Bukan soal tidak bersedia tapi saya akui... saya ‘lari’ daripada semua pertanyaan itu kerana saya menunggu masa yang sesuai untuk bercakap mengenainya. Antara sebab saya bertindak begitu kerana bimbang dengan spekulasi negatif orang terhadap isu sensatif seperti ini. Saya tak nak, apabila keluar cerita macam itu, orang buat cerita lain.

Orang kita ini kadang-kadang suka buat cerita yang bukan-bukan sehingga kemudiannya mendatangkan fitnah. Saya tengok, golongan selebriti dan artis sentiasa menjadi perhatian dalam bab ini dan masyarakat pula suka jadikan kami sebagai sasaran untuk cerita kurang enak. Saya tak nak keadaan seperti itu berlaku, sebab itulah saya selesa berdiam dulu.

Maksudnya memang betullah anda mengelak bertemu media?

Ya, memang betul dan saya akui memang saya mengelak. Sampaikan saya cakap kepada pihak produksi, kalau ada wartawan, saya tak nak datang. Tetapi itu sewaktu dalam proses mahkamah. Sekarang semuanya sudah selesai dan saya okey saja untuk bercakap mengenainya. Insya-Allah, saya akan beri respons jika ditanya.

Saya ada sebab buat macam itu dan saya fikir dengan cara itu saya boleh mengawal keadaan tegang mengenai kisah perceraian yang sudah tersebar. Saya juga tak nak hal-hal macam ini boleh memberi kesan kepada keluarga terutamanya kepada anak-anak saya.

Meskipun sudah bercerai, anda masih lagi kelihatan intim dengan bekas isteri. Tidakkah itu membuatkan ramai yang membuat andaian lain. Komen?

Betul, boleh dikatakan kami masih berhubungan rapat sehinggakan bersarapan bersama setiap pagi. Kadang-kadang ada waktu, kami akan keluar makan malam bersama.

Pendek kata, kalau orang tengok, memang akan kata `eh, kata dah cerai tapi kenapa boleh berbaik macam pasangan tak ada masalah?’

Saya tak kisah untuk menjawab pertanyaan orang tetapi saya yakin, di pihak Kartina, dia lebih selesa untuk buat hal dia sendiri dan tidak mahu bercakap mengenai hal ini. Saya faham masyarakat di luar sana berhak tahu mengenai apa punca kami berpisah cuma saya tak mahu cerita lebih-lebih sebab saya menghormati Kartina yang enggan kisah kami dijaja.

Saya cuma mahu semua orang faham yang walaupun kami sudah bercerai, kami masih berkawan baik dan hubungan itu dikekalkan demi kepentingan anak-anak kami.

Jadi anda tidak kisah kalau ada orang di luar sana yang membuat spekulasi mengenai hubungan dengan bekas isteri?

Saya harap mereka tidak fikir begitu sebab saya seperti yang saya beritahu, kami berbaik sebab anak. Satu lagi, saya mahu menjadi contoh buat pasangan yang bercerai, lebih-lebih lagi dalam kalangan artis bahawa tidak semestinya perceraian atau perpisahan itu satu alasan untuk kita bergaduh dan tidak mengamalkan profesionalisme.

Sebagai selebriti, tidak ada salahnya kita beri contoh yang baik untuk masyarakat. Kenapa nak bergaduh sedangkan kita tahu, itu tidak memberikan manfaat buat hubungan terutama kepada anak-anak.

Meski kami tidak lagi menjadi suami isteri, saya dengan Kartina juga berbaik atas urusan bisnes yang kami usahakan sebelum ini.

Apa sebenarnya punca yang menjadikan rumah tangga anda tidak dapat diselamatkan dan akhirnya memilih jalan untuk berpisah?

Senang cakap, kami tiada persefahaman. Ramai yang tak boleh terima saya cakap macam itu tapi saya nak cakap macam mana lagi? Kalau sudah ini takdir yang Allah S.W.T letakkan kepada hubungan kami, saya dan Kartina terima.

Tetapi seringkali dalam perceraian, kesalahan diletakkan di bahu lelaki kerana sebagai ketua keluarga, barangkali anda dituduh gagal menjadi seorang ketua keluarga yang baik. Komen?

Kadangkala ada berlaku keadaan sebegitu tetapi dalam hal ini, saya tak boleh nak cakap lebih-lebih. Sentiasalah bersangka baik. Kalau pun ada kesalahan antara kami, biarlah kami yang simpan dan saya yakin, kalau ada jodoh lagi antara kami, biar berpisah sekarang, mana tahu Tuhan nak satukan kami kembali, kita tak tahu.

Cuma, saya rasa buat masa sekarang kami masing-masing nak tumpu pada bisnes dulu. Hal-hal lain, kita ketepikan. Kalau tak puas hati juga dengan jawapan saya ini, terpulang sebab saya tak boleh nak puaskan hati semua orang.