Menariknya, semakin banyak kelompok teater-teater kecil memiliki pentas sendiri tanpa perlu mengharapkan pentas besar seperti Istana Budaya, Stor Teater DBP atau pun KL Pac semata-mata.

Percambahan pentas-pentas teater yang lain sebenarnya disokong setelah wujudnya pengajian teater di kebanyakan pusat pengajian tinggi awam dan swasta sejak beberapa tahun yang lalu.

Mengambil kesempatan atas perkembangan sekaligus permasalahan teater masa kini, Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan wacana teater tentang hala tuju teater di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Wacana itu diadakan pada 21 Mei ini di Panggung Seni UKM pukul 3 petang.

Bagi Pegawai Kebudayaan, Pusat Kebudayaan UKM, Mohd Diani Kasiran, wacana ini penting bagi membincangkan hala tuju teater pelajar dan perkembangan teater semasa.

“Banyak perkara menarik yang dijangka dikupas melalui wacana ini termasuklah pergerakan teater semasa. Jika kita lihat kebanyakan pusat pengajian tinggi mempunyai fakulti teater masing-masing tetapi di manakah mereka selepas itu.

“Kita cuba berwacana tentang perkara ini. Sejauh mana pergerakan mereka dan adakah pelajar-pelajar ini pada akhirnya akan menjadi aktivis teater seperti yang diharapkan semua,” jelasnya.

Antara panel yang akan membincangkan isu ini terdiri daripada Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Prof. Dr. Hatta Azad Khan, penerbit teater, Siti Rohayah Atan dan seorang pelakon popular tempatan.

Moderator ialah Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Andika Aziz. Acara ini terbuka kepada orang ramai.