Memilih untuk mengeluarkan palet alat solek yang dinamakan Glamrush, Maria yang dikenali kerana kecantikan tidak menafikan pemilihan produk itu disebabkan dirinya yang gemar kelihatan cantik sepanjang masa.

Menurutnya, tidak semua orang mempunyai waktu yang cukup untuk mengoles solekan pada wajah lantaran kesibukan diri menguruskan rutin harian.

“Oleh itu, palet Glamrush yang saya hasilkan ini merupakan set alat solek yang lengkap serba-serbi. Mudah untuk dibawa ke mana sahaja, malah saiznya yang kompak menyenangkan pengguna untuk menyimpan di dalam beg tangan mereka.

“Bahkan, belum ada lagi produk sebegini yang memuatkan semua jenis bahan solekan dalam satu palet. Ada gincu, pembayang mata, pemerah pipi dan sebagainya.

“Bukan itu sahaja, harganya juga berpatutan. Hanya RM198 sahaja setiap satu,” katanya yang ditemui usai majlis pelancaran produk itu baru-baru ini.

Tambah Maria, menghampiri usia hampir setengah abad, dia sedar setiap orang akan dimamah usia.

“Bezanya lambat atau cepat. Wanita terutama perlu tahu langkah-langkah penjagaan kulit wajah yang betul agar sentiasa kelihatan segar.

“Alat solek sekadar menambahkan lagi seri wajah. Pemakanan perlu dijaga sebaik-baiknya untuk tampil sihat, di samping melakukan senaman sesuai agar kelihatan bertenaga,” katanya berkongsi petua.

Dalam pada itu, Maria berterima kasih kepada suaminya, Datuk Seri Abdul Rahman Shakur yang menjadi tulang belakang memastikan MF Cosmetique direalisasikan.

“Setakat ini, ada beberapa perancangan telah disusun untuk menjamin masa depan perniagaan yang lebih dinamik dan berterusan.

“Kami juga mempunyai rencana untuk mengeluarkan produk kosmetik lain selain set alat solek ini. Kena tunggu masa yang sesuai,” katanya.

 

Lebih setahun berhenti berlakon

Tidak mahu fokus terhadap kelahiran ‘bayi sulungnya’ terganggu, Maria mendedahkan bahawa kehilangan kelibatnya dari lapangan seni lakon sejak kebelakangan ini adalah disebabkan perniagaannya itu.

Atas nasihat suami yang merupakan ahli perniagaan, Maria berkata, lelaki itu banyak memberi tunjuk ajar kepadanya untuk bergelar seorang usahawan.

“Dia tahu akan selok-belok dunia perniagaan, manakala saya pula ada sedikit pengetahuan tentang kecantikan. Jadi gabungan kami ini diharap mampu membina empayar perniagaan yang gemilang.

“Sebab itulah saya beritahu pengurus untuk menolak setiap tawaran berlakon yang hadir supaya boleh memberi tumpuan penuh.

“Alhamdulillah, tempoh yang ditetapkan telah pun berlalu dan akhirnya kini saya bakal kembali semula berlakon,” katanya.

Bagaimanapun, buat masa ini Maria sedang memilih untuk pembabitannya dalam beberapa produksi drama dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

Maria berkata, sebelum ini terlalu banyak halangan yang ditempuhi untuk mengeluarkan produk tersebut termasuklah berulang-alik ke kilang bagi melakukan pemantauan terutama terhadap kualiti.

“Beberapa kali juga saya menukar formula supaya alat solek dihasilkan bermutu tinggi dan tahan lama. Alhamdulillah, berkat kesabaran, semua itu berjaya diperoleh,” tambahnya.