Namun bezanya, Mega yang sebelum ini begitu sinonim dengan vokalisnya Rahmat, membuat pembaharuan apabila memperkenalkan Reyno sebagai penyanyi terbaharu kumpulan itu.

Lomaq mewakili ahli kumpulannya memberitahu, Rahmat secara amnya bukan lagi vokalis Mega kerana sibuk dengan aktiviti seni solonya.

Jadi, Mega sepakat memutuskan untuk mencari penyanyi baharu bagi menggantikannya.

“Hubungan semua ahli Mega dengan Rahmat masih lagi sama seperti dahulu, tiada sebarang masalah atau bermasam muka. Cuma kerjaya kami perlu diteruskan juga tanpa Rahmat.

“Sebab itulah selepas bertemu dengan Reyno, masing-masing bersetuju untuk tampil dengan produk terbaharu iaitu Pulau.

“Hasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni adalah kerana jiwa seni dan keserasian apabila kami berjumpa semula sebagai sebuah kumpulan pada tahun lalu. Dari situ, kami dapat rasakan satu aura dan selepas berbincang, semua setuju untuk membuat kemunculan semula.

“Kemudian, kami berjumpa dengan penerbit lagu Pulau dan menyatakan hasrat tersebut dan terus memutuskan untuk merakamkan lagu berkenaan,” ujar Lomaq.

Pulau dicipta oleh Jason Bakar sementara liriknya ditulis sendiri oleh Reyno.

Selain Reyno dan Lomaq yang bertindak selaku pemain bass, barisan Mega terkini turut dianggotai anggota asal kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1988 iaitu Adi (gitar), Sam (gitar kedua) dan Joey (dram). Pada masa yang sama, Lomaq menambah, dia dan rakan-rakan lain berharap Rahmat tidak lagi menggunakan nama Mega di hujung namanya bagi mengelak kekeliruan yang timbul.

Diterima baik peminat

Sementara itu, vokalis Mega, Reyno berharap, kehadirannya menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Rahmat tidak menjadi isu besar. Malah penyanyi yang jauh lebih muda berbanding anggota lain itu harap dirinya diterima baik oleh peminat Mega sebelum ini.

“Saya tertarik menerima pelawaan menjadi penyanyi Mega selepas melihat kumpulan ini bersatu semula dengan anggota asalnya yang ditubuhkan hampir 30 tahun lalu.

“Kemudian diberi peluang pula untuk menulis sendiri lirik lagu Pulau, keterujaan itu semakin menjadi-jadi. Disebabkan ia adalah lagu pengenalan dan satu penghormatan kepada otai-otai Mega sendiri, maka dalam karya ini lebih menonjolkan kekuatan muzik kumpulan ini selain vokal saya.

“Lagi satu, bagi mengelak wujudnya perbandingan ketara antara saya dengan Rahmat, maka kami putuskan untuk mengetengahkan sebuah lagu bergenre rock moden mengikut cita rasa terkini,” katanya yang ditemui dalam sidang akhbar serta majlis pradengar single Pulau di Green Pit Stop Cafe, Bandar Baru Bangi, minggu lalu.

Tambah Reyno, pemilihan genre tersebut sekali gus mempersembahkan satu identiti berbeza antaranya dengan Rahmat serta kelainan terbaharu buat Mega yang masih mengekalkan kekuatan muzik mereka.

Justeru, peminat boleh melayari laman sosial Facebook Real Mega bagi mengetahui perkembangan terkini kumpulan terbabit.