Biarpun tempoh itu singkat, namun Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid percaya perancangan Tuhan yang mempertemukan suaminya pada Januari lalu.

Wanita berusia 22 tahun itu selamat diijabkabulkan dengan Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal, 32, yang juga adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob dalam sebuah majlis berkonsepkan Jawa di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar, Mohamad Azri Ahmad Kamil hanya dengan sekali lafaz tepat pada pukul 3.20 petang sambil bersaksikan kira-kira 500 tetamu yang hadir.

Melihat pada faktor usia, pasti akan ada cakap-cakap belakang yang mengatakan mengapa Mawar terus membuat keputusan drastik untuk berkahwin sedangkan karier lakonannya sedang memuncak,

“Ya, sebelum ini saya tak pernah terfikir akan berkahwin pada usia muda, tapi setelah berjumpa dengan Raf semua perasaan itu hilang.

“Dulu saya fikir, eloklah kerja dahulu dan cari duit untuk keluarga sambil bina karier. Tapi bila bertemu dengan Raf saya rasa sebaliknya. Dengan adanya dia di sisi, saya lebih ke hadapan.

“Dia mematangkan saya dan menjadikan saya seperti bunga Mawar yang lebih berseri-seri. Dia juga berjaya ubah saya jadi insan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui usai majlis pernikahannya.

Pasangan mempelai yang sama cantik sama padan itu menyarung persalinan adat Jawa sentuhan pereka fesyen terkenal, Cosry.

Malah, pelakon Suamiku Paling Sweet juga sedar tanggungjawab seorang isteri yang perlu digalasnya selepas ini.

“Personaliti dan sikap dia yang buatkan saya sedar ‘dialah yang terbaik buat saya’. Memang tanggungjawab sebagai seorang isteri itu terlalu besar dan bagi saya asalkan niat itu kena betul.

“Saya pasang niat nak jadi isteri yang taat, solehah dan terbaik pada suami, Insya-Allah dipermudah semua itu. Kena banyak minta tunjuk ajar daripada ibu mertua dan ibu saya juga sebab mereka lebih banyak pengalaman,” kata Mawar.

Sementara itu, Raf tidak menganggap faktor usia menjadi kayu pengukur seseorang untuk menjadi matang.

Malah, ketulusan hati serta ketabahan Mawar yang terpaksa menerima kehilangan bapanya seawal usia 12 tahun menjentik pintu hati Raf terhadap wanita berdarah kacukan Melayu-Thailand itu.

“Secara jujurnya bila saya kenali dirinya dan mula selidik latar belakangnya, rupanya dia dah jadi anak yatim pada usia 12 tahun.

“Mawar sudah belajar hidup berdikari pada usia muda sampai sekarang. Dia juga tidak suka harapkan bantuan orang lain dan bekerja kuat untuk bantu ekonomi keluarga.

“Saya gembira bila tahu kereta pun dia beli sendiri ketika umur 18 tahun. Sejuk hati saya bila melihat dia masih lagi membantu keluarga. Itu keberkatan buatnya,” tutur Raf membuka bicara.

Raf yang merupakan duda kepada dua cahaya mata turut tidak lokek berkongsi bibit awal percintaan mereka dengan ‘menggunakan’ anaknya sebagai ‘umpan’.

“Saya uji dengan anak perempuan, Raden Seri Raysaa Chanela sebab dia susah nak rapat dengan orang lain.

“Tapi saya tengok ikatan antara mereka itu tampak asli. Anak saya sendiri yang akan pergi kepada Mawar dan peluk tanpa disuruh.

“Kebetulan Mawar ramai anak buah jadi dia dah biasa dikelilingi dengan budak kecil. Bila lihat mereka rapat buatkan saya rasa dia akan jadi ibu yang terbaik,” ungkapnya.

MEMPERISTERI seorang selebriti seperti Mawar yang sering kali sibuk di lokasi penggambaran juga tidak menghalang Raf untuk memberi ‘lampu hijau’ buatnya.

Kata Raf, dia tidak mahu menghalang minat dan cita-cita isterinya malah akan menjadi tulang belakang setiap kali dia memerlukan seseorang.

“Sejak awal perkenalan dulu saya pernah kata tidak akan halang minatnya. Malah, saya juga mendapat tawaran dalam bidang seni, jadi kami sama-sama akan mulakan.

“Kami berjanji untuk sokong antara satu sama lain. Kalau dia tak berlakon, saya akan marah kerana itu adalah sumber rezekinya.

“Cuma bila dah jadi isteri tu, mungkin kena teliti dari segi skrip dan jalan cerita terlebih dahulu. Pelakon terkenal pun tak semestinya bersentuhan,” ulasnya.

Menguatkan kenyataan itu, Mawar turut menambah bahawa prinsipnya itu akan dipegang teguh demi menjaga keharmonian rumah tangganya.

“Pendirian saya lepas ni memang tidak mahu bersentuhan sebab lebih pentingkan hati suami,” kata Mawar.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur.