Sama sekali tidak pernah gentar dengan cabaran, ratu pop etnik, Noraniza Idris tegar membentengi apa juga halangan biarpun hakikatnya, sukar untuk dia mentafsirkan perit yang dilalui.

Namun, bagi penyanyi berusia 48 tahun ini, perjuangannya tidak pernah menjadi beban, malah dia tekad untuk meneruskan usahanya memartabatkan irama tradisional yang mempunyai peminat tersendiri.

Menyaksikan sendiri persembahan sempena tiga dekad penyanyi ini menerusi Konsert Masyhur 30 tahun: Noraniza Idris, kehebatan penyanyi yang masih anggun ini tidak dapat disangkal.

Konsert di Angkasapuri selama lebih satu jam bersiaran di TV1, menjadi saksi bagaimana seorang permata yang dilahirkan menerusi Bintang HMI menjadi rama-rama yang terus terbang mewarnai dunia seni dengan lagu-lagu malar segarnya.

Bukan Noraniza Idris namanya jika tidak membawa segerombolan artis budaya bagi merancakkan pentas yang menyaksikan 126 penari termasuk pesilat dan juga Orang Asli.

Membuka tirai dengan lagu Warisan Kita, ternyata nilai tersendiri suara dan kekuatan vokal penyanyi ini masih lagi menjadi kegilaan peminat sehingga mengundang sorakan bertenaga daripada penonton yang hadir.

Diiringi penari-penari yang memenuhi pentas, kehadiran penyanyi yang jarang sekali membuat persembahan berskala besar seperti konsert ini mengubat rindu mereka yang benar-benar meminati lagu-lagu nyanyiannya.

Meneruskan kehebatan. Noraniza tampil mempersembahkan lagu Puncak Gapura dan Mohon Terasa dengan penuh warna warni. Menariknya, persembahan kali ini disertai oleh penyanyi di bawah label syarikatnya sendiri, Ihab Ismail dan L’Zzay .

Ternyata, percubaan penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu berhasil apabila suara kedua-dua artis itu sememangnya sesuai dengan irama tradisional mahupun moden.

Persembahan diteruskan dengan lagu Kasihnya Ibu yang mengusik jiwa penonton yang hadir seolah-olah dapat merasai erti rindu Noraniza terhadap ibu dan bapanya yang telah meninggalkan dunia.

Biarpun sebak ketika menyampaikan lagu yang penuh emosi ini, penyanyi ini ternyata profesional dan berjaya menyanyikan lagu ini biarpun ada getar sedih dapat didengari.

Meneruskan konsert, pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-5 ini menyampaikan lagu Anak Tani yang telah menaikkan namanya dalam industri muzik sehingga mendapat gelaran ratu ciplak kerana lagu itu mempunyai melodi yang sama dengan lagu Singkong dan Keju.

Persembahan diteruskan dengan lagu Joget Jauh Pandangan dan Mengemis Rindu. Penonton turut sama menyanyi lirik lagu yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri sewaktu awal kemunculan ratu pop etnik ini.

Tampil dalam busana tradisi Sabah dan Sarawak, Noraniza mencetuskan sorakan bergema daripada penonton apabila mempersembahkan lagu Ayuh Juragan dan Tandang Bermadah serta Ngajat Tampi sambil diiringi pemuzik dan penari daripada kedua-dua negeri tersebut.

Menyanyikan pula lagu Awallah Dondang dan Dendang Sayang, pemenang tiga kali Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ini ternyata tidak menghampakan penonton dengan membawa artis budaya yang sememangnya begitu indah tariannya.

Membawakan peminat-peminat cilik untuk bertanding menyanyi dan menari sambil diiringi lagu Hati Kama, ternyata persembahan itu mengundang sorakan penonton yang terhibur dengan aksi peminat-peminat cilik tersebut.

Menutup tirai persembahan, Noraniza tampil menyanyikan lagu yang menjadi identitinya Hatinya Tak Tahan dan Zapin Beradat, penonton jelas puas dengan persembahan yang penuh warna warni serta seni budaya itu.

Namun, terlintas di fikiran, berapa kerat sahaja daripada kita rakyat negara bertuah ini yang masih menyanjung tinggi budaya serta tradisi lagu-lagu indah yang mencerminkan jati diri kita?

Malah, dengan keputusan Noraniza yang mungkin akan bersara daripada bidang nyanyian menimbulkan tanda-tanya, siapakah yang bakal mengambil alih perjuangan penyanyi ini sejak sekian lama?

Bukan tidak ada pengganti, namun ternyata Noraniza tidak hanya sekadar menjual lagu dan namanya namun dia turut membakar semangat mereka yang meminati irama tradisional untuk terus berbakti menyuburkan tradisi di laman seni.

Biarpun keputusan untuk mengundurkan diri daripada bidang seni belum muktamad, namun jelas di getar suaranya, penyanyi ini sudah bersedia untuk meninggalkan legasi irama tradisional yang menjadi kebanggaannya.

Tiba-tiba sahaja sayas terfikir, tiada pihak yang sudi tampil menaja konsert berskala besar seperti di Istana Budaya bagi menghargai perjuangan insan seni yang mula bertapak di dalam industri sejak 30 tahun lalu?

Sedih namun itulah kenyataan yang terpaksa dihadapi oleh insan seni ini. Namun, percayalah, masih ada ribuan peminat yang sanggup membayar untuk hadir untuk menyaksikan persembahan warna warni penyanyi ini.Gambar GAIE UCHEL