Anugerah yang dihos oleh James Corden, melihat Adele menyapu bersih tiga anugerah paling utama iaitu Album Terbaik (25), Rakaman Lagu Terbaik (Hello) dan Lagu Terbaik (Hello). Sebenarnya kemenangan ini seperti mengulangi kejayaan Adele lima tahun lepas melalui albumnya berjudul 21. Malah dia juga menjadi satu-satunya penyanyi yang pernah memenangi ketiga-tiga kategori ini sebanyak dua kali.

Memberi ucapan di atas pentas untuk anugerah Album Terbaik, Adele dalam waktu yang sama seperti tidak percaya kemampuannya untuk mengalahkan Beyonce. Malah dia juga memberitahu seperti tidak layak untuk menggondol kategori tersebut.

Dalam usaha untuk menyampaikan rasa hormatnya kepada Beyonce, Adele turut menyelitkan ucapan buat penyanyi cantik berkulit hitam tersebut.

“Permaisuri dan idola saya, iaitu “Queen B”. Saya sangat mengagumi anda,” katanya ketika menerima anugerah tersebut.

“Album Lemonade adalah yang terbaik,” tambah Adele.

Adele yang turut menyanyikan lagu keramat miliknya Hello, dalam persembahan di pentas berprestij itu dilihat sedikit gementar pada mulanya. Bagaimanapun mengenali Adele, aura suaranya juga sudah berjaya mencuri tumpuan. Selepas itu ketika persembahan untuk menghargai mendiang penyanyi George Michael, Adele memilih untuk menyanyikan lagu Fastlove. Namun dia terpaksa berhenti secara mengejut dek kerana kesilapan teknikal sebelum menyanyikan lagu tersebut semula.

Menghabiskan persembahannya dengan linangan air mata, ternyata malam itu juga hampir keseluruhan selebriti yang berada di bangku hadapan turut bangun memberi tanda penghormatan.