Bagi pelakon yang mahu dikenali dengan nama Mathni Razak ini, tentu sekali dia tidak dapat melupakan kenangan saat mula memberanikan diri untuk terjun ke bidang seni ketika usianya 21 tahun.

“Waktu itu saya memberanikan diri untuk terlibat dalam bidang peragaan. Tapi tak sangka pula peluang itu tidak tertumpu kepada bidang tersebut sahaja sebaliknya saya memberanikan diri untuk menyertai pertandingan pencarian bakat.

“Bertitik-tolak dari situlah saya mula mengenali dunia lakonan. Satu persatu tawaran saya ambil walaupun masih belum berpengalaman. Akhirnya apabila sudah selesa saya ambil keputusan untuk menyambung pelajaran,” katanya.

Memberanikan diri menyertai Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010, Mathni mengakui yang pertandingan tersebut membuka ruang buatnya untuk mengenali dunia hiburan dengan lebih dekat.

Ketika itu juga dia memberanikan diri untuk membintangi drama bersiri Raya Musim Luruh, Cinta Dari Syurga serta filem Karak dan Jin Notti.

Tidak lama kemudian dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di sebuah kolej dan baru sahaja menamatkan pengajian tahun ini.

“Saya memerlukan sokongan orang sekeliling untuk kembali dalam industri seni. Minat untuk berlakon tak pernah padam tetapi sebagai orang baharu, pastinya saya perlu ada kekuatan untuk mengorak langkah ke depan.

“Apabila bertemu dengan beberapa orang yang sudah berpengalaman luas dalam industri, mereka banyak memberikan semangat, dorongan dan harapan untuk saya kembali semula.

"Ini yang menguatkan lagi iltizam untuk mencuba nasib. Insya-Allah saya akan bekerja keras dan tidak menghampakan orang yang banyak membantu.

"Itu harapan saya,” tambahnya yang banyak terlibat dalam iklan komersial sejak beberapa tahun lalu.

MENGANGGAP kemunculan semula dalam industri sebagai langkah kanan, anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini mengakui dia sudah diberikan tawaran untuk membintangi beberapa buah drama dalam masa terdekat.

Paling mengejutkan dia turut diberikan tawaran yang agak besar menerusi sebuah drama namun terpaksa meminta watak lain kerana masih belum mendapat rentak untuk kembali ke set penggambaran.

“Apabila ditawarkan watak tersebut, saya terkejut memandangkan cukup besar buat orang baharu seperti saya. Kalau nak dikira peluang tentu sekali saya perlu ambil dan buat sahaja.

“Tapi saya sedar kemampuan diri dan saya minta watak lain yang lebih kecil. Biarlah saya bermula dengan watak kecil dan belajar sedikit demi sedikit tentang dunia lakonan yang sebenar.

“Saya tak mahu nanti orang akan mempertikaikan lakonan saya dan akibatnya saya yang menerima kesan,” kata Mathni lagi.

Selain itu, Mathni juga sedang mencari-cari peluang untuk menghadiri kelas lakonan dalam jangka masa singkat bagi memantapkan lagi mutu lakonan.

Tambahnya, perkara tersebut amat penting untuk orang baharu sepertinya yang masih belum mentah dalam selok-belok dunia lakonan.

“Saya sedia untuk dikritik dan tolong tegur sekiranya ada kesalahan yang dilakukan. Ini merupakan proses pembelajaran dan tentunya saya memerlukan hal-hal begini untuk kebaikan kerjaya sendiri.

“Yang penting saya mahu berusaha keras dan mengejar impian untuk bergelar pelakon yang hebat pada masa depan,” tambahnya.