Hampir tiga jam persembahan yang bermula pukul 4 petang, peminat diimbau kenangan dengan 16 buah lagu-lagu yang pernah menaikkan nama Mamat dan Exist antaranya Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan, Nota Di Lautan Sepi, Anugerah dan Hanya Engkau Kekasih.

Mamat turut menyampaikan lagu Dealova, Sempang, Seminit Bagiku, You Give Love A Bad Name serta single baharunya, Nur Cahaya.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamaruddin membuktikan kehebatannya apabila berjaya menyampaikan semua lagu yang dibahagikan kepada dua fasa persembahan dengan berjaya, bertenaga dan penuh penghayatan.

“Sememangnya saya sendiri agak bimbang untuk mengadakan persembahan kali pertama ini di hadapan peminat yang datang dari jauh, risau mampukah saya menyampaikan 16 buah lagu terbaik untuk mereka, namun syukur alhamdulillah selama tiga jam saya dapat merealisasikan hasrat itu,” katanya kepada Mega HITS selepas persembahan tersebut.

Mamat diiringi empat pemuzik kumpulan Josh The Band dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor Bahru, Johor yang turut mendendangkan lagu Still Got The Blues nyanyian Gary Moore dengan penuh bergaya.

Menurut Mamat, dia selesa mengadakan persembahan dengan kumpulan itu yang sudah dikenalinya malah dengan pengalaman setiap pemuzik membuatkan mudah baginya untuk menyampaikan apa sahaja lagu yang ingin dipersembahkan.

Persembahan Mamat Nostalgia itu turut mendapat sokongan dan bantuan pengurusan Hard Rock Cafe Melaka iaitu Pengurus Besarnya, Anderson K. Selva yang memberi peluang kepada Mamat untuk beraksi di pentas restoran makanan antarabangsa itu.

“Saya juga berterima kasih kepada pengurus saya iaitu abang Malik Zabarjad daripada Zabarjad Entertainment yang berusaha keras menjadikan persembahan ini berjaya serta tidak lupa kepada peminat saya yang hadir memberi sokongan,” katanya.

Meskipun sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi penglibatannya dengan najis dadah, Mamat kini tidak mahu lagi dilabelkan sebagai artis bermasalah. Malah mahu membuktikan kemunculan semulanya di persada seni ini sebagai satu yang serius.

“Setiap orang ada sejarah gelapnya tersendiri, begitu juga saya. Saya kini sudah berusia 39 tahun dan mempunyai keluarga sendiri iaitu tiga orang anak.

“Saya tidak mahu orang melabelkan saya atau keluarga saya negatif kerana saya pernah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Biarlah saya muncul dengan imej baharu ini setelah melibatkan diri selama 26 tahun dalam industri seni,” jelas penyanyi itu yang kini menetap di Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru itu.

Sementara itu, Malik ketika ditemui memberitahu, beliau melihat Mamat mempunyai potensi yang besar untuk terus berjuang dalam dunia seni dan berhasrat untuk membimbingnya kembali ke dunia hiburan.