Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mesej cara baru SPRM banteras rasuah

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said 2
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah) ketika melancarkan drama bersiri BANTERAS Bersiri "BANTERAS" Kolaborasi antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Fantasy Films Sdn Bhd di sini hari ini.Turut kelihatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad (tiga dari kanan), Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Bakri (dua dari kanan), Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin (dua dari kiri), Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie (kanan), Ahli Suruhanjaya SKMM, Datuk Md. Afendi Hamdan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Fantasy Films Sdn Bhd, Adillah Abu Samah (tiga dari kiri).Gambar: Azrul Edham Mohd AminuddinPemberita: Azrul (Hiburan) / Athirah (MM) / Haryati (Hiburan Kosmo!)

JIKA Skop Production berjaya dengan legasi drama bersiri Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur yang memaparkan penekanan terhadap kerjaya pasukan beruniform polis, penonton bakal menyaksikan sebuah lagi drama bersiri melibatkan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi.

Diterbitkan oleh Fantasy Films Sdn.Bhd dengan kerjasama pihak SPRM, drama bersiri 13 episod berjudul Banteras akan memulakan penggambarannya sekitar September ini dengan jangkaan penghasilannya mencapai standard drama bersiri yang dihasilkan negara Barat.

Idea untuk menghasilkan drama ini dianggap bertepatan dengan waktu memandangkan belum ada lagi sebarang penerbitan drama membabitkan SPRM dikomersialkan di kaca televisyen sebagaimana kerjaya anggota polis di negara ini.

Tentu sekali temanya mengangkat rasuah sebagai isu dan paparan jalan cerita utama dan tanggungjawab untuk menggarap dan mencantikkan keseluruhan penceritaan Banteras telah diberikan kepada pengarah hebat dan popular, Ghaz Abu Bakar.

Merasakan ia adalah satu tanggungjawab yang besar, Ghaz mengaku amat teliti dalam proses pembikinan drama ini kerana dia sendiri meletakkan standard yang sangat tinggi untuk melihat hasilnya setanding dengan kualiti drama bersiri di negara luar.

Mengaku bajet keseluruhan drama ini mencecah hampir RM2 juta, mood dan kualiti Banteras akan dihasilkan setanding dengan drama popular seperti Quantico yang bersiaran di saluran Netflix.

“Saya akui banyak menggunakan drama bersiri popular di Britain sebagai rujukan utama kerana gemarkan kualiti dan ‘wajah’ dramanya. Hasrat saya tak lain tak bukan, mahu membawa naskhah drama tempatan ke satu peringkat yang lebih tinggi dan saya maksudkan adalah kualitinya.

“Tak dinafikan, ramai penonton kita suka dengan garapan drama cinta dan klise seperi Suamiku Pegawai SPRM misalnya, tetapi saya rasa ramai juga yang mahu melihat drama genre aksi seperti Quantico.

“Jadi tak salah untuk saya cuba hasilkan drama bercorak begini yang juga punya peminatnya tersendiri,”katanya.

Meski belum menjalani penggambaran, Ghaz tahu dan telah bersedia untuk menjawab andai ada yang mempertikai drama ini dilihat cuba meniru drama bersiri Quantico yang menampilkan Priyanka Chopra sebagai aktres utamanya.

“Kalau ada yang kata Banteras mempunyai persamaan dengan Quantico, saya anggap ia satu pengiktirafan kerana itu bermakna kita sudah capai taraf antarabangsa dari aspek ini.

“Namun itu tidak bermakna jalan cerita sama dengan drama itu. Banteras dihasilkan berdasarkan kes-kes dalam negara yang telah ditutup atau dah selesai dan saya tak buat ia sama seratus-peratus, cuma mengambil inspirasi daripadanya sahaja.

“Untuk memastikan Banteras mencapai jangkaan yang dimahukan, saya juga tak ambil mudah dari sudut penciptaan setiap karektor dan buat ulang kaji demi memberikan yang terbaik buat penonton,”katanya yang tidak menolak barisan pelakon akan terlibat dengan bengkel khas di akademi SPRM untuk memantapkan pemahaman praktikal dan tata cara sebagai anggota pasukan.

Lantaran itu juga dia amat teliti dalam aspek pemilihan pelakon dan tidak memfokuskan kepada pelakon popular untuk menjayakan setiap watak yang diwujudkan dalam Banteras.

