Ditambah pula dengan kehamilan Mila yang kini mencecah usia tujuh bulan. Disebabkan faktor kandungannya itu, Mila memutuskan untuk berehat seketika dari arena seni suara.

“Sejak awal kehamilan lagi, saya mula memperlahankan aktiviti seni dan kini berehat untuk sementara waktu. Namun, tidaklah sampai terfikir untuk keluar dari industri memandangkan bidang nyayian merupakan minat saya sejak dahulu lagi.

“Suami pada masa sama juga tidak menggalakkan saya terlalu aktif kerana risaukan keadaan saya. Untuk mengelakkan bergerak ke lokasi yang jauh, saya terpaksa hentikan seketika bidang nyanyian. Pada masa ini, saya hanya fokus menguruskan perniagaan di outlet,” katanya kepada S2.

Mengulas perniagaan yang dijalankan, menurut Mila, Bizmillah Catering yang beroperasi di Level 3, The Place @ One City Subang merupakan teras perniagaan yang beroperasi sejak empat tahun lalu.

Selain itu, pasangan bahagia ini turut memasarkan baju kurung Milla, produk kosmetik dan kesihatan, di samping mengusahakan Restoran Embun Urai yang terletak di Tasik Prima Puchong.

“Perniagaan yang kami jalankan sebenarnya bermula dengan perusahaan Restoran Embun Urai berasaskan makanan ‘Thai Seafood’ sejak enam tahun lalu.

“Dari tahun ke tahun, kami mengembangkan pula perniagaan makanan kepada industri katering dan perkahwinan, seterusnya perkhidmatan penyediaan dewan menerusi Bizmillah Catering.

“Kami menawarkan pakej lengkap pada harga berpatutan, serendah RM23,000 untuk 1,000 tetamu jemputan. Pengantin cuma hanya perlu menyediakan kad jemputan dan cenderahati perkahwinan sahaja.

“Di bawah Bizmilla Trading, kami memasarkan produk baju kurung Milla yang menggunakan material kain kapas secara dalam talian. Di bawah syarikat yang sama, kami turut menyediakan kemudahan bankuet dan perabot.

“Sementara itu, Bizmilla NZ Beauty yang baru sahaja beroperasi menawarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu InstaBeauT’White dan Fivebermax,” katanya yang memulakan perniagaan sejak berusia 19 tahun.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Mila dan suami masih sempat menyiapkan segala kelengkapan bayi untuk menyambut kehadiran anak pertama dalam keluarga mereka.

“Alhamdulillah, semuanya sudah ada. Cuma hanya ada sedikit lagi yang belum dibeli. Mula-mula agak kekok dan tidak tahu apa yang perlu disediakan, sebab saya dan suami terlalu teruja menyambut anak pertama. Mujurlah mak dan ayah ada menemankan kami membeli-belah.

“Namun, persediaan kelengkapan tidaklah dalam jumlah yang banyak sebab mak dan mak mentua menasihatkan kami untuk tidak berbelanja berlebihan memandangkan bayi akan membesar,” katanya.

Selain kelengkapan bayi, Mila turut menambah ilmu menerusi pembacaaan bagi membolehkannya benar-benar bersedia dari segi emosi dan fizikal apabila bergelar ibu kelak.

“Saya banyak membaca bagi mendapatkan pelbagai maklumat termasuk menghadapi fasa selepas kelahiran. Di samping untuk pengetahuan sendiri, saya juga banyak memberi input kepada suami. Ia bagi memberi pendedahan awal tentang pentingnya sokongan moral daripada suami.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah sangat. Cuma, ada rasa stres sedikit. Namun, itu perkara biasa yang dihadapi, apatah lagi menguruskan perniagaan.

“Alhamdulillah saya bekerja bersama suami, jadi dia sentiasa ada bersama. Kalau sebelum ini, saya sering bekerja sehingga pukul 9 malam, namun kini saya boleh balik lebih awal,” ujarnya.