Semuanya kerana penangan watak Husna yang dilakonkan olehnya dalam drama tersebut yang nyata memberi kesan mendalam buat penonton.

Meskipun dibenci, dia melihat situasi itu sebagai satu hal yang positif kerana sekurang-kurangnya ramai di luar sana yang tidak melupakan dirinya.

“Ada juga yang sehingga sekarang, kalau terjumpa saya di mana-mana mereka memanggil saya dengan nama Husna berbanding Niena.

“Kadangkala saya akui, terasa menjengkelkan juga tetapi tidaklah keterlaluan. Secara umumnya, saya okey saja orang panggil saya begitu.

“Dari satu sudut, baguslah walaupun saya sudah lama tak muncul dengan karya lakonan terbaharu, orang tetap ingat saya,” katanya.

Melihat tiada gunanya untuk dia berasa tersinggung berlebihan kerana Husna dipandang serong gara-gara karektornya sebagai seorang perampas suami orang, kata Niena ia bukannya menzahirkan siapa dirinya di dunia realiti.

Tahu bahawa perempuan perampas atau pemusnah rumah tangga orang dianggap sangat tabu dan anti dalam kalangan orang kita, Niena tidak kisah andai ada yang tidak boleh menerima dirinya.

“Itu kan satu lakonan, bukannya diri saya yang sebenar. Saya tak ada masalah kalau orang tak suka saya kerana watak kerana ia menunjukkan watak itu telah dibawakan dengan baik,” katanya.

SYARAT KEMBALI BERLAKON

BARU sahaja menimang cahaya matanya yang pertama pada 24 Oktober lalu, Niena juga mengaku kerinduannya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar.

Berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari tahun lalu, Niena bagaimanapun mahu menghormati permintaan suaminya.

“Suami minta saya besarkan anak dulu. Satu tempoh nanti, apabila anak sudah besar sikit, barulah saya boleh kembali aktif.

“Bukannya tak mahu langsung berlakon. Tapi ini yang terbaik untuk anak kami buat masa ini,” tambahnya.

Tiada bantahan, kata wanita berusia 26 tahun ini, dia terbuka dengan permintaan suaminya itu kerana secara peribadi enggan terlepas detik indah sebagai seorang ibu buat pertama kalinya.

“Kalau boleh saya mahu melihat anak membesar di depan mata. Tidak dinafikan, memang penat juga jadi ibu ni dan kadangkala menguji kesabaran.

“Tetapi ini adalah saat yang saya ada untuk dikenang satu hari nanti. Kini baru saya tahu perasaan ibu saya sepanjang membesarkan kesemua anak-anaknya,”katanya.

Damai di hati setiap kali menatap wajah anak, Adiel Mikael yang kini berusia 3 bulan, Niena mengakui kehadiran bayi comel itu menyerikan lagi rumah tangganya yang telah setahun dibina.

Membesarkan anak sulungnya secara sendiri, tambahnya, bukanlah dia tidak percaya anaknya itu untuk dijaga oleh orang lain.

Tetapi dengan wujudnya pelbagai kes pengasuh zalim dan tidak bertanggungjawab, timbul waspada dalam naluri keibuan.

“Banyak kes yang berlaku di sekeliling, sekali gus rasa takut dan bimbang tu ada. Sebab itu jugalah rasanya lebih baik saya jaga sendiri sementara tidak bekerja lagi,” ujarnya.