Andai tiada aral melintang dan semuanya berjalan lancar, dengar ceritanya, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini akan bertunang selepas Aidilfitri ini nanti.

Semestinya banyak pihak terutama peminat Sakura Band terkejut dengan perkhabaran ini kerana mengenali Mel, dia bukanlah seorang yang begitu gemar bercerita perihal peribadi.

Mungkin ada betulnya, kerana kalau tidak, masakan percintaan dia dengan pemain deram sebuah band popular tempatan itu mampu disembunyikan dengan baik bukan?

Berjaya menghidu kisah cinta Mel, Pancaindera dalam satu pertemuan santai dengan Mel mengaju pertanyaan mengenai kesahihan perkara itu dan ternyata Mel tenang menjawab dalam senyuman petanda sedang bahagia.

Dengar khabar Mell nak tamatkan zaman bujang tak lama lagi, ada penjelasan?

Saya tak nafikan. Perancangan tu memang ada, cuma bila? Semuanya masih dalam perbincangan ni, saya tak boleh nak cakap lebih-lebih. Tunggu sajalah sebab tarikh sebenar belum ada lagi.

Betul ke jejaka bertuah yang menghuni hati Mell sekarang ni merupakan seorang pemain deram band popular?

Saya tak menolak kenyataan sedang 'bersama' dengan dia. Kalau nak tipu yang saya tiada teman lelaki tu, nampak sangat bohongnya. Umur saya pun sudah mencecah 29 tahun dan tentulah ada hasrat untuk berkahwin seperti mana orang lain bukan. Terus-terang,saya dengan dia sudah lima tahun bercinta dan memang kami tak mendedahkan perkara ini atas banyak faktor. Dia juga sudah bertemu dengan keluarga, dan begitu juga saya. Kena faham, bukan saya tak nak cakap, tetapi memandangkan ada yang sudah dapat tahu mengenai hal ini, maka saya jawablah bila ditanya.

Apa sebab Mell bertindak merahsiakan hubungan itu?

Bukanlah nak jadi perahsia sangat, cuma kami berdua lebih selesa untuk tidak terlalu bercerita hal peribadi dengan pihak luar. Bukan apa, saya pun tak mahu hal cinta ini mengganggu kerja kami kerana lagipun masing-masing berada dalam satu industri yang sama. Saya nak bekerja secara profesional, nak fokus pada kerjaya. Dari dulu lagi saya pernah kata mahu orang kenali diri ini kerana bakat sebagai penyanyi dan orang seni. Bukan menerusi cerita-cerita cinta atau apa.

 

Orang kata kadangkala seseorang artis atau selebriti itu juga perlu ada gosip atau cerita sensasi untuk naik, biasalah tu, kan?

Ada orang suka dengan populariti dan ada pelbagai cara untuk mereka naikkan nama dalam industri termasuk menjaja cerita peribadi. Saya pilih untuk tidak terlalu ke depan dengan cerita macam tu. Saya pilih untuk low-profile mengenai soal hubungan ini kerana takut andai kata tak jadi. Itu sahaja. Kalau tak jadi nanti orang akan bercakap benda lain pula. Kalau tak jadi, saya sendiri juga yang makan hati.

Tak bimbang ke bercinta dengan sesama selebriti sebab tentu sekali ada baik dan buruknya?

Ada juga terfikir tapi saya rasa, antara kami, lama-kelamaan semakin timbul keserasian. Kami jalan ke depan sahaja tak mahu toleh ke belakang dan saya anggap ini adalah jodoh yang sudah ditentukan oleh-Nya.

Apa yang best sangat pasal dia?

Secara jujur, saya rasa bertuah juga dipertemukan dengan dia kerana sekurang-kurangnya kami saling memahami kerjaya kami. Dia pun tahu apa yang saya buat termasuk sering memberi galakkan dalam bidang penulisan lirik dan gubahan lagu. Saya pun banyak merujuk dengan dia memandangkan dia lebih senior. Tak cuma itu, dia juga banyak bagi tunjuk ajar dari segi persembahan pentas dan teknik menyanyi.

Sudah bak masuk ke fasa baharu dalam hidup?

Nak cakap bersedia tu memang tidaklah sepenuhnya, Ada juga rasa bimbang, pendek kata saya ni dalam proses nak buat persiapan diri. Kalau nak tahu, sebelum ini saya tak pernah langsung terfikir untuk menamatkan zaman bujang sebab otak asyik fikir nak cari duit dan kerjaya saja. Tiba-tiba awal tahun ini dia datang dengan lamaran untuk menjadikan saya isteri, saya pun terkejut namun harap-harap semuanya berjalan dengan lancar dan baik.

Apa yang Mell paling suka mengenai bakal tunang awak?

Walaupun dia seorang yang tegas terutama dalam soal kerja, tetapi dalam masa yang sama dia juga bagi semangat. Merupakan seorang yang penyayang dan ambil berat mengenai diri saya. Dan yang lebih best, dia juga seorang yang akan memberi keutamaan pada saya dahulu dalam sebarang hal.