Malah dalam membuktikan kata-katanya itu, Mia juga seperti wanita lain yang sudah berumah tangga untuk tidak ketinggalan berkongsi gambar-gambarnya dengan suami.

Bagaimanapun dalam niat berkongsi kebahagiaan dengan peminat di laman sosial nampaknya ada pihak yang tidak boleh menerimanya dengan baik. Malah ada yang turut mengeluarkan komen yang mengatakan pelakon ini sengaja mahu menunjuk-nunjuk kehidupan bahagianya di laman sosial.

“Bukanlah niat saya untuk mempamerkan kebahagiaan, bagi saya berkongsi gambar dengan suami itu adalah normal. Selagi saya tiada niat menunjuk-nunjuk rasanya tiada masalah.

“Pada masa yang sama memang ada peminat yang menunggu (perkongsian gambar) tetapi tidaklah selalu saya kongsi gambar dengan suami di media sosial,” katanya.

Enggan mengambil kisah pandangan negatif tersebut, Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 29, turut berkata, suaminya juga tidak pernah terkesan dengan kritikan yang dilemparkan terhadap mereka.

“Saya memang tidak ambil kisah pandangan negatif itu selagi tahu niat sebenar saya berkongsi gambar.

“Malah suami juga tidak kisah dengan komen-komen negatif ini, dia juga seperti saya tidak mahu ambil peduli,” jelasnya.

Tambah Mia, dia sedar pelbagai komen dan kritikan tidak akan pernah berhenti kerana selagi dia bergelar artis pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati.

“Kadang kala jika seseorang artis itu tidak berkongsi gambarnya dengan suami ada pula spekulasi yang mengatakan (rumah tangga) mereka bermasalah.

“Apabila berkongsi gambar dikatakan menunjuk-nunjuk pula, tentunya dalam keadaan ini saya tidak mungkin boleh puaskan hati semua pihak,” ujarnya.

Hidup mewah? Saya bekerja 

Melihat kepada kehidupan beberapa isteri pemain bola sepak negara ini, tidak dinafikan ada yang menjalani kehidupan yang agak mewah. Ditanya sama ada tempias itu turut terkena kepada dirinya, jelas Mia, suaminya, Mohd Izham Tarmizi Roslan yang juga pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan seorang yang suka memanjakan dirinya dengan kemewahan.

“Setakat ini dia tidak pernah mewahkan saya dengan barangan tetapi kasih sayang. Jujurnya saya tidak kisah dengan semua itu memandangkan sudah terbiasa membeli barang dengan duit sendiri.

“Namun saya tidak melihat ada salahnya jika seorang suami mahu berkongsi rezeki dengan isterinya. Sebab dengan siapa lagi dia akan berkongsi rezeki kalau bukan dengan keluarga sendiri,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya soal zuriat, ternyata Mia cukup yakin memberitahu, dia dan suami tidak pernah tersinggung dengan soalan tersebut. Jelasnya, sehingga ke saat ini dia tidak menolak jika ada rezekinya dan suami.

“Bagi saya ini soalan biasa selepas berkahwin dan saya tidak tersinggung mahupun tertekan. Pada masa yang sama juga saya dan suami baru sahaja berkahwin dan masing-masing juga sibuk dengan kerjaya ketika ini,” katanya.

Bercuti

Semenjak berkahwin, rutin Mia turut berubah. Memandangkan suami mempunyai jadual latihan yang agak ketat jadi dia mengambil inisiatif untuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

“Saya memang mempunyai rumah di Kuala Lumpur tetapi saya akan pulang ke Johor Bahru jika ada waktu. Selalunya memang saya yang akan berulang alik kerana jadual suami agak ketat.

“Jika saya bercuti memang saya akan menemani suami di Johor Bahru. Bukan apa, kalau saya mula bekerja memang sukar untuk mencari waktu untuk menemaninya. Sebab itu saya sangat hargai waktu terluang yang kami ada,” tambahnya.

Walaupun tidak pernah terfikir mahu menamatkan kerjaya dalam bidang seni namun Mia juga ketika ini sedang berusaha untuk mengeluarkan jenama tudungnya sendiri.

“Memang sudah lama saya mahu keluarkan jenama tudung sendiri tetapi tidak mahu terburu-buru. Saya seorang yang teliti sebab itu saya mahu pastikan tudung yang akan dikeluarkan saya menepati kemahuan saya,” jelasnya.