Mencari pelapis penyanyi Nasyid

KUALA LUMPUR, 22 APRIL 2015 - Sesi fotografi bersama penyanyi
Sesi fotografi bersama penyanyi nashid, Daqmie di Studio Utusan

PELBAGAI persepsi muncul tatkala memperkatakan tentang irama nasyid sebenarnya. Ada yang mengatakan nasyid semakin tepu dan tak kurang juga yang menganggap irama berkenaan sebenarnya semakin luas berkembang tanpa perhatian ramai.

Pun begitu pastinya ramai yang masih mengingatkan zaman kegemilangan irama ini dengan kemunculan kumpulan Raihan satu ketika dahulu. Dengan jualan album lebih setengah juta unit, lagu nasyid berada di kemuncak ketika itu.

Bagi pendakwah dan juga penyanyi nasyid Daqmie, pastinya kegemilangan irama nasyid sudah lalui olehnya sejak menyertai bidang muzik sekitar tahun 1989 lagi.

“Mungkin ramai yang menganggap kebanyakan penyanyi nasyid sudah ‘tepu’ ketika ini. Kebanyakan lagu-lagu yang mereka hasilkan juga tidak banyak dimainkan oleh stesen radio popular seperti zaman kegemilangan nasyid sekitar pertengahan tahun 1990-an.

“Tapi realiti sebenarnya, nasyid tak pernah habis, tak pernah ‘mati’ dan sentiasa ada permintaan daripada peminat. Itu yang orang luar tak nampak sebenarnya,” jelas Daqmie ketika ditanya tentang keadaan semasa irama berkenaan.

Tambahnya lagi, dia sendiri masih berpeluang untuk meneroka bidang nasyid dengan menghasilkan pelbagai program termasuklah menganjurkan anugerah nasyid dan beberapa program lain.

Baginya, lagu-lagu nasyid sebenarnya sudah melalui tiga fasa penting termasuklah zaman kegemilangan Raihan; zaman kegemilangan kumpulan nasyid pelajar universiti (seperti Inteam) dan zaman kedewasaan pelajar-pelajar universiti sehingga hari ini.

Sudah pasti bila andaian yang mengatakan era kegemilangan nasyid sudah berakhir terus disangkal oleh Daqmie jauh-jauh memandangkan perkara tersebut kurang tepat.

“Saya masih ingat ketika mengikuti kumpulan Raihan pada tahun 2000 yang mengadakan persembahan di Indonesia. Mereka tanya mengapa tak ada kumpulan lain selain Raihan yang mampu pergi sejauh ini.

“Ketika itu nama Raihan begitu besar dan sering kali menjadi penyanyi undangan di serata dunia. Dalam tak sedar sebenarnya merekalah yang menjadi pelopor kepada lagu-lagu nasyid di seluruh dunia.

“Selepas era itu, ramai penyanyi nasyid yang muncul di serata dunia dan ini membuktikan yang ‘lampu’ nasyid di seluruh dunia bermula di sini. Jika malap cahaya tersebut, maka malaplah juga di tempat lain,” jelas Daqmie lagi.

Selain menghasilkan lagu-lagu baharu untuk nyanyian sendiri, Daqmie juga sedang merancang untuk membina sebuah sekolah muzik yang mengkhususkan kepada bidang ini.

Untungnya, lokasi dan silibus pembelajaran sekolah muzik tersebut sudahpun disiapkan dan hanya menunggu masa sahaja untuk dibuka pengambilan sulung sedikit masa lagi.

Selain belajar bermain muzik dan menyanyi, pelajar yang bakal menuntut di situ turut diajar tentang aspek penulisan lirik dan penghasilan lagu selain diajar aspek teknikal sebagai jurutera muzik.

TERBAHARU, Daqmie bersama jenama Nasyeed.Com bakal mengadakan sebuah pertandingan Pencarian Nasyeed Cover Song 2015 yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu untuk di ketengahkan ke peringkat tertinggi.

Jika sebelum ini di bawah jenama Nasyeed.Com pernah menganjurkan Anugerah Nasyeed.Com, kali ini mereka mengorak langkah yang lebih besar dengan menyasarkan penyertaan daripada peserta Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura dan peserta tempatan sendiri.

“Sejak melancarkan program ini beberapa bulan yang lalu, memang sambutan yang diberikan oleh mereka di luar jangkaan. Saya pasti ini cara terbaik untuk kita mencari bakat-bakat baharu yang boleh di ketengahkan.

“Mereka tak perlu hadir untuk ujibakat tetapi cukup sekadar menghantar penyertaan di laman YouTube sahaja. Kita akan menilai mereka berdasarkan video nyanyian yang dihantar sebelum ke acara kemuncak.

“Setakat ini setiap negara yang terlibat sudah menghantar banyak penyertaan dan ini menandakan apa yang kita buat berada pada landasan yang betul,” cerita Daqmie lagi.

Pemenang bagi pertandingan ini nanti akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM16,000 yang ditaja oleh syarikat Qaseh Gold Sdn. Bhd.

Antara syarat untuk menyertai Nasyeed Cover Song 2015 perlulah berusia 18 tahun ke atas dan bukannya penyanyi yang pernah membuat mana-mana rakaman lagu sebelum ini.

Peserta juga perlu memuat naik video nyanyian yang dipilih daripada 25 buah lagu yang telah ditetapkan ke YouTube dengan menggunakan hashtag #nasyeedcoversong untuk dinilai.

Selain Daqmie, pertandingan ini juga bakal diadili oleh guru vokal, Siti Hajar dan Noh Hujan. Layari www.cover.nasyeed.com untuk maklumat lanjut.

Jarang sekali kita mendengar wanita Melayu menjadi ejen hartanah berd???

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati