Martabat muzik di mata dunia

Sesi fotografi bersama artis, Lah

BERPELUANG untuk mengadakan persembahan di Festival South By South West (SXSW) di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) sekitar Mac lalu, Altimet menganggap satu peluang yang sebenarnya tersasar daripada hajat asal di hati.

Namun jangan salah sangka, itu tidak bermakna Altimet tidak berbangga dengan pencapaiannya itu. Cuma kata penyanyi berusia 37 tahun ini, dia menanam hasrat untuk 'menakluk’ Indonesia sebagai langkah padunya sebelum menerjah ke pasaran AS.

Berbicara mengenai hal itu, kata Altimet, dia sudah lama berhasrat untuk menembusi pasaran Indonesia kerana satu faktor utama, dia melihat negara itu memiliki pasaran muat turun muzik di telefon pintar yang terbesar di dunia.

“Ramai yang fikir AS adalah sebuah negara yang terbesar yang memiliki pasaran itu. Tanggapan itu salah kerana AS mempunyai pasaran yang kecil meski negara mereka besar.

“Sebagai seorang penyanyi yang memiliki misi dan visi untuk ke arah itu, saya akui, memang mahu meraih peluang menembusi pasaran Indonesia. Satu sikap saya apabila saya mula menyimpan sasaran saya memang meletakkan sasaran tinggi,” katanya.

Selain faktor itu, kata Altimet, dia melihat penggunaan bahasa dan jarak yang dekat merupakan antara faktor lain yang menjadi perhatian untuknya membawa muzik rap ke negara tersebut meski sedar dia berdepan dengan satu halangan kerana pengaruh genre tersebut di Indonesia tidak begitu kuat.

“Namun mereka memiliki pasaran muat turun muzik di telefon pintar yang tinggi. Mungkin kerana pengguna di sana lebih gemar mendengar muzik di telefon pintar mereka.

“Saya tak tahu bagaimana saya melakukannya tetapi saya akan cuba untuk tembusi pasaran dan bawa muzik saya ke sana malah saya sedar perkara itu memerlukan belanja tinggi,” katanya.

Altimet berkata, dia bagaimanapun enggan menjadikan masalah itu satu alasan malah akan tetap meneruskan hajat itu meski perjalanan tersebut mengambil masa yang agak lama.

“Saya pernah buat persembahan kecil-kecilan di negara itu, saya lihat industri mereka tak sama seperti industri kita. Bayangkan kalau anda mahu lagu anda dimainkan di stesen radio di sana, anda kena bayar stesen radio tersebut.

“Berapa banyak pula stesen radio di sana? Terlalu banyak! Jadi bayangkanlah. Kalau saya betul-betul nak ke sana yang saya perlukan adalah sebuah pasukan yang kuat untuk menguruskan kerjaya dan muzik saya di sana,” katanya sambil mengakui ada merisik artis bernama besar di negara itu untuk berkolaborasi dengannya namun dia senang untuk merahsiakan terlebih dahulu kerjasama dan individu terbabit.

Ikut Yuna

Berbicara mengenai pengalamannya ketika menyertai SXSW tempoh hari, kata Altimet, dia tidak menolak ada andaian mendakwa perjalanannya membawa muzik rap nusantara ke sana seakan-akan mengikut jejak Yuna yang kini sudah bertaraf penyanyi antarabangsa.

Kata Altimet, dia tidak berkecil hati dengan persamaan itu malah katanya, dia berterima kasih kepada Yuna kerana penyanyi berkenaan sebenarnya telah membuka ruang dan peluang buat artis Malaysia untuk berada di AS secara tidak langsung.

“Yuna sebelum ini pernah beraksi di pentas yang sama pada 2010 dan dia sebenarnya membantu artis Malaysia seperti saya untuk memperkenalkan muzik kita di sana.

“Malah dia juga membantu penulis lirik, penggubah lagu, pendek kata seluruh pemain muzik dalam industri untuk melebarkan sayap seni ke negara itu secara umumnya.

“Kurang tepat mengatakan saya mengikut jejak Yuna tetapi lebih tepat kalau katakan saya pergi kerana dia. Harapannya artis kita yang lain juga boleh lakukan perkara yang sama,” katanya.

Bagimanapun kata Altimet, untuk memastikan peluang itu sentiasa datang kepada artis Malaysia, dia menyarankan agar artis dan penggiat seni muzik tempatan bijak meraih peluang selain menjaga disiplin dan nama baik sebagai artis.

“Bukan senang untuk dipilih masuk ke SXSW kerana mereka memang sangat selektif. Nak pergi ke sana juga bukan dibiaya sebaliknya perlu membelanjakan wang sendiri.

"Namun tak dinafikan platformnya cukup besar untuk seseorang artis itu melebarkan sayap seni kerana kita tidak cuma beraksi di depan khalayak ramai tetapi juga didepan ribuan penganjur acara dan juga penggiat seni dari serata dunia.

“Bagi saya, itu umpama satu pintu yang besar untuk artis kita dikenali di mata dunia. Tentulah saya pun tak mahu melepaskan peluang tersebut. Kerana itulah saya berusaha beraksi dengan baik sebab mereka memang mahukan muzik yang unik untuk diketengahkan.

“Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita bagaimana mahu menjaga konsistensi keterbukaan pintu itu kepada artis kita,” katanya.

Dalam pada itu, kata Altimet, dia kini sedang bekerjasama dengan The Kawan Band dan akan hadir dengan sebuah album unik gabungan dengan band berkenaan yang dirakamkan secara langsung buat julung kalinya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati