Nur Erni Amanina Mohd Amin 

Seiring perkembangan itu, kehadiran platform digital seperti internet memainkan peranan besar dalam kehidupan harian baik dari aspek sosial, pendidikan dan perniagaan.

Perkembangan itu membuka dimensi baharu dan kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh sebahagian besar individu yang menjadikan media 
sosial di internet sebagai portfolio untuk memperkenalkan diri kepada umum. Ini bagi merebut apa sahaja peluang yang ada terutamanya dalam mengembangkan karier.

Perkara ini diakui personaliti Rona kali ini, Nur Erni Amanina Mohd. Amin, 24, yang percaya pada kuasa media sosial kerana mampu memberi impak yang besar terutamanya sebagai medium untuk berkomunikasi tanpa batasan. Selain itu ia juga memberi peluang penglibatan secara terbuka, untuk menyampaikan komen dan berkongsi maklumat dengan cepat.

“Jika sebelum ini kita menganggap media sosial sebagai hak peribadi namun kini ia sudah dianggap sebagai sebahagian daripada aset profesional yang perlu dikaitkan dengan masyarakat umum.

“Tidak terkejut sekiranya ada segelintir majikan yang mahu melihat dahulu laman sosial bakal pekerja mereka bagi melihat sikap individu berkenaan, kerana kehidupan hari ini menjadikan laman 
sosial seolah-olah seperti diari peribadi.

“Jadi, tiada lagi istilah milik mutlak individu, justeru, masing-masing harus menggunakannya sebaik mungkin agar medium ini 
tidak memberi impak negatif
 baik kepada diri sendiri mahupun kepada pengikut masing-masing,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berjaya menamatkan pengajian di Politeknik Kota Bharu dalam pengkhususan pengajian perniagaan, dia yang mesra disapa Erni berkata, memandangkan pengikutnya di Instagram hampir berjumlah 120,000, dia menjadikan medium tersebut sebagai ruang awam untuk dirinya menyampaikan sesuatu yang positif yang boleh dicontohi oleh para pengikutnya.

Menurutnya yang kini bergelar model sepenuh masa dan merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik, dia juga menjadikan media sosial sebagai portfolio untuk memperkenalkan diri kepada klien yang berpotensi dengan menunjukkan karakternya yang penuh berkeyakinan.

Meminati bidang peragaan dan mempunyai aset yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang tersebut, ujarnya, dia bermula ketika baharu sahaja menamatkan pengajian kira-kira dua tahun lalu untuk mencari duit poket sendiri.

Akuinya, cintanya lebih menebal dalam bidang tersebut selepas melihat perubahan terhadap diri apabila dia tidak lagi menjadi seorang yang pemalu dan lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan ramai orang, apatah lagi rutin hariannya berdepan dengan kamera secara langsung.