Menjawab mengapa pelakon Sangeetha Krishnasamy dipilih sebagai bintang utama dalam Banteras, kata pengarah tersohor ini, dia melihat pelakon ini memiliki keunikan tersendiri yang mampu menarik penonton untuk larut dalam jalan cerita yang dipaparkan dalam satu demi satu episod.

“Selain bersesuaian, saya mahu tampilkan dia kerana mahu kelainan dan kali ini mahu penonton lihat dari perspektif bukan Melayu. Saya nak Banteras mempunyai nilai serumpun dan mengangkat tema masyarakat majmuk kerana kebiasaannya drama Melayu, pelakon utama tentu Melayu,”katanya.

Dalam pada itu, menurut Ghaz, dia juga amat menghormati diplomasi dan keterbukaan yang ditonjolkan oleh SPRM. Pihak berkenaan tidak bermasalah andai Ghaz turut memaparkan sisi hitam segelintir pegawai-pegawainya sendiri yang tidak semuanya amanah dalam mengendalikan kes.

Keterbukaan itu menyebabkan dia lebih teruja untuk memberikan yang terbaik dalam pembikinan drama ini yang menjanjikan isu menarik sepanjang 13 episod yang bakal ditayangkan kelak.

“Saya amat menghormati sikap keterbukaan pihak SPRM yang mahu menonjolkan bahawa tidak semua daripada mereka adalah ‘malaikat’. Ada juga yang melakukan kesalahan dan penyelewengan dan ini adalah realiti yang akan saya paparkan dalam Banteras.

“Tiada tujuan lain kecuali mahu setiap mesej positif yang diselitkan sampai kepada penonton,”katanya yang menolak terlalu banyak adegan percintaan dalam drama ini atas alasan enggan fokus mengenai isu rasuah itu dibayangi isu lain.

Untuk memastikan sesuatu mesej itu sampai kepada masyarakat, selain radio, televisyen adalah medium berkesan untuk tujuan tersebut.

“Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh pihak SPRM juga, mereka lihat kesedaran masyarakat menerusi sesuatu isu itu wujud menerusi perkembangan mesej yang disampaikan menerusi medium media massa seperti itu.

“Drama juga adalah salah satu daripada yang mampu memberikan impak berkesan buat penonton. Tidak cuma itu, Banteras juga saya percaya memiliki latar penceritaan yang kukuh kerana segala input dari sudut kes dan tata cara kerja mendapat bimbingan terus daripada pihak SPRM sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, Sangeetha ketika ditemui turut melahirkan rasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama dalam drama bersiri ini selepas namanya mula disebut ketika menjayakan filem berjudul Adiwiraku sebelum ini.

Selama menceburi bidang lakonan lapan tahun lalu, dia lebih cenderung terbabit dalam naskhah Tamil dan ini adalah kali kedua Sangeetha terbabit dalam karya bahasa Melayu selepas Adiwiraku.

“Jujurnya saya tak sangka diberikan watak utama dalam naskhah ini, apalagi untuk drama bersiri Melayu. Biasanya, saya cuma terbabit dalam drama dan filem Tamil.

“Tetapi saya akui teruja juga untuk menjayakan watak ini dan saya dapati isu yang diketengahkan adalah menarik, sesuai dengan keadaan semasa sekarang yang mana masyarakat banyak ingin tahu mengenai gejala rasuah,”katanya.

Pun begitu, cabaran untuknya tidak mudah kerana pertuturannya dalam bahasa Melayu tidak begitu fasih pada awalnya berbanding bahasa Tamil dan Inggeris.

“Saya anggap ini sebagai cabaran dan berdasarkan latihan bertutur yang kerap, saya dah semakin lancar bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Ia bukan satu halangan utama bagi saya kerana apa yang pasti, perkara yang paling ‘menggerunkan’ saya ialah berada sebaris dengan pelakon seperti Namron dan Khir Rahman dalam drama ini.

“Mereka adakah antara pelakon yang saya kagumi dan berlakon di samping mereka tentunya membuatkan saya rasa gementar, mereka hebat,”katanya.

Untuk memastikan Banteras mencapai jangkaan yang dimahukan, saya juga tak ambil mudah dari sudut penciptaan setiap karektor dan buat ulang kaji demi memberikan yang terbaik buat penonton

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan