Menurut pelakon versatil ini, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaannya itu sehinggakan malam pertama pernikahan mereka, dia tidak mampu melelapkan mata kerana berasa semuanya seperti mimpi. Sepanjang malam dia mengambil kesempatan merenung wajah isterinya yang mesra dipanggil ‘Yang’ itu.

“Saya tengok wajah dia dalam-dalam ketika dia sedang tidur, tak sangka akhirnya dia jadi milik saya. Bila lihat dia, saya teringat wajah arwah isteri saya, Hashimah Mad Ehsan yang telah meninggal dunia setahun lalu. Hampir 15 minit saya dalam keadaan begitu sehingga tersedar yang di depan saya ini adalah insan lain.

“Dulu masa dengan arwah pun saya buat seperti ini juga sentiasa merenung dia ketika tidur. Tapi kali ini saya mesti terima hakikat yang semuanya sudah berlalu, arwah sudah pergi. Saya tidak mahu membeza-bezakan antara kedua-duanya sebab hati perempuan mudah terasa. Jadi sebolehnya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dia sehingga ke akhir hayat,” tuturnya.

Tambahnya lagi, setelah kehadiran Rapidah, rumahnya kembali ceria seperti dahulu semula. Penuh dengan gelak tawa dan tidak lagi suram. Malah perjalanan aktiviti sehariannya kembali terurus kerana si isteri mengambil tugas mengejutkannya daripada tidur, menguruskan makan minum dan sentiasa memastikan dia mengambil ubat-ubatan tepat pada masanya.

Wujudkan kumpulan ‘Whatsapp’

Tempoh perkenalan yang singkat di antara dia dan isteri iaitu selama empat bulan sebelum memutuskan untuk berumah tangga bukanlah menjadi halangan untuk kedua-dua keluarga mereka mengenali antara satu sama lain. Baik Jalaluddin mahupun Rapidah keduanya sentiasa berusaha untuk mewujudkan keserasian diantara kesemua anak-anak hasil perkahwinan mereka yang terdahulu.

“Mungkin kerana anak-anak dan keluarga merestui hubungan ini dan tidak mahu saya bersendirian, mereka menerima isteri dengan terbuka. Tetapi sekarang ini anak-anak saya dan anak-anak isteri masih lagi dalam proses mengenali. Mereka ada wujudkan kumpulan ‘Whatsapp’ baru untuk sesi beramah mesra untuk lebih rapat.

“Di awal perkahwinan ini, sebahagian daripada anak saya masih memanggil isteri dengan panggilan ‘aunty’ dan ada juga yang dah mula panggil mama. Biasalah baru-baru lagi jadi semuanya perlukan masa. Tak perlu terburu-buru. Tapi yang pasti, cucu-cucu saya panggil isteri sebagai nenek,” ujarnya yang mempunyai lapan orang anak sementara isterinya pula memiliki empat orang anak.

Sudah tentulah, Tan Sri Hassan Azhari, 89, merupakan antara insan yang paling gembira ketika majlis pernikahannya baru-baru ini. Malah bapanya itu juga sempat mengalirkan air mata dan menciumnya ketika dia sah bergelar suami.

“Ayah amat berharap agar saya kembali ceria. Saya sangat menghormati dia sehinggakan masa hari pernikahan, saya memberi penghormatan kepada ibu tiri, Maimunah Abd Ghani untuk menyarungkan gelang pada tangan isteri. Biarpun ibu tiri namun saya dah anggap dia sama seperti ibu kandung,” ujar Jalaluddin lagi.

Segalanya teratur

“Semuanya lebih teratur. Bila nak keluar pergi kerja, baju pun dah siap digosok sampaikan saya pergi pasar pun pakai baju yang bergosok.

"Dia menguruskan diri ini sebaik-baiknya sehingga saya terfikir indahnya aturan Allah, DIA ambil orang yang saya cinta dan gantikan dengan orang baru yang saling tak tumpah seperti yang lama.

“Kerana itulah tiada perkataan yang dapat diluahkan apabila soalan ini ditanya oleh orang sekeliling. Yang pasti saya bahagia kerana diberi kesempatan sekali lagi bergelar suami. Saya percaya tiada siapa pun di dunia ini yang ingin melalui hari-hari tua tanpa pasangan dan hidup bersendirian. Ini semua adalah ketentuan takdir,” ujarnya terharu.

Ahad lalu, Jalaluddin sah bergelar suami kepada Rapidah dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras kira-kira jam 10.55 pagi. Dia dinikahkan oleh abang kepada Rapidah yang juga merupakan penggiat teater, Lokman Abd Ghani di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Mohd Faisal Mohd Noor, dengan mas kahwin RM300.

Rapidah yang juga ibu tunggal, turut menerima lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut berharga RM20,000 dan dibalas tujuh dulang hantaran. Pasangan mempelai kemudian diraikan pada majlis ringkas di perkarangan masjid yang dihadiri kira-kira 100 tetamu merangkumi ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis antaranya Ashraf Muslim, Arash Mohamad dan Den Wahab.