Saya masih belum ada sesiapa buat masa ini, bukanlah tidak mencari atau tidak mahu bercinta tetapi ikutkan saya memang mahu bertemu seseorang bila saya berumur 25 tahun dan seterusnya berkahwin paling lewat pada usia 27 tahun.

“Namun kita tahu semuanya hanya perancangan kita sahaja. Siapa tahu ada perancangan yang lebih baik buat saya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran produk Aloe Shafy di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mempunyai keluarga yang sangat menyokong dirinya, ketika ini, kata Amira, ibu bapanya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan dia bercinta, namun perlu ada batas kepercayaan yang sentiasa diingati.

“Saya juga memang sudah memberi lampu hijau buat keluarga jika saya masih belum bertemu sesiapa dalam tempoh dua tahun lagi, ibu bapa saya boleh memperkenal pilihan mereka pula.

“Buat masa ini keluarga saya memang tidak ada masalah jika saya buat pilihan sendiri. Mereka beri kepercayaan kepada saya asalkan saya pandai menjaga diri,” katanya.

Rehat berlakon 

Tambah Amira atau Nadia Amira Othman, 24, sebagai seorang gadis yang masih belum berkahwin dia mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga bukan sahaja namanya tetapi juga orang tuanya.

Sebab itu dia sangat berhati-hati bukan sahaja dalam pergaulan malah sentiasa mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang kontroversi.

“Saya baru tiga tahun terlibat dalam industri seni. Masih terlalu hijau. Justeru saya harus pandai menjaga nama dan keluarga agar tidak terjejas dengan isu-isu panas.

“Bukan apa dalam hal ini bukan setakat nama saya tetapi saya juga membawa nama ibu bapa saya. Sebab itu sebelum membuat apa-apa keputusan saya akan memikirkan sedalam-dalamnya,” katanya.

Selepas dua single iaitu Hati-Hati dan Jaga-Jaga, Amira kini akan muncul dengan satu lagi single baharu berjudul Mimpi Indah. Mengakui mengambil masa yang lama sebelum bersedia dengan kemunculan lagu tersebut, kata Amira, dia memang seorang yang sangat cerewet.

“Ikutkan memang setahun juga saya senyap tanpa lagu baharu tetapi jangan salah anggap bukan sebab saya lupakan bidang nyanyian.

“Saya memang berhati-hati dalam memilih lagu, sebab itu saya mengambil masa yang lama sebelum mahu muncul dengan lagu Mimpi Indah. Insya-Allah lagu ini akan diperdengar buat kali pertama pada 18 Disember ini,” katanya.

Berkongsi mengenai tema lagu tersebut, kata Amira, karya itu masih mengetengahkan perihal cinta. Bagaimanapun jelasnya, Mimpi Indah bukan berkisar tentang kisah cintanya.

“Saya berpegang kepada satu, seorang penyanyi itu akan diingati melalui lagunya. Sebab itu juga saya tidak terkilan walaupun lagu saya mengambil masa yang lama untuk dikeluarkan.

“Kerana saya mahu pastikan benar-benar kena dengan saya,” jelasnya mengenai lagu ciptaan Hael Husaini itu.

Walaupun dunia nyanyian bergerak sedikit lewat malah wajah Amira lebih banyak menghiasi drama bersiri tempatan sehingga ada peminat yang hampir lupa yang dia sebenarnya seorang penyanyi.

“Alhamdulillah, memang tahun ini saya lebih banyak memberi fokus kepada bidang lakonan. Kali ini memang saya akan bercuti daripada berlakon buat sementara waktu untuk memberikan tumpuan kepada lagu baharu saya ini,” katanya.