Menetap di Montreal, pelakon cantik ini sempat melakar sejarah tersendiri apabila lukisannya terpilih untuk dijadikan kad Krismas musim itu dan dipamerkan di Hospital Kanak-Kanak di negara tersebut.

Selepas 22 tahun, kehadiran Ramadan tahun ini seumpama lakaran sejarah buat Anzalna apabila dia kembali menconteng warna di atas kanvas putih dan mencipta karya seni yang ditinggalkan sejak lama.

Sekembali daripada bercuti di Phuket dengan suami, Hanif Zaki tidak lama dahulu, hatinya dipenuhi keinginan untuk melakarkan kenangan indah ketika di sana dan diabadikan melalui sentuhan jarinya sendiri.

“Sebenarnya semua terjadi secara kebetulan. Setiap tahun saya memang tidak akan mengambil tawaran berlakon ketika Ramadan sebab mahu fokus kepada ibadah.

“Sebelum Ramadan datang, saya sudah memikirkan apakah kebajikan yang boleh saya buat pada bulan puasa kelak. Bukanlah bermakna selama ini hanya memilih Ramadan untuk melakukan kebaikan tetapi bulan puasa lebih istimewa gandaan pahalanya.

“Kemudian adik saya membeli peralatan lukisan. Terus terdetik dalam hati mahu kembali melukis sebab terkenangkan kecantikan Phuket dan mahu buat kenangan,” kata Anzalna.

Selesai menyiapkan lukisan pemandangan tersebut, dia memuat naik dalam laman Instagram dan tidak menyangka mendapat sambutan dalam kalangan peminatnya yang mahu membeli.

“Saya tidak sanggup meletakkan harga dan membiarkan para peminat membida harga mereka. Walaupun sangat sayang dengan lukisan pertama itu, saya lepaskan dengan tujuan kebajikan.

“Sebabnya saya sudah berniat untuk memperuntuk kesemua hasil jualan lukisan ini kepada mereka yang memerlukan dan tidak akan mengambil satu sen pun hasilnya,” kata Anzalna yang merancang menyumbang kepada persatuan kanak-kanak kanser dan gelandangan.

Ditawar harga ribuan ringgit

MENURUT Anzalna, 30, setelah kembali melukis, dia sudah menyiapkan 10 buah lukisan dan lapan daripadanya sudah dibeli oleh para peminat.

“Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan berapa harga yang dibeli oleh mereka. Saya hanya akan beritahu kemudian nanti.

“Cuma saya tidak sangka ada peminat yang sanggup menawarkan harga beribu-ribu ringgit untuk sebuah lukisan tetapi saya tolak kerana tidak mahu menjadi tidak adil.

“Saiz lukisan saya tidak besar sehingga boleh mencecah ribuan ringgit dan saya pula bukan pelukis profesional. Jadi, saya rasa tidak adil kalau menerima harga tersebut melainkan kalau lukisan saya ini bersaiz besar,” kata Anzalna lagi.

Tambahnya, pengkritik tetap bagi setiap hasil lukisannya ialah ayahnya sendiri yang merupakan tenaga pengajar di bahagian seni di Akademi Seni Budaya dan Warisan kebangsaan ( Aswara).

“Ayah tidak akan tolong saya ketika melukis sebaliknya menjadi pengkritik bila lukisan saya sudah siap,” kata Anzalna yang merasakan masih terlalu jauh baginya untuk melakukan pameran seni sendiri.

Malah untuk memilih dua kerjaya antara lakonan dan lukisan, tidak pernah difikirkan kerana menganggap melukis sekadar hobi yang boleh mendatangkan duit dan membantu golongan yang memerlukan.

“Untuk menjadi pelukis profesional juga tidak mungkin kerana buat masa ini, saya melukis mengikut mood. Tema yang datang juga mengikut mood saya.

“Bila rasa nak melukis bunga ketika itu, saya akan buat dan duduk melukis selama tiga jam. Penat sebenarnya duduk melukis berjam-jam, boleh sakit pinggang.

“Ada juga yang meminta saya melukis wajah Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) dan saya sudah siapkan cuma kemahiran saya bukan lukisan potret. Saya lebih gemar melukis pemandangan,” kata Anzalna.

Mengenai persiapan hari raya, Anzalna sudah memiliki lebih 10 pasang baju memandangkan dia sendiri adalah wajah bagi hab fesyen iaitu Fashion Valet.

“Jadi, saya tidak susah-susah mencari baju raya cuma perlu mendapatkan baju Melayu suami bagi sedondon warnanya dengan saya,” kata Anzalna yang akan menyambut Aidilfitri di Pulau Pinang, Muar (Johor) dan Kuala Lumpur